Kapal Pengangkut Dron Pertama Iran “Shahid Bagheri” Sudah Hampir Siap, Sedia Operasi
Berdasarkan kepada gambar yang dikeluarkan oleh media-media Iran itu, kapal pengangkut dron itu dilengkapi dengan sistem “ski jump launch” sebagaimana yang dimiliki oleh kapal pengangkut pesawat “Admiral Kuznetsov” milik Russia dan juga kapal-kapal pengangkut pesawat kelas-Queen Elizabeth milik United Kingdom.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Baru-baru ini, media-media Iran telah menerbitkan gambar yang jelas tentang keadaan terkini kapal pengangkut dron pertama milik negara itu yang dipercayai akan dioperasikan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
Kapal pengangkut dron pertama Iran yang dinamakan “Shahid Bagheri” itu akan mengendalikan dron-dron milk Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
Berdasarkan kepada gambar yang dikeluarkan oleh media-media Iran itu, kapal pengangkut dron itu dilengkapi dengan sistem “ski jump launch” sebagaimana yang dimiliki oleh kapal pengangkut pesawat “Admiral Kuznetsov” milik Russia dan juga kapal-kapal pengangkut pesawat kelas-Queen Elizabeth milik United Kingdom.
Iran berjaya membina kapal pengangkut dron dengan cepat kerana ia sebenarnya mengubahsuai sebuah kapal kontena “Perrarin” kepada kapal pengangkut dron.
Kapal pengangkut dron Iran yang kedua “Shahid Mahdavi” juga bakal menyertai operasi tentera Iran tidak lama lagi selepas kerja-kerja pengubahsuaiannya daripada sebuah kapal kontena kepada kapal pengangkut dron itu selesai.
Iran semasa masih diperintah oleh Shah Iran dilaporkan pernah mempertimbangkan untuk memperolehi kapal pengangkut pesawat kelas-Invincible milik United Kingdom bersama-sama pesawat pejuang Harrier tetapi niat itu tidak tercapai selepas pemerintah Shah Iran ditumbangkan oleh Ayotollah Khomeini.
Bermula pada Mei 2022, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan telah mengubahsuai dua buah kapal dagang milik syarikat perkapalan negara itu dikenali dengan nama “Shahid Mahdavi” dan “Shahid Bagheri”.
Ia adalah untuk menjadikannya kapal-kapal pengangkut dron yang dikendalikan oleh pasukan tentera elit negara itu.
Selain diubahsuai untuk membawa helikopter dan dron, kedua-dua kapal pengangkut dron milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran itu juga telah dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lain seperti meriam, peluru berpandu anti-kapal, sistem pertahanan udara dan juga bot-bot laju membawa roket.
“Shahid Mahdavi” dan “Shahid Bagheri” juga dilengkapi dengan radar 3D Phased Array dan kelengkapan bagi peperangan elektronik.
Bercakap kepada media negara Parsi tahun lepas, pegawai kanan tentera Iran menyatakan bahawa kapal-kapal seperti “Shahid Mahdavi” dan “Shahid Bagheri” akan menjadi seperti “bandar maritim” bergerak yang bersedia untuk melaksanakan tugasan di lautan.
“Ia boleh menstabilkan Sea Line Of Communication (SLOC) yang stabil dan memberikan bantuan kepada bot-bot nelayan dan kapal komersial Iran serta negara-negara serantau yang memerlukannya,” kata Komander Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Laksamana Ali Reza Tangsiri.
Media-media Iran menyatakan bahawa kapal-kapal pengangkut dron negara itu akan meningkatkan kemampuan pemantauan serta serangan Iran mengguna dron berani mati untuk menjangkaui lebih jauh daripada sempadan maritimnya.
Ia sudah tentu akan menggusarkan lagi Amerika Syarikat dan Israel yang turut mempunyai pelbagai jenis kepentingan strategik di Timur Tengah.
Antara dron yang bakal dioperasikan oleh tentera Iran di atas kapal-kapal pengangkut dron negara itu adalah dron berani mati “Shahed-136” buatan negara Parsi itu tetapi turut digunakan oleh tentera Russia di Ukraine selepas dibekalkan oleh Teheran.
Dengan kemampuan untuk terbang sejauh 2,000km hingga 2,500km, dron berani mati “Shahed-136” itu memberikan ancaman yang serius terhadap kapal-kapal dagang yang menggunakan laluan maritim di rantau terbabit.
Kewujudan kapal-kapal pengangkut dron Iran itu memberikan ancaman berkesan, tidak simetri dan peluang opportunistik kepada Teheran di rantau yang sentiasa bergolak itu. — DSA
Comments are closed.