Latihan Udara Indus Shield 2024 Himpun Pesawat Pejuang Tornado, Mirage, J-10C dan F-16
Latihan udara bersama Indus Shield 2024 itu adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama tentera di antara negara-negara yang terlibat, Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan Mesir.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Arab Saudi (RSAF) telah menghantar enam buah pesawat pejuang Panavia Tornado miliknya untuk menyertai latihan udara Indus Shield 2024 di Pakistan bersama-sama tentera udara Pakistan, Turkiye dan Mesir.
Latihan udara bersama Indus Shield 2024 itu adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama tentera di antara negara-negara yang terlibat, Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan Mesir.
Ia bertujuan menunjukkan professionalisme, kemampuan dan tahap siap siaga kesemua tentera udara yang terlibat, terutamanya ketika mereka berhadapan dengan ketegangan yang semakin memuncak di rantau Timur Tengah.
Tentera Udara Turkiye dilaporkan telah menghantar pesawat pejuang F-16 manakala Tentera Udara Mesir pula menghantar pesawat pejuang Mirage 2000 manakala Pakistan menampilkan pesawat pejuang J-10C buatan China miliknya.
Menurut laporan, pemilihan pesawat pejuang Panavia Tornado oleh Tentera Udara Arab Saudi adalah kerana ia pesawat pejuang pelbagai guna, boleh melaksanakan serangan darat dan juga pelbagai tugas bantuan taktikal yang lain (tactical support).
Pesawat pejuang Panavia Tornado itu menawarkan kelebihan strategik terutamanya dalam situasi kombat yang kompleks.
Sebagai kuasa serantau yang penting, Arab Saudi mahu menunjukkan kekuatan ketenteraannya pada ketika rantau itu sedang berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.
Menyertai latihan udara bersama memberikan Tentera Udara Arab Saudi peluang keemasan untuk bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman daripada negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam latihan udara Indus Shield 2024.
Latihan Indus Shield 2024 itu bukan sahaja menampilkan manuver yang praktikal tetapi ia juga memberikan peluang kepada pegawai-pegawai tentera udara berkenaan untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana tentera udara masing-masing mengaplikasi teknologi terkini dan strategi dalam operasi mereka.
Ini amat penting bagi Arab Saudi yang melakukan pelaburan yang besar dalam permodenan angkatan tenteranya.
Pada ketika ini Tentera Udara Arab Saudi mengoperasikan 87 buah pesawat pejuang Panavia Tornado, 72 buah Eurofighter Typhoon, 72 buah F-15E, 80 buah F-15, dan 83 buah F-5.
Tentera Udara Arab Saudi bercadang menambah lagi pesawat-pesawat pejuangnya terutamanya daripada jenis F-15 dan juga Eurofighter Typhoon atau Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.
Syarikat Boeing dilaporkan telah mengemukakan varian pesawat pejuang F-15EX Eagle II terkininya kepada Arab Saudi bagi bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang Rafale dan Eurofighter Typhoon untuk merebut kontrak berbillion Dollar Amerika Arab Saudi itu.
Boeing dan pesawat pejuang F-15EX itu akan bersaing dengan pesawat pejuang Rafale manakala pula pesawat pejuang Eurofighter Typhoon pula dibangunkan oleh konsortium syarikat-syarikat Eropah daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali.
Pada Oktober tahun lepas, Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi sejumlah 54 buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis bagi tentera udaranya, selepas usahanya memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dihalang oleh Jerman. — DSA
Comments are closed.