Kumpulan Pertama 38 Daripada 108 Buah Kereta Kebal M1A2T Abrams Telah Tiba di Taiwan
Washington telah meluluskan perjanjian bernilai US$2.2 (RM9.78) billion untuk menjual 108 kereta kebal Abrams kepada Taiwan pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada usaha Amerika Syarikat untuk memperkukuh pertahanan Taiwan di sepanjang pantai utaranya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kumpulan pertama kereta kebal M1A2T Abrams buatan Amerika Syarikat telah tiba di Taiwan tersebut, menurut Kementerian Pertahanan pulau itu pada Isnin, perolehan yang bakal meningkatkan lagi ketegangan dengan Beijing.
“Perisai Berat Telah Tiba! Selamat datang menyertai kami!” kata kementerian itu di platform X miliknya.
Kumpulan pertama sebanyak 38 kereta kebal varian M1A2T Abrams telah tiba di Pelabuhan Taipei baru-baru ini, lapor akhbar Focus Taiwan.
Kereta-kereta kebal tersebut kemudiannya diangkut menggunakan treler awam melalui Lebuhraya Pantai Barat ke destinasinya di Pusat Latihan Perisai di Daerah Hukou, Hsinchu.
Polis menyediakan kawalan lalu lintas sepanjang laluan tersebut, manakala kenderaan polis tentera mengiringi konvoi berkenaan.
Menurut sumber yang dipetik oleh Taipei Times, kereta kebal M1A2T terbaru milik Taiwan itu adalah “berpuluh tahun lebih maju” berbanding varian terdahulunya, dengan keupayaan membedil sasaran lima kali ganda lebih baik serta kadar ketepatan tembakan yang tidak dapat ditandingi oleh kereta kebal sedia ada.
Kereta kebal Abrams juga mempunyai kelajuan dua kali ganda berbanding kereta kebal Taiwan pada masa ini, yang akan meningkatkan masa tindak balas bagi pengukuhan pasukan semasa operasi.
Selain kereta-kereta kebal M1A2T Abrams itu, Taiwan turut memperolehi kenderaan-kenderaan sokongan seperti 14 buah M88A2 recovery vehicles, 16 buah M1070A1 transporters dan 16 buah M1000 treler.
Kereta kebal M1A2T itu merupakan kereta kebal baru pertama dihantar ke Taiwan dalam tempoh 30 tahun, menurut Agensi Berita Pusat Taiwan.
Ketumbukan kereta kebal Taiwan ketika ini terdiri daripada sekitar 1,000 kereta kebal CM 11 Brave Tiger buatan tempatan dan M60A3 buatan Amerika Syarikat yang semakin usang.
