Ketahui Bagaimana Pakistan Tembak Jatuh Pesawat Pejuang India Guna Persenjataan China
Keupayaan peluru berpandu PL-15 dan sistem rangkaian perang pelbagai domain Pakistan berjaya mengejutkan India dalam pertempuran udara berskala besar pada 7 Mei, menandakan pergeseran kuasa udara di Asia Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Agensi berita antarabangsa, Reuters dalam laporan terkininya mendedahkan bahawa tepat selepas tengah malam pada 7 Mei lalu, skrin di bilik operasi Tentera Udara Pakistan (PAF) menyala merah, memaparkan kedudukan puluhan pesawat musuh aktif di seberang sempadan India.
Panglima Tentera Udara Pakistan, Air Chief Marshal Zaheer Ahmad Babar Sidhu, yang telah tidur di atas tilam berhampiran bilik itu selama beberapa hari, bangkit serta-merta—menjangkakan serangan balas dari India.
New Delhi menuduh Islamabad menyokong militan yang melancarkan serangan sebulan sebelumnya di Kashmir India, mengorbankan 26 orang awam.
Walaupun Pakistan menafikan penglibatan, India berikrar akan membalas dan bertindak dengan serangan udara awal pagi 7 Mei ke atas wilayah Pakistan.
Sidhu segera mengarahkan jet tempur utama Pakistan buatan China, J-10C, untuk berlepas.
Seorang pegawai kanan PAF yang berada di bilik operasi mendedahkan bahawa Sidhu telah memberi arahan khusus supaya menyasarkan pesawat Rafale—jet buatan Perancis yang menjadi kebanggaan armada udara India dan belum pernah ditembak jatuh dalam sejarah pertempuran sejak ia mula dipasarkan oleh syarikat pembuatnya, Dassault Aviation daripada Perancis.

“Dia mahukan Rafale,” kata pegawai itu.
Pertempuran selama sejam yang berlaku dalam kegelapan malam menyaksikan penglibatan kira-kira 110 pesawat dari kedua-dua negara, menjadikannya pertempuran udara terbesar dunia dalam beberapa dekad, menurut pakar pertahanan.
Menurut laporan Reuters pada Mei lalu yang memetik pegawai Amerika Syarikat, jet J-10C Pakistan berjaya menembak jatuh sekurang-kurangnya satu Rafale India,walaupun dakwaan menyatakan Pakistan berjaya menembak jatuh tiga buah Rafale.
Kejadian itu mengejutkan komuniti ketenteraan global dan menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem senjata Barat apabila berdepan teknologi buatan China yang belum diuji dalam peperangan sebenar.
Saham syarikat Dassault Aviation (AM.PA), pengeluar Rafale, menjunam susulan laporan tersebut.
Indonesia—yang telah membuat tempahan Rafale—dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membeli J-10C sebagai alternatif, perkembangan yang meningkatkan prospek eksport pertahanan China.
Namun siasatan Reuters mendapati masalah utama bukan terletak pada prestasi Rafale, sebaliknya kegagalan risikan India yang tersilap menganggarkan jarak sebenar peluru berpandu PL-15 yang digunakan oleh J-10C.

PL-15 adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh generasi baharu China, dan hanya digunakan oleh China dan Pakistan.
Pegawai India mengakui bahawa juruterbang Rafale percaya mereka berada di luar jangkauan tembakan Pakistan, berdasarkan andaian bahawa PL-15 versi eksport hanya berjarak sekitar 150 kilometer.
Maklumat risikan yang salah itu memberi rasa selamat palsu kepada juruterbang India—dan ia terbukti membawa padah.
“Kami berjaya menyergap mereka,” kata pegawai PAF itu, sambil menambah bahawa Pakistan turut melancarkan serangan perang elektronik ke atas sistem komunikasi dan radar India untuk mengelirukan juruterbang mereka.
Pegawai India bagaimanapun mempertikaikan keberkesanan serangan itu.
“India tidak menjangka bahawa ia akan diserang,” kata Justin Bronk, pakar peperangan udara dari Royal United Services Institute (RUSI) di London.
“Dan PL-15 jelas sekali sangat berkesan pada jarak jauh,” tambah beliau.

Menurut pegawai Pakistan, peluru PL-15 yang membedil Rafale dilancarkan dari jarak sekitar 200 kilometer—dan mungkin lebih jauh menurut pegawai India—menjadikannya antara serangan udara-ke-udara jarak terjauh pernah direkodkan.
Kementerian Pertahanan dan Luar Negeri India tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan komen tentang kesilapan risikan ini.
Delhi juga tidak pernah secara rasmi mengakui kehilangan Rafale, namun Ketua Tentera Udara Perancis dalam satu sidang media Jun lalu mendedahkan beliau telah melihat bukti kehilangan pesawat Rafale dan dua lagi pesawat India termasuk Su-30MKI buatan Rusia.
Seorang eksekutif kanan Dassault Aviation juga memaklumkan kepada parlimen Perancis bahawa India telah kehilangan sebuah Rafale dalam operasi, walaupun tidak mempunyai butiran terperinci.
Tentera Pakistan pula dalam kenyataan sebelum ini menyatakan bahawa “kesiapsiagaan profesional” lebih penting daripada jenis senjata yang digunakan.
Kementerian Pertahanan China, Dassault Aviation dan pengeluar Su-30MKI, United Aircraft Corporation (UAC), tidak memberikan sebarang komen balas kepada Reuters.
Menurut lapan pegawai Pakistan dan dua pegawai India yang ditemu bual Reuters, pertempuran udara pada 7 Mei itu merupakan permulaan kepada empat hari pertempuran udara sengit antara dua kuasa nuklear yang membimbangkan Washington.
Apa yang memberi kelebihan kepada Pakistan ialah kejutan dari segi jarak sebenar peluru berpandu mereka serta keupayaan mengintegrasikan peralatan ketenteraan dengan sistem pengawasan darat dan udara secara lebih berkesan.
Rangkaian ini dikenali sebagai “kill chain”—satu sistem peperangan pelbagai domain yang menghubungkan pelbagai sensor dari udara, darat dan ruang angkasa dalam satu rangkaian peperangan digital.
Empat pegawai Pakistan mengesahkan bahawa sistem ini dibina menggunakan rangkaian buatan tempatan dikenali sebagai Data Link 17 yang menghubungkan aset buatan China seperti J-10C dan peluru PL-15 dengan sistem lain termasuk pesawat pengawasan buatan Sweden.
Melalui sistem ini, J-10C tidak perlu menghidupkan radar sendiri sebaliknya hanya menerima data radar daripada pesawat AWACS yang berada jauh di belakang—membolehkan jet Pakistan beroperasi secara senyap dan tidak dikesan radar India.
India sedang berusaha membina sistem serupa, namun ia lebih rumit kerana pesawat mereka datang dari pelbagai negara pengeluar yang berbeza.
Menurut Air Marshal (B) Greg Bagwell dari UK, insiden ini tidak membuktikan keunggulan mutlak mana-mana sistem Barat atau China, tetapi menunjukkan kepentingan maklumat situasi dalam pertempuran moden.
“Pihak yang menang ialah pihak yang mempunyai kesedaran situasi terbaik,” katanya.
Selepas serangan awal India ke atas sasaran yang dikatakan sebagai infrastruktur pengganas di Pakistan, Sidhu mengarahkan semua skuadron PAF beralih daripada mod pertahanan kepada mod serangan penuh.
Lima pegawai PAF berkata India menghantar sekitar 70 pesawat—lebih daripada yang dijangka—dan memberi Pakistan peluang besar untuk menggunakan peluru PL-15 terhadap pelbagai sasaran.
Menurut Bagwell, ini merupakan pertempuran udara moden pertama berskala besar di mana kesemua peluru digunakan di luar garis visual (beyond-visual-range, BVR) dan pesawat kekal dalam ruang udara negara masing-masing.
Lima pegawai Pakistan turut mengesahkan bahawa serangan elektronik turut dilancar ke atas sistem komunikasi India untuk mengurangkan keberkesanan Rafale.
Dua pegawai India pula berkata sistem Rafale tidak diganggu, tetapi mereka mengakui sistem pesawat Sukhoi telah terganggu dan kini sedang dinaik taraf.
Pegawai keselamatan India lain pula menyalahkan arahan politik yang menyekat tentera udara India daripada menyerang kemudahan tentera dan sistem pertahanan udara Pakistan.
Dalam seminar di Jakarta, Atase Pertahanan India menyatakan bahawa kehilangan pesawat hanya berlaku kerana arahan politik untuk tidak menyerang sasaran ketenteraan Pakistan.
Ketua Angkatan Pertahanan India, Jeneral Anil Chauhan, memberitahu Reuters bahawa India telah “memperbetulkan taktik” dengan cepat selepas mengalami kerugian awal.
Selepas 7 Mei, India melancarkan serangan udara balas menggunakan peluru berpandu supersonik BrahMos ke atas sembilan pangkalan udara dan tapak radar Pakistan, termasuk memusnahkan sebuah pesawat pengawasan yang diletakkan di hangar.
Gencatan senjata akhirnya dicapai pada 10 Mei selepas perbincangan diplomatik antara AS, India dan Pakistan.
Susulan insiden itu, Timbalan Ketua Tentera Darat India, Leftenan Jeneral Rahul Singh, menuduh Pakistan menerima “input langsung” daripada China—merujuk kepada data radar dan satelit—walaupun tanpa sebarang bukti.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, menjawab bahawa kerjasama pertahanan dengan Pakistan adalah normal dan tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga.
Ketua Tentera Udara China, Leftenan Jeneral Wang Gang, melawat Pakistan pada Julai untuk memahami bagaimana PAF mengintegrasikan peralatan China dalam pelaksanaan “kill chain”.
Kenyataan rasmi dari tentera Pakistan menyatakan Wang menunjukkan “minat mendalam untuk mempelajari pengalaman PAF dalam operasi pelbagai domain yang terbukti di medan.”
