Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thai Jadikan Malaysia “Sasaran” Dalam Usahanya Beli Kapal Selam?

Rakyat Thailand mahukan kerajaan yang dipimpin oleh jeneral-jeneral tentera itu membelanjakan yang sepatutnya digunakan untuk membeli tiga buah pembelian kapal selam itu untuk membantu rakyatnya menangani masalah ekonomi yang meruncing akibat pandemik COVID-19.

0 23,388

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak tentera Thailand dikatakan “berkeras” mahu meneruskan perolehan tiga buah kapal selam “S-26T”  daripada China yang diidam-idamkannya sejak puluhan tahun dahulu, walaupun menerima kecaman yang amat hebat daripada rakyatnya yang mahu pembelian itu dibatalkan.

Rakyat Thailand mahukan kerajaan yang dipimpin oleh jeneral-jeneral tentera itu membelanjakan wang pembelian yang sepatutnya digunakan untuk membeli tiga buah kapal selam itu untuk membantu rakyatnya menangani masalah ekonomi yang meruncing akibat pandemik COVID-19.

Dalam ertikata lain, rakyat Thailand tidak mahu mahu kerajaan tentera negara itu “membazir” dengan membelanjakan wang yang amat banyak untuk membeli senjata dan sebaliknya menggunakan duit itu untuk membantu mereka serta menambah stok bekalan vaksin COVID-19.

Tetapi, mengapa Bangkok begitu beria-ia mahu mendapatkan kapal selam untuk tentera lautnya? Alasan yang kerap dilaungkannya adalah kerana ia sudah lama mahu mengoperasikan kapal selam kerana ia merupakan elemen yang penting dalam memperkasakan tentera lautnya.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi sebab mengapa Thailand berkeras mahu melengkapkan tentera lautnya dengan kapal selam.

Sebab itu adalah, Malaysia dan perkara ini diakui sendiri oleh pegawai kanan tentera lautnya.

tentera thailand
Kapal selam Type 093 kelas-Shang Tentera Laut China.

Bangkok Gunakan Malaysia Sebagai “Bogeyman”

 

Thailand telah menggunakan Malaysia sebagai “bogeyman” (musuh dalam bayangan) di dalam usahanya untuk memenuhi impian sejak sekian lama bagi melengkapkan angkatan tentera lautnya dengan kapal selam daripada China.

Bangkok melaungkan bahawa tujuan utama disebalik keghairahannya yang meluap-luap untuk mendapatkan kapal selam adalah kerana mahu bersaing dengan Malaysia yang telah pun memiliki dua buah kapal selam “Scorpene” buatan syarikat DCNS daripada Perancis dan Navantia daripada Sepanyol.

Mengapa pula, Thailand menjadikan Malaysia sebagai “sasaran”?

Thailand mahu memiliki kapal selam sebelum tahun 2027 untuk membolehkan negara itu berada di kedudukan yang lebih “kuat” dalam rundingan dua halanya dengan Malaysia berkenaan Kawasan Pembangunan Bersama (Joint Development Area) yang terletak di Teluk Siam.

Ia mahu rundingannya dengan Malaysia mengenai JDA itu berada di kedudukan “level playing field” di antara dua negara yang masing-masing memiliki aset strategik kapal selam.

Tanpa kapal selam, Thailand berasakan ia berada di kedudukan “disadvantage” dalam rundingannya dengan Malaysia berkenaan JDA itu.

JDA ini sebagaimana yang kita ketahui memiliki simpanan gas asli yang banyak.

Perjanjian usahasama Malaysia dan Thailand berkenaan pembangunan kawasan JDA dijangka berakhir pada 2029, tetapi dalam satu sidang media pada Ogos tahun lepas, Tentera Laut Thailand menyatakan ia mahukan kapal selam yang dipesannya daripada China itu memulakan operasi sebelum perjanjian JDA itu tamat.

“Jikalau kapal selam itu beroperasi pada 2027, kita (Thailand) tidak lagi akan berada dalam kedudukan yang lemah dan mempunyai kuasa untuk berunding (bargaining power) apabila kita memulakan rundingan berkenaan JDA,” kata Ketua Jabatan Operasi Tentera Laut Diraja Thailand  Laksamana Thalerngsak Sirisawas pada sidang media terbabit.

Walaupun Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan diplomatik yang amat baik, tetapi kedua-dua negara berjiran itu juga dibebani dengan isu tuntutan bertindih di Teluk Siam termasuk JDA yang kaya dengan gas asli.

Bagi mengelak pertelingkahan berpanjangan, kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian pada 1979 untuk mengeksploitasi secara bersama sumber hidrokarbon yang terdapat di perairan yang tertakluk di bawah JDA itu.

Walaupun begitu menurut felo pelawat di ISEAS-Institut Yusuf Ishak di Singapura, Termsak Chalermpalanupap, terdapat ketidakpuashan hati dikalangan pegawai-pegawai tentera laut Thailand terutamanya berhubung satu insiden yang berlaku beberapa tahun lepas.

 

Thailand Dakwa Malaysia Ceroboh Perairannya

 

Dalam sidang media pada 24 Ogos itu, Laksamana Thalerngsak telah menyatakan bahawa tentera laut negara asing yang tidak dinamakannya, telah menceroboh perairan Thailand dalam usaha mereka untuk menghalang bot membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan Malaysia.

Walaupun tidak menamakan tentera laut berkenaan, tetapi adalah amat jelas beliau merujuk kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau berkata, Tentera Laut Thailand telah meminta Kementerian Luar negara itu untuk melancarkan bantahan terhadap pencerobohan itu.

Laksamana Thalerngsak turut berkata, tentera laut negara asing tersebut tidak peduli dengan Tentera Laut Thailand kerana mengetahui negara itu tidak mempunyai kapal selam untuk pertahanan bawah laut.

tentera thailand
Thailand membeli tiga buah kapal selam daripada China. (gambar internet)

 

Kapal-kapal selam asing yang lain juga dituduh beroperasi secara rahsia di Teluk Siam dan tentera laut Thailand berharap dengan perolehan kapal selam daripada China itu membolehkannya mencegah kegiatan itu daripada berulang.

Itu adalah justifikasi yang diberikan oleh tentera laut Thailand mengapa ia amat memerlukan kapal selam, pada ketika Parlimen negara ini sedang berusaha untuk membatalkan perolehan itu berikutan masalah ekonomi yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha hanya bersetuju untuk melengahkan pembayaran bagi pembelian kapal selam itu selama satu tahun berikutan bantahan daripada rakyat negara itu.

Kerajaan negara itu dijangka menyalurkan 3 billion Baht (RM397 juta) menerusi Bajet 2021 sebagai bayaran awal untuk pembelian kapal selam itu daripada China itu.

Rakyat Thailand mahukan wang bagi pembayaran awal kapal selam itu disalurkan kepada inisiatif-inisiatif pakej ekonomi dan bantuan COVID-19.

Thailand membeli dua buah kapal selam kelas Yuan S26T daripada China bernilai US$720 juta, manakala Beijing memberikan secara percuma kapal selam yang ketiga, menurut Prayut.

Bangkok dijangka menerima kapal selam pertama daripada China pada 2024, tetapi berikutan penangguhan pembayaran itu, tempoh penerimaan ia dijangka lebih lama.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...