Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Perang Amerika USS Blue Ridge (LCC19) Kini Di Malaysia, Perkukuh Hubungan Ketenteraan

Kunjungan kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Blue Ridge ke Pelabuhan Klang itu membuktikan hubungan kukuh meliputi pelbagai bidang daripada ekonomi, keselamatan dan rakyat Malaysia serta Amerika Syarikat selama 65 tahun.

2,624

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal perang Armada Ke-Tujuh (U.S 7th Fleet) Tentera Laut Amerika, USS Blue Ridge (LCC 19) kini berada di Pelabuhan Klang bagi mengadakan lawatan rutin ke negara ini.

Kunjungan kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Blue Ridge ke Pelabuhan Klang itu membuktikan hubungan kukuh meliputi pelbagai bidang daripada ekonomi, keselamatan dan rakyat Malaysia serta Amerika Syarikat selama 65 tahun.

“Terima kasih kepada penduduk di Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur atas sambutan yang mesra terhadap anak-anak kapal USS Blue Ridge dan pasukan daripada Armada Ke-Tujuh.”

Malaysia adalah rakan utama kepada kami di rantau ini dan kunjungan ke Pelabuhan Klang memberikan kami peluang penting untuk bertemu dengan rakan-rakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), penduduk tempatan dan menikmati keindahan dan budaya negara ini,” menurut Komander Armada Ke-Tujuh Vice Admiral Fred Karcher.

Kacher mengetuai kira-kira 1,000 pegawai dan anggota turut diiringi Pegawai Pemerintah (CO) USS Blue Ridge, Kapten Nicholas C Deleo.

USS Blue Ridge
USS Blue Ridge (kredit TLDM)

 

Menurut Deleo pula, kapal USS Blue Ridge tiba di Malaysia bagi membincangkan dan meningkatkan lagi perkongsiannya dalam bidang keselamatan maritim.

 “Kita mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh sejak 1957 dan kami tiba di sini hari ini untuk meneruskan hubungan dua hala yang baik kedua negara.

“Terdapat beberapa kepentingan bersama yang kita ada dengan Malaysia dari segi keselamatan, sama ada menentang keganasan, kesedaran domain maritim atau kestabilan serantau.

“Jadi itu semua topik yang akan dibincangkan dan meneruskan hubungan negara. Saya fikir melalui dialog pada hari-hari mendatang, itulah yang kami cuba capai,” dalam sidang media semasa sesi lawatan media ke kapal berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, kapal yang dikendalikan seramai lebih 1,000 kru termasuk pegawai armada itu kali terakhir berlabuh di Malaysia pada 2019.

 Semasa kunjungan ke Pelabuhan Klang, pasukan Armada Ke-Tujuh dan USS Blue Ridge akan bertemu dengan rakan-rakan sejawatannya di TLDM dan membincangkan usaha untuk meningkatkan lagi hubungan ketenteraan di antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

USS Blue Ridge
Komander US 7th Fleet Vice Admiral Fred Karcher bertemu dengan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Zulhelmi Ithnain. (kredit TLDM)
USS Blue Ridge
USS Blue Ridge

 

“Keselamatan maritime di rantau ini telah dan kekal menjadi keutamaan untuk Amerika Syarikat. Lawatan USS Blue Ridge ke Malaysia adalah bukti kepada hubungan pertahanan yang kukuh di antara kedua-dua negara, merangkumi 14 latihan bilateral dan multilateral dengan Malaysia,” kata Chargé d’Affaires kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Manu Bhalla.

Anak-anak kapal USS Blue Ridge dan Armada Ke-Tujuh Tentera Laut Amerika Syarikat akan menyertai dalam program komuniti dan kebudayaan bagi membolehkan mereka mempelajari tentang sejarah tempatan dan melihat dengan lebih dekat penduduk di Kuala Lumpur.

Sebagai kapal perang yang bernaung di bawah Armada Ke-Tujuh, USS Blue Ridge adalah kapal operasional tertua di dalam Tentera Laut Amerika Syarikat dan secara rutinnya beroperasi dengan pasukan sekutu dan rakan-rakan dalam memelihara kebebasan rantau Indo-Pasifik yang terbuka.

Ditugaskan pada 1970, kapal perang USS Blue Ridge itu berperanan menyediakan sokongan perintah, kawalan, komunikasi, komputer dan risikan kepada komander dan kakitangan armada itu.

Kapal USS Blue Ridge itu berpangkalan di Yokosuka, Jepun itu adalah kapal tentera laut ketiga yang dinamakan sempena Pergunungan Blue Ridge, rangkaian gunung di Pergunungan Appalachian di timur Amerika Syarikat.

Ditauliahkan pada 1972, USS Blue Ridge seberat lebih 18,000 tan itu adalah kapal “Amphibious Command Ship” Tentera Laut Amerika Syarikat. — DSA

Comments are closed.