Kerajaan India Dituduh “Mengelirukan Rakyat” Kerana Sembunyikan Kehilangan Pesawat Pejuangnya
Tuduhan berat "mengelirukan rakyat" India itu muncul berikutan pengakuan berani oleh Atase Pertahanan India ke Indonesia, Kapten (Tentera Laut India) Shiv Kumar, semasa sebuah seminar tertutup di Jakarta yang mendedahkan sesuatu yang selama ini cuba dinafikan oleh saluran rasmi New Delhi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Hubungan di antara masyarakat sivil dan tentera di India yang sedia tegang terus bergolak apabila Parti Kongres melontarkan tuduhan serius bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi telah “mengelirukan rakyat” dengan menyembunyikan fakta bahawa Tentera Udara India (IAF) dilaporkan kehilangan lima pesawat pejuang dalam Operasi Sindoor yang dilancarkan terhadap Pakistan.
Tuduhan berat ini muncul selepas pengakuan berani oleh Atase Pertahanan India ke Indonesia, Kapten (Tentera Laut India) Shiv Kumar, yang semasa sebuah seminar tertutup di Jakarta, mendedahkan sesuatu yang selama ini cuba dinafikan oleh saluran rasmi New Delhi.
Operasi Sindoor adalah kempen serangan udara dilancarkan oleh IAF pada malam 7 Mei 2025 dengan objektif memusnahkan sasaran berkaitan keganasan di dalam wilayah Pakistan, langkah yang kononnya bertujuan memberikan tamparan kepada rangkaian militan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang sentiasa bergolak.
Namun apa yang didakwa sebagai “kejayaan serangan tepat” kini terpalit dengan dakwaan setengah benar dan penafian separa yang menurut pengkritik hanya merobek kepercayaan awam dan kredibiliti operasi.
Setiausaha Agung Parti Kongres India yang bertanggungjawab ke atas komunikasi, Jairam Ramesh, langsung tidak berselindung apabila berkongsi laporan media di akaun rasminya di X (sebelum ini Twitter), sambil menuduh kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) secara sistematik ‘menimbus kebenaran’ daripada pengetahuan rakyat India.
Dalam hantaran yang segera tular dalam kalangan pemerhati pertahanan serantau, Ramesh merujuk secara langsung kepada pendedahan oleh Kapten Shiv Kumar bahawa IAF telah kehilangan pesawat pejuang kepada Pakistan — satu pengakuan yang, jika disahkan sepenuhnya, akan mencatat salah satu kegagalan tempur udara paling besar bagi India dalam sejarah moden.
Ketua Media dan Publisiti Parti Kongres India yang terkenal lantang, Pawan Khera, terus menambah tekanan apabila mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Modi telah “mengelirukan negara sejak awal — (kerana) telah gagal mendedahkan kehilangan pesawat pejuang semasa Operasi Sindoor.”

Khera menegaskan bahawa rujukan secara samar-samar tentang kehilangan di udara hanya muncul ketika sidang media berhati-hati oleh Pengarah Operasi Udara, Marsyal Udara Awadhesh Kumar Bharti, yang sekadar menyebut, “kita berada dalam situasi tempur dan kehilangan (pesawat) adalah sebahagian daripada pertempuran.”
Namun menurut para pemimpin Kongres, kenyataan ‘selamat’ ini sama sekali tidak mencerminkan realiti sebenar skala kerugian ditanggung oleh IAF.
Lebih memalukan, Ketua Turus Angkatan Tentera India, Jeneral Anil Chauhan hanya membuat pengakuan separa mengenai kehilangan udara tersebut dalam kenyataan ringkasnya kepada Bloomberg TV pada Dialog Shangri-La di Singapura — langkah yang dikritik banyak pihak sebagai lambat dan langsung tidak telus.
Apa yang menambah bara pada api perdebatan ialah penjelasan terus terang oleh Kapten Shiv Kumar semasa pembentangan beliau di hadapan ahli akademik pertahanan dan pegawai kanan tentera udara Indonesia di Universitas Dirgantara Marsekal Suryadarma pada 10 Jun 2025.
Seminar tertutup yang bertajuk “Analisis Pertempuran Udara Pakistan–India dan Strategi Antisipasi Indonesia Dari Perspektif Kuasa Udara” itu menjadi pentas bagi pendedahan yang kini menggegarkan komuniti keselamatan Asia Selatan.
Dalam pembentangannya, Kapten Kumar dengan nada profesional mengakui, “Saya mungkin tidak bersetuju bahawa kita kehilangan begitu banyak pesawat, tetapi saya bersetuju kita memang kehilangan beberapa pesawat.”
Berdasarkan slaid pembentangan yang bocor kepada penganalisis pertahanan serantau, kerugian yang dilaporkan merangkumi tiga pesawat Rafale — aset termahal IAF yang diperoleh dari Perancis dengan kos keseluruhan sekitar USD 8.7 bilion (kira-kira RM40.8 bilion) — selain satu Su-30MKI dan satu MiG-29.
Implikasi kewangan dan operasi bagi kehilangan pesawat seumpama ini amat mendalam.
Setiap Rafale dianggarkan berharga sekurang-kurangnya USD 240 juta seunit (lebih kurang RM1.1 bilion), membawa teknologi avionik tercanggih, radar AESA, peluru berpandu jarak jauh Meteor, dan sistem peperangan elektronik termaju — kesemuanya adalah tulang belakang keupayaan IAF bagi menangani ancaman Pakistan mahupun China.

Namun aset-aset berharga ini, dakwa Kongres, telah diletakkan dalam keadaan risiko tinggi akibat sekatan Rules of Engagement yang ditetapkan oleh kepimpinan awam kerajaan Perdana Menteri Modi — tindakan yang menurut para pengkritik telah melemahkan sepenuhnya keupayaan IAF untuk melumpuhkan sistem pertahanan udara bersepadu Pakistan.
Kapten Kumar sendiri tidak menafikan hal ini.
Beliau menegaskan, “Tentera Udara India kehilangan pesawat pejuang kepada Pakistan pada malam 7 Mei 2025 hanya kerana kekangan yang diberikan oleh kepimpinan politik untuk tidak menyerang kem tentera Pakistan atau sistem pertahanan udara mereka.”
Penganalisis pertahanan yang memahami selok-belok pertempuran udara itu mengesahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang India diarahkan untuk hanya mengebom kem-kem kumpulan pengganas dan mengelak daripada mengebom infrastruktur ketenteraan Pakistan — satu arahan yang bertujuan mengekang risiko konflik merebak kepada persaingan nuklear antara dua negara berjiran, namun sebaliknya membuka ruang kepada Tentera Udara Pakistan (PAF) untuk bertindak balas secara agresif.
Pegawai kanan PAF mendakwa pesawat pejuang mereka, yang beroperasi dengan protokol kesiapsiagaan tinggi, segera beralih daripada ‘penangkisan’ kepada mod “tembak untuk musnah” sebaik sahaja pesawat India menceroboh ruang udara domestik Pakistan.
Laporan tidak rasmi dari Islamabad mendakwa sehingga enam pesawat pejuang India ditembak jatuh dalam tempoh singkat tetapi sengit itu — dakwaan yang masih tidak disahkan atau dinafikan oleh pihak New Delhi sehingga ke hari ini, lantas menimbulkan pelbagai spekulasi dan perang maklumat di media serantau.
Pihak kerajaan India terus berdolak-dalik dengan alasan ‘kerahsiaan operasi’, moral pasukan, dan sensitiviti diplomatik sebagai sebab mengelak mendedahkan angka sebenar.
Namun, tindakan ‘membisu’ ini hanya menambah curiga bahawa rakyat India telah ‘dikelirukan’ tentang kos sebenar Operasi Sindoor yang selama ini dipromosikan sebagai suatu kejayaan besar.
Serangan keeras Pawan Khera terhadap pentadbiran Perdana Menteri Modi menjadi lebih pedas apabila beliau menegaskan, “Mereka (kerajaan Modi) tahu mereka telah kompromi keselamatan negara, dan mereka ketakutan dengan apa yang Parti Kongres bakal dedahkan kepada rakyat India.”
Khera turut menegaskan bahawa partinya tidak akan berhenti mendesak supaya siasatan penuh Parlimen diadakan untuk membongkar sepenuhnya apa yang didakwa sebagai ‘penutupan fakta’ yang disengajakan.

