Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kedutaan Afghanistan Dakwa Bekas Presiden Ashraf Ghani Curi US$169 Juta (RM709 Juta)

Laporan media tempatan mendakwa Ashraf melarikan diri ke Tajikistan ketika Kabul tumbang kepada Taliban bersama-sama beg berisi US$169 juta.

0 707

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kedutaan Afghanistan di Tajikistan telah meminta pihak berkuasa negara Asia Tengah itu dan Interpol supaya menangkap bekas Presiden Afghanistan Ashraf Ghani kerana mencuri khazanah negara.

Laporan media tempatan mendakwa Ashraf melarikan diri ke Tajikistan ketika Kabul tumbang kepada Taliban bersama-sama beg berisi US$169 juta (RM709 juta).

Bekas presiden Afghanistan yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat itu dipercayai melarikan diri ke Tajikistan, sama ada menaiki pesawat atau helikopter sehari sebelum Kabul jatuh ditangan puak Taliban.

Ketika laporan Ashraf melarikan diri ke Tajikistan, sudah ada dakwaan mengatakan bahawa beliau membawa bersama ratusan juta dollar Amerika Syarikat bersama-samanya serta empat buah kereta.

Selain itu kedutaan Afghanistan itu di Tajikistan juga mahukan negara Asia Tengah yang bersempadan dengan Afghanistan supaya menangkap pegawai-pegawai Ashraf iaitu bekas penasihat keselamatan kebangsaan, Hamdullah Mohib dan penasihat bekas presiden, Fazel Mahmood.

Ashraf
Pegawai Kedutaan Afghanistan di Tajikistan menurunkan gambar bekas presiden Ashraf Ghani.

 

Kedua-dua mereka juga dipercayai melarikan sejumlah duit milik kerajaan Afghanistan.

Sementara itu kakitangan kedutaan Afghanistan di Tajikistan juga dilihat menurunkan potret Ashraf Ghani dan menggantikan dengan potret naib presiden negara itu, Amrullah Salleh yang merupakan seorang pemimpin Northern Alliance.

Amrullah sebelum ini dalam ciapan di Twitter mengatakan bahawa beliau kini adalah presiden sementara Afghanistan, selaras dengan perlembagaan negara itu yang mengatakan bahawa beliau adalah presiden sementara sekiranya presiden “hilang, melarikan diri, meletakkan jawatan atau mati.”

Beliau juga mengatakan kini berada di utara Lembah Pansjir, yang merupakan kubu kuat kepada puak anti-Taliban.

Pada ketika ini, Tajikistan belum lagi mengiktiraf Taliban sebagai pemerintah sebenar Afghanistan.

Ashraf
Pegawai kedutaan Afghanistan di Tajikistan menaikkan gambar Amrullah Saleh sebagai presiden sementara negara itu menggantikan Ashrad Ghani.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...