Langkah Perolehan F/A-18C/D Kuwait Kini di Peringkat Akhir, Tunggu Kelulusan Amerika
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, usaha Malaysia memperolehi pesawat pejuang "Legacy Hornet" itu termasuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kuwait menunjukkan perkembangan positif.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Langkah Malaysia untuk memperolehi lebih 30 pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet terpakai milik Tentera Udara Kuwait (KAF) kini berada di peringkat akhir menanti kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS), selaku pembuat asal pesawat berkenaan.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, usaha Malaysia memperolehi pesawat pejuang “Legacy Hornet” itu termasuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kuwait menunjukkan perkembangan positif.
“Segala persuratan telah dilaksanakan dan dalam perhatian AS, kita sekarang hanya menunggu kelulusan daripada AS, setakat ini tiada masalah.
“Tindakan lanjut bergantung kepada kelulusan yang diberi. Kita telah menubuhkan jawatankuasa antara Kementerian Pertahanan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta KAF,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM.