Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Britain Jejaki Kapal Selam Russia Di “Laluan-Laluan Pelik” Berhampirannya

“Pihak United Kingdom telah mengesan kehadiran kapal-kapal selam Russia di Atlantik Utara dan Laut Irish serta Laut Utara menggunakan laluan-laluan yang pelik yang tidak pernah dilalui mereka sebelum ini." -- Setiausaha Pertahanan United Kingdom Ben Wallace ketika melawat Washington baru-baru ini.

7,740

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa bulan lepas, Kementerian Pertahanan United Kingdom telah menjejaki pergerakan beberapa buah kapal selam Russia di perairan berhampirannya menggunakan laluan-laluan yang “pelik” dan tidak pernah digunakan oleh kapal-kapal selam terbabit sebelum ini.

Setiausaha Pertahanannya Ben Wallace berkata kapal-kapal selam Russia itu telah dikesan beroperasi di perairan Atlantik Utara dan Laut Irish (Irish Sea) serta Laut Utara (North Sea).

“Pihak United Kingdom telah mengesan kehadiran kapal-kapal selam Russia di Atlantik Utara dan Laut Irish serta Laut Utara menggunakan laluan-laluan yang pelik yang tidak pernah dilalui mereka sebelum ini,” kata beliau kepada pemberita di Washington ketika melakukan lawatan di Amerika Syarikat.

Kapal Selam
India turut menghadiahkan sebuah kapal selam jenis Kilo buatan Russia kepada Myanmar Mac tahun lepas.

 

Negara-negara anggota NATO telah menyuarakan kebimbangan tentang kemampuan armada kapal selam milik Russia, dengan seorang pakar ketenteraan menggambarkan bahawa ia (kapal selam Russia) itu adalah satu-satunya cabaran kritikal yang perlu dihadapi oleh tentera Amerika Syarikat.

Sebelum ini, pegawai-pegawai kanan tentera Amerika juga menyatakan bahawa terdapat peningkatan dalam “kemunculan” kapal-kapal selam Russia di perairan luar pantai negara kuasa besar itu.

Media-media Russia pula melaporkan awal tahun ini bahawa Moscow bakal menubuhkan ketumbukan baru di Armada Pasifik seawal tahun depan yang  terdiri daripada kapal-kapal selam yang dilengkapi dengan torpedo dilengkapi kepala peledak nuklear dipanggil “Poseidon.”

Moscow dilihat telah berterusan membangunkan kemampuan kapal selamnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan 58 buah kapal selam dimiliknya, kemampuan bawah permukaan Russia diperakui adalah antara kekuatan utama ketenteraannya.

Belgorod
Kapal selam “Belgorod” milik Russia

 

Minggu lepas, Armada Pasifik Tentera Laut Russia telah memulakan latihan laut besar-besar, yang disertai oleh 25,000 anggota tentera, 89 pesawat dan 12 buah kapal selam.

Penganalisa tentera menggambarkan “pergerakan” kapal-kapal selam milik tentera Russia kebelakangan ini sebagai mengimbau kembali era Soviet Union pada Perang Dingin di antara blok negara-negara Demokratik dan negara-negara Komunis.

Pada 2021 Setiausaha Pertahanan United Kingdom memberitahu media Britain bahawa kapal-kapal selam Russia telah “mengepung” kawasan pesisir pantai negara itu.

Beliau juga menggelar Moscow sebagai “musuh no 1” Britain. — DSA

 

 

Comments are closed.