Kapal Selam Kelas-Reis “TCG Piri Reis” Perkukuh Status Turkiye Sebagai Kuasa Maritim Mediterranean
Kapal selam TCG Piri Reis milik Tentera Laut Turkiye itu merupakan kapal selam kelas-Piri Reis yang pertama daripada enam buah yang dibina dalam negara dengan kerjasama firma pembuat kapal selam terkenal Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems (TKMS).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam detik yang bersejarah, Turkiye telah mentauliahkan kapal selam kelas-Reis (Type-214TN) yang pertama, TCG Piri Reis (S-330) dengan kemampuan Air Independent Propulsion (AIP) yang mengukuhkan lagi status negara Mediterranean itu sebagai kuasa maritim di Laut Mediterranean.
Kapal selam TCG Piri Reis milik Tentera Laut Turkiye itu merupakan kapal selam kelas-Piri Reis yang pertama daripada enam buah yang dibina dalam negara dengan kerjasama firma pembuat kapal selam terkenal Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems (TKMS).
“Kami merancang untuk mentauliahkan kapal selam kelas-Reis yang kedua “TCG Hizir Reis” pada tahun depan diikuti dengan kapal selam kelas-Reis ketiga “TCG Murat Reis” yang akan ditauliahkan pada 2026.”
“Pembinaan untuk kapal selam kelas-Reis keempat TCG Aydin Reis, kelima TCG Seydi Ali Reis dan keenam TCG Selman Reis sedang berjalan dengan lancar. Kita mensasarkan untuk mentauliah kesemua kapal selam itu menjelang tahun 2029,” kata Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan.
Beliau juga berkata bahawa pengalaman dan pengetahuan daripada pembinaan enam buah kapal selam kelas-Reis itu akan membantu dalam program pembinaan kapal selam buatan sendiri yang dinamakan “MILDEN.”
Pada ketika ini Tentera Laut Turkiye memiliki 12 buah kapal selam terdiri daripada empat buah kapal selam kelas-Ay (Type 209/1200), empat buah kappa selam kelas-Perveze (Type 209T/1400) dan empat buah kapal selam kelas-Gur (Type 209T2/1400).
Kesemua 12 buah kapal selam sedia ada Tentera Laut Turkiye itu adalah kapal selam penyerang diesel-elektrik.
Menjelang tahun 2019, ketumbukan armada kapal selam Tentera Laut Turkiye yang kini memiliki kekuatan 12 buah kapal selam akan bertambah kepada 18 buah dengan kemasukan enam buah kapal selam kelas-Piri Reis menggunakan teknologi AIP.
Sistem AIP kapal-kapal selam kelas-Reis menggunakan teknologi fuel cell dan bateri kapasiti tingi yang membolehkan kapal-kapal selam terkini Turkiye itu kemampuan untuk melaksanakan operasi jarak jauh dan lama tanpa keperluan untuk snorkelling.
Kapal selam kelas-Piri Reis Tentera Laut Turkiye adalah kapal selam yang memiliki rekabentuk single hull, one-compartment dan teknologi AIP .
Kapal selam terbaru Turkiye itu memiliki panjang 68.35 meter, diameter 6.3 meter, berat 1,850 tan dan berkemampuan membawa seramai 40 orang krew.
Syarikat pembuat kapal selam TKMS telah membina kapal-kapal selam kelas-Reis itu di Golcuk Naval Shipyard.
Kapal-kapal selam kelas-Reis Turkiye itu berkemampuan melaksanakan pelbagai misi daripada operasi di kawasan perairan littoral kepada lautan termasuk operasi anti-permukaan dan anti-kapal selam,Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) dan operasi pasukan khas.
Kapal-kapal selam kelas-Reis akan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal varian lancaran kapal selam “Atmaca” yang dibangunkan oleh Roketsan dan juga peluru berpandu kruis yang masih dibangunkan oleh Turkiye dinamakan “Gezgin.”
Tidak banyak yang diperkatakan tentang peluru berpandu “Gezgin” kerana Turkiye merahsiakan pembangunannya, tetapi ia dikatakan menyamai peluru berpandu kruis “Tomahawk”.
Selain peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” dan peluru berpandu kruis “Gezgin”, keenam-enam buah kapal selam kelas-Reis itu juga akan dilengkapi dengan torpedo berat “Akya.” — DSA
Comments are closed.