Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Krew Kapal Selam “KRI Nanggala” Juga Boleh Maut Akibat Pengumpulan Karbon Monoksida

Menurut pakar, gas karbon monoksida juga boleh membunuh krew kapal selam malang itu sebagaimana kekurangan oksigen turut menyebabkan maut.

0 2,635

(DEFENCE SECURITY ASIA) – 53 orang krew kapal selam Indonesia, KRI Nanggala yang masih gagal dikesan sehingga kini bukan sahaja berdepan dengan kekurangan oksigen tetapi mereka juga berdepan dengan masalah pengumpulan gas karbon monoksida di dalam kapal selam.

Menurut pakar, gas karbon monoksida yang banyak juga boleh membunuh krew kapal selam malang itu sebagaimana kekurangan oksigen turut menyebabkan maut.

“Sepatutnya akan ada bahan penyerap gas karbon monoksida daripada kabin kapal selam, tetapi ia juga akan kehabisan.

“Bahan kimia akan menghasilkan oksigen (di dalam kapal selam) tetapi gas karbon monoksida akan menyebabkan anggota sesak nafas sebelum bekalan oksigen mereka habis, “ kata pakar operasi tentera laut dan bekas krew kapal selam dikenali dengan nama “Clark” kepada stesen televisyen Channel News Asia.

Tentera Laut Indonesia mendedahkan bahawa kapal selam itu yang hilang ketika terlibat dalam latihan di perairan utara Bali kira-kira pada 3 pagi Rabu, hanya mempunyai bekalan oksigen sehingga 3 pagi ini (waktu Indonesia).

India
Peralatan“Deep Submergence Rescue Vehicle” India yang diterbangkan ke Indonesia.

 

Hanya tinggal beberapa jam sebelum bekalan oksigen di dalam KRI Nanggala habis.

Clark juga berkata,  bekalan kuasa yang terputus itu juga memberi kesan terhadap kemampuan krew kapal selam untuk bertahan lama kerana banyak peralatan tidak akan berfungsi termasuk alatan menghasilkan oksigen dan alatan menyerap karbon monoksida.

Tentera Laut Indonesia juga menyatakan terdapat kemungkinan bekalan kuasa di KRI Nanggala terputus menyebabkan ia karam di kedalaman 700 hingga 900 meter di dasar.

Sementara itu penganalisis tentera laut di S Rajaratnam School of International Studies di Singapura Ben Ho berkata,  banyak sebab boleh menyebabkan kapal selam itu terputus bekalan kuasa termasuk akibat letupan torpedo.

Memandangkan KRI Nanggala sedang terlibat dalam latihan yang melibatkan pelancaran peluru berpandu, maka kemungkinan letupan torpedo di dalam kapal selam itu tidak dapat dinafikan, katanya.

Kapal selam

Sementara itu India mengumumkan ia akan menerbangkan “Deep Submergence Rescue Vehicle” ke Indonesia untuk mempercepatkan pembabitan di dalam operasi misi mencari dan menyelamat kapal selam KRI Nanggala.

Peralatan itu dijangka tiba di Indonesia hari ini.

India turut mengerah kapal penyelamat kapal selam yang memiliki peralatan yang sama tetapi pelayaran itu akan mengambil masa empat hari sebelum ia tiba di lokasi dimana KRI Nanggala hilang di utara Bali.

Malaysia, Singapura dan Australia turut mengerah kapal mereka ke Bali, manakala Amerika Syarikat akan menghantar aset udara untuk membantu misi mencari dan menyelamat KRI Nanggala.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...