Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengangkut Pesawat China “Liaoning”, 5 Kapal Perang Belayar Di Selat Strategik Berhampiran Jepun

Selat yang memisahkan dua wilayah Jepun itu merupakan laluan yang amat strategik bagi geopolitik antarabangsa kerana ia adalah di antara laluan yang digunakan oleh kapal-kapal perang China untuk ke Lautan Pasifik.

0 2,402

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat China, “Liaoning” diiringi oleh lima buah kapal perangnya telah belayar di Selat Miyako (Miyako Strait) yang memisahkan Kepulauan Miyako dan Pulau Okinawa, kedua-duanya milik Jepun.

Selat yang memisahkan dua wilayah Jepun itu merupakan laluan yang amat strategik bagi geopolitik antarabangsa kerana ia adalah di antara laluan yang digunakan oleh kapal-kapal perang China untuk ke Lautan Pasifik.

Liaoning

250km perairan di selat itu adalah perairan dan ruang udara antarabangsa.

Jepun mendakwa China telah memberikan komitmen untuk memaklumkan kepadanya jika kapal-kapal perang miliknya melalui selat itu, tetapi China menafikan ia pernah memberikan komitmen sebegitu kepada Tokyo.

Ini kerana tindakan kapal-kapal perang China menggunakan perairan dan ruang udara antarabangsa di Miyako Strait itu tidak menyalahi undang-undang antarabangsa.

Pihak Kementerian Pertahanan Jepun dalam satu kenyataan berkata ia mengesan kehadiran “Liaoning” dan lima buah kapal pengiringnya kira-kira 470km di selatan Pulau Danjo.

Ini adalah kali pertama sejak April 2020, carrier strike group “Liaoning” belayar di kawasan perairan di Miyako Strait.

Ok berbalik kepada pelayaran kapal pengangkut pesawat China, “Liaoning” semalam, ia diiringi oleh dua buah kapal destroyer Type 052D “Luyang,” sebuah kapal destroyer Type 055 “Renhai,” sebuah kapal friger Type 054A Jiangkai dan sebuah kapal bantuan Type 901.

Miyako Strait
Miyako Strait

Menurut Kementerian Pertahanan Jepun lagi, ia juga mengesan kehadiran sebuah pesawat peronda maritim China daripada jenis Shaanxi Y-9 di Miyako Strait mengiringi “Liaoning” dan kapal-kapal pengiringnya.

Pesawat peronda maritim China itu dipercayai turut serta dalam operasi itu untuk mengesan kehadiran kapal-kapal perang asing yang mungkin dikerah untuk memantau carrier strike group “Liaoning” itu.

Jepun berkata ia telah mengerahkan (scrambled) pesawat-pesawat pejuang untuk memantau pesawat peronda maritim China itu.

Sementara itu pihak tentera Jepun mengesahkan ia telah mengerahkan sebuah kapal destroyer JS Suzutsuki, sebuah pesawat peronda maritim P-1 dan sebuah pesawat anti-submarine warfare P-3C untuk mengumpul maklumat tentang kehadiran “Liaoning” dan kapal-kapal pengiringnya di Miyako Strait.

Y-9
Pesawat Peronda Maritim Y-9

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...