LCS Ketiga TLDM Sharif Mashor Dilancarkan Secara Rasmi Hari ini
Pelancaran Kapal Tempur Pesisir ketiga TLDM di Lumut menandakan fasa penting pemulihan keupayaan tempur maritim negara serta simbol kesinambungan warisan kepahlawanan Sarawak.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship – LCS) ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sharif Mashor telah dilancarkan hari ini di di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) hari ini.
Upacara penamaan dan pelancaran LCS 3 itu telah dilakukan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, yang merupakan isteri kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar.
Penamaan Sharif Mashor sebagai LCS 3 mengangkat semangat kepahlawanan dan keberanian tokoh Sarawak tersebut sebagai simbol kekuatan serta keazaman TLDM dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari yang menghadiri majlis itu berkata, kapal yang dinamakan Sharif Masahor, pahlawan dari Sarawak itu, juga simbol kebanggaan negara kerana merupakan kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd.
“Peranan TLDM dan agensi maritim lain menjadi semakin mencabar dalam perkembangan situasi keselamatan sejagat.
“Keupayaan dan kekuatan untuk menjaga kepentingan maritim, laluan strategik dan kedaulatan perairan negara daripada sebarang ancaman sentiasa mendapat perhatian dan keutamaan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara baru-baru ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membangunkan industri pertahanan yang mampan melalui penguasaan teknologi, pemerkasaan bakat tempatan, peningkatan kandungan tempatan serta kerjasama strategik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pihak luar.
Majlis penamaan dan pelancaran LCS 3 Sharif Mashor itu mencerminkan kemajuan berstruktur Program LCS serta komitmen kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan laut negara melalui pembangunan aset berteknologi tinggi dan pemerkasaan industri pertahanan tempatan.
LCS3 turut menjadi simbol kebanggaan negara sebagai kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem industri maritim dan keselamatan negara.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, pengurusan tertinggi Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Azhar Jumaat, serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan, TLDM dan wakil industri pertahanan, mencerminkan sokongan padu kepimpinan negara terhadap kesinambungan Program LCS.
LCS 1 KD Maharajalela memulakan pelayaran laut pertama pada akhir bulan lepas bagi tujuan pengujian sistem jentera, jana kuasa, sistem penghawa dingin dan sistem pendorongan.
Bercakap di Parlimen, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia adalah proses permulaan bagi memastikan kapal LCS 1 berkemampuan untuk berlayar di lautan.
Beliau berkata fasa ujian laut bagi kapal LCS 1 di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Jan lepas.

“Walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, LCS 1 yang kini berada pada tahap kemajuan 82.90 peratus setakat Disember lepas, telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal.
“Khusus bagi kapal LCS 1, kemajuan sepatutnya ialah 96.52 peratus manakala kemajuan sebenar keseluruhan projek LCS telah mencapai 75.75 peratus, berbanding ikut perancangan sepatutnya 81.57 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Mohamed Khaled berkata persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan ujian laut penuh dimulakan untuk LCS 1 pada awal April ini.
Beliau berkata laporan dikemukakan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) kepada pasukan projek menyatakan bahawa jadual pentauliahan kapal LCS 1 dipinda ke Disember tahun ini.
“Memang ada lewat empat bulan. Bagi kapal LCS 2 pula dipinda ke Ogos 2027. Bagi kapal-kapal berikutnya pula pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029,” katanya.
Mengenai kos perbelanjaan, Mohamed Khaled berkata nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah sebanyak RM11.2 bilion untuk kelima-lima buah kapal, dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion atau lebih kurang 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Dalam memastikan ketelusan dan kawal selia berterusan, kementerian telah mewujudkan pelbagai platform pemantauan seperti Project Management Review, Project Monitoring Committee, serta jawatankuasa teknikal yang bersidang secara berkala dengan penglibatan menyeluruh TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) sebagai end-user dan pihak LUNAS,” katanya.
Mengenai persiapan kemahiran kru bagi mengoperasikan LCS 1, beliau berkata pihak TLDM memberi perhatian serius kepada perkara berkenaan bagi memastikan penyediaan kru terlatih adalah selari dengan masa kapal diserahkan.
