Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal LCS 1 Milik TLDM “Maharaja Lela” Semakin Hampiri Harbour Acceptance Test (HAT)

Daripada video di platform media sosial LUNAS itu, kapal LCS 1 “Maharaja Lela” itu nampaknya seakan-akan sudah bersedia untuk memulakan fasa Harbour Acceptance Trial (HAT), yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.

0 786
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah menyiarkan video di platform media sosialnya hari ini  (20 Dis 2024) yang memaparkan keadaan terkini kapal Littoral Combat Ship 1 (LCS 1) “Maharaja Lela.”
Daripada video di platform media sosial LUNAS itu, kapal LCS 1 “Maharaja Lela” itu nampaknya seakan-akan sudah bersedia untuk memulakan fasa Harbour Acceptance Trial (HAT), yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.
Kenyataan LUNAS di dalam posting media sosialnya menyatakan bahawa “Pada 13 November 2024, Littoral Combat Ship (LCS) 1 berjaya menjalani proses upslip untuk melaksanakan kerja-kerja penting di dek, termasuk perlindungan badan kapal dan kakisan, sistem komunikasi dan keselamatan, serta pengubahsuaian sistem dan penyelenggaraan tangki.”
“Setelah memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Bureau Veritas, pihak Berkuasa Reka Bentuk Naval Group, dan kontrak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), LCS 1 akhirnya kembali ke dek pada 17 Disember 2024 untuk prosedur seterusnya sebelum memasuki fasa setting to work.”
Proses upslip kapal merupakan fasa penting dalam pembinaan kapal yang melibatkan pemeriksaan terperinci dan penambahbaikan terhadap sistem, komponen, dan fungsi kapal.
Proses ini memastikan kapal memenuhi piawaian pembinaan dan spesifikasi reka bentuk.
Selain itu, ia juga membawa kapal ke fasa aktiviti seterusnya seperti “On Slip Work Completion” dan “Setting To Work” sebelum kapal memulakan HAT.
Harbour Acceptance Test (HAT) adalah fasa penting dalam proses penerimaan dan pengujian kapal perang, dilakukan semasa kapal masih berada di pelabuhan atau limbungan.

LCS 1

LCS 1
HAT bertujuan untuk memastikan sistem dan peralatan kapal berfungsi dengan baik dan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan sebelum kapal menjalani ujian laut (Sea Acceptance Trial, SAT).
Bercakap di Parlimen baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata,  status kemajuan semasa kapal LCS 1 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pertama “Maharaja Lela” sehingga 25 Oktober lepas adalah 70.10 peratus.
“Berdasarkan perancangan perbatuan (milestones) terkandung dalam kontrak yang ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan dapat disiapkan pada hujung tahun ini sebelum ia menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh dua tahun.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga dilaporkan berkata bahawa, mengikut perancangan kapal LCS yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada bulan Ogos 2026.
Menurutnya, kapal LCS pertama itu akan melaksanakan Harbour Acceptance Trial (ujian pelabuhan) pada Disember ini dan selepas semua perkakas dipasang, maka akan dilakukan Sea Acceptance Test  (ujian di laut).
Bagi kapal LCS kedua, status kemajuan pembinaannya sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pertahanan pada Jun lalu telah pun mencapai 64.66 peratus, LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat pada tahap 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima pada tahap 42.33 peratus.
Kementerian Pertahanan katanya menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima kapal LCS bernilai lebih RM11 billion itu akan dapat diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026. — DSA 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.