Komander Bawa Pulang Kapal Selam Negara Pertama Dari Perancis Dilantik Panglima TLDM
Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut sejak 1 Ogos tahun ini, dinaikkan pangkat daripada Laksamana Madya ke Laksamana untuk dilantik sebagai Panglima Tentera Laut menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, yang akan bersara pada 2 Disember 2024.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Komander yang membawa pulang kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis pada 2009 Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, hari ini dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-19.
Beliau yang memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut sejak 1 Ogos tahun ini, dinaikkan pangkat daripada Laksamana Madya ke Laksamana untuk dilantik sebagai Panglima Tentera Laut menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, yang akan bersara pada 2 Disember 2024.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan majlis pemakaian pangkat Zulhelmy disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Dilahirkan pada 2 Jan 1968 di Dato Keramat di sini, Zulhelmy menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada 1981 hingga 1985, sebelum mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1986, seterusnya ditauliahkan sebagai Left Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.
“Kerjaya Zulhelmy sebagai Submariner bermula pada 1993, apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia seterusnya, menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta.

Comments are closed.