Kecewa Dengan Pendirian Amerika, Mesir Serius Pertimbang Peroleh J-35A Buatan China
Minat Mesir terhadap pesawat pejuang J-35A buatan China ini semakin memuncak ketika Kaherah semakin kecewa dengan pendirian Washington yang sejak sekian lama enggan membekalkan pesawat tempur berteknologi tinggi seperti F-35 Lightning II dan varian F-15EX terbaru yang lengkap dengan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam perkembangan yang berpotensi merubah keseimbangan kuasa udara strategik di Timur Tengah, Mesir kini dilaporkan sedang mempertimbangkan secara serius untuk memperoleh pesawat pejuang generasi kelima J-35A buatan China, seperti yang dilaporkan oleh majalah berpengaruh Amerika Syarikat, Newsweek.
Minat Mesir terhadap pesawat pejuang J-35A buatan China ini semakin memuncak ketika Kaherah semakin kecewa dengan pendirian Washington yang sejak sekian lama enggan membekalkan pesawat tempur berteknologi tinggi seperti F-35 Lightning II dan varian F-15EX terbaru yang lengkap dengan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM.
Polisi sekatan ketat ini sebahagian besarnya didorong oleh pendirian Israel yang tegas mahu mengekalkan Qualitative Military Edge (QME) yang disokong penuh oleh Amerika Syarikat bagi memastikan dominasi teknologi ketenteraan Israel berbanding negara jiran serantau.
Selama beberapa dekad, Amerika Syarikat mengekalkan Mesir sebagai sekutu ketenteraan Arab terdekatnya dengan hanya membekalkan pesawat legasi seperti F-16 Fighting Falcon, sedangkan pesawat pejuang generasi kelima yang lebih canggih seperti F-35 diberikan kepada Israel, Emiriah Arab Bersatu dan sekutu NATO terpilih sahaja.
Keadaan ini secara langsung mengekang keupayaan kuasa udara Mesir yang kekal pada tahap kedua.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tokoh kanan Tentera Udara Mesir termasuk Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Mahmoud Abdel Gawad dilaporkan telah menunjukkan minat mendalam terhadap J-35A, pesawat pejuang halimunan enjin berkembar yang direka untuk menyaingi keupayaan F-35 Amerika Syarikat dari segi kebolehan halimunan, keupayaan sensor fusion generasi baharu dan avionik canggih.
Penganalisis pertahanan berpendapat J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation memberi laluan politik yang lebih realistik kepada Kaherah untuk memecahkan had teknologi yang ditetapkan oleh sekatan jualan senjata Washington.

Mejar Jeneral Sayed Ghoneim yang juga Pengerusi Institute for Global Security and Defense Affairs (IGSDA) berpangkalan di Abu Dhabi memberitahu Newsweek bahawa pameran model skala J-35A dalam satu acara rasmi di Kaherah baru-baru ini sempena ulang tahun ke-45 hubungan ketenteraan Mesir-China bukan sekadar simbolik semata-mata.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai isyarat terancang kepada Beijing dan Washington bahawa Mesir kini bersedia untuk mempelbagaikan sumber perolehan pertahanan berteknologi tinggi.
“Langkah ini juga mungkin bertujuan memberi tekanan kepada Amerika Syarikat agar lebih fleksibel terhadap permintaan Mesir untuk pesawat pejuang canggih — terutamanya melihat kepada keengganan Washington mengambil kira kebimbangan keselamatan Mesir semasa konflik terbaru Israel di Gaza, selain sikap Amerika yang mahukan senjata mereka tidak digunakan oleh mana-mana negara ke atas sekutunya,” kata Ghoneim kepada Newsweek.
Isyaratnya cukup jelas.
Bagi Kaherah yang mengoperasikan salah satu armada F-16 terbesar di dunia, sekatan Washington ke atas naik taraf penting seperti pemasangan radar AESA moden atau integrasi peluru berpandu AMRAAM menjadikan pesawat Fighting Falcon yang dahulunya digeruni kini semakin ketinggalan dan mempunyai nilai penangkis yang terhad terhadap ancaman semasa.
Menurut pakar pertahanan serantau, kecenderungan Mesir beralih kepada J-35A adalah sebahagian daripada langkah lebih besar untuk memodenkan armada taktikalnya di tengah-tengah cabaran serantau yang semakin kompleks.
Antara cabaran tersebut termasuk kemajuan pesat program pesawat pejuang generasi kelima TF-X buatan Turki, usaha berterusan Emiriah Arab Bersatu untuk memiliki F-35 walaupun berdepan halangan politik, serta tindakan Israel menambah skuadron F-35I Adir untuk mengekalkan kelebihan dominasi udara mereka.

Tawaran China terhadap J-35A bukan sekadar satu lagi transaksi jualan senjata tetapi sebahagian daripada strategi besar Beijing untuk mengekang pengaruh Amerika di Afrika Utara dan dunia Arab secara keseluruhan.
Ini seiring dengan Belt and Road Initiative dan cita-cita China untuk menjadi pembekal senjata global bertaraf utama yang mampu bersaing dengan Amerika Syarikat dan Rusia dalam pasaran eksport pesawat pejuang berteknologi tinggi.
Bagi Beijing, mendapatkan Mesir — yang selama ini menjadi tonggak utama arkitektur keselamatan Amerika di Timur Tengah — sebagai pelanggan terawal J-35A akan menjadi kemenangan diplomatik besar dan mengukuhkan reputasi China sebagai sumber alternatif teknologi ketenteraan tercanggih tanpa syarat politik yang membebankan seperti amalan tradisi Foreign Military Sales Amerika.
Subteks strategiknya cukup nyata — Amerika Syarikat dengan pendirian tegar mengekalkan dasar QME Israel kini berisiko menolak sekutunya sendiri ke pangkuan Beijing.
Walaupun masih tiada pengesahan rasmi daripada Kaherah atau Beijing mengenai rundingan kontrak, pelbagai petunjuk menunjukkan asasnya sedang dibina secara senyap.
Pemerhati dan bekas pegawai tentera Mesir berpendapat sebarang perjanjian akan disertakan elemen transfer of technology yang lebih luas, termasuk pemasangan tempatan dan kemudahan penyelenggaraan.
Langkah ini akan membuka peluang Mesir membina kepakaran sendiri dalam pengeluaran kerangka pesawat halimunan dan integrasi avionik canggih — satu bidang yang sebelum ini agak ketinggalan bagi industri aeroangkasa domestiknya.

Dari segi kos, anggaran harga seunit J-35A ialah sekitar USD85 juta (RM400 juta), satu angka yang kekal kompetitif berbanding F-35 yang dianggarkan berharga USD90–100 juta (RM425–475 juta) seunit bergantung kepada konfigurasi dan pakej penyelenggaraan.
Perolehan berskala besar Mesir sebelum ini seperti pesawat Rafale buatan Perancis, kapal selam Type 209 Jerman dan meriam K9 buatan Korea Selatan jelas menunjukkan kepimpinan Mesir sanggup membayar harga premium untuk mendapatkan kebebasan strategik walaupun berdepan cabaran ekonomi dan syarat ketat IMF.
“Langkah ini boleh mengurangkan kebergantungan Mesir kepada persenjataan Amerika — satu perubahan yang mungkin berjangkit ke pasaran lain di rantau ini kerana Mesir dianggap sebagai penanda aras oleh negara lain untuk menilai kualiti sistem senjata global.
Ini terbukti dengan perolehan Rafale oleh Mesir sebelum ini, selain keterbukaan mereka mengimport senjata dari Korea Selatan, Jerman dan pembelian komponen dari pelbagai sumber lain,” kata Ghoneim lagi.
Keengganan Washington untuk meluluskan pemindahan pesawat pejuang generasi baharu bukan hanya disebabkan tekanan Israel tetapi turut dipengaruhi kebimbangan bahawa teknologi tersebut mungkin jatuh ke tangan Rusia atau China melalui proses kejuruteraan songsang, memandangkan dasar luar Kaherah yang berkecuali serta hubungan ketenteraan yang kukuh dengan Moscow dan Beijing.
Namun dari sudut Kaherah, permainan diplomasi ini semakin tidak tertanggung.
Bagi sebahagian besar kepimpinan ketenteraan Mesir, pendirian Amerika dianggap semakin ketinggalan zaman memandangkan negara Arab Teluk lain kini sedang dibelai dengan platform generasi baharu, termasuk usaha UAE memiliki F-35 dan projek pembangunan pesawat pejuang halimunan Turki TF-X yang kini dipanggil “KAAN”.
