Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kapal-Kapal Itu Berada Dalam Perairan Kami” – Kementerian Luar China Tentang Dakwaan M’sia

China tdak akan mengakui bahawa kapal-kapalnya menceroboh perairan Malaysia kerana berpendapat bahawa perairan Malaysia itu adalah perairan miliknya. Pada Beijing, kapal-kapalnya beroperasi di dalam perairannya.

0 18,415

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Isnin (4 Okt), Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk menyatakan bantahan negara terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China, termasuk kapal penyelidikan, di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Ia adalah kali kedua Duta Besar China dipanggil oleh Wisma Putra pada tahun ini selepas insiden pencerobohan 16 buah pesawat tentera China di Zon Maritim Malaysia (ZMM) termasuk di ruang udara Beting Patinggi Ali pada 31 Mei lepas.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra pada Isnin itu mengatakan bahawa keberadaan dan aktiviti kapal-kapal itu adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

Dan semalam, jurucakap Kementerian Luar Negeri China telah memberikan responsnya terhadap dakwaan Malaysia bahawa kapalnya-kapalnya terdiri daripada kapal penyelidik dan kapal pengawal pantai telah menceroboh perairan ZEE Malaysia dan pelantar benua miliknya.

Apakah kenyataan balas daripada Beijing itu terhadap dakwaan Malaysia itu?
Da Yang Hao
Kedudukan kapal penyelidik China, Da Yang Hao dalam kawasan pelantar benua dan ZEE Malaysia. (kredit Duan Dang)

“Kapal penyelidik itu (milik China) sedang melaksanakan penyiasatan saintifik yang biasa di dalam kawasan perairannya sendiri,” ( the survey vessel was conducting a “normal scientific investigation” in its own territory),”

kenyataan Kementerian Luar China itu, sebagaimana dilaporkan oleh media-media asing.

Ayat yang paling penting daripada kenyataan Kementerian Luar China itu adalah: “… di dalam kawasan perairannya sendiri.”

Dalam perkataan lain, China menganggap kawasan ZEE dan pelantar benua Malaysia, berkemungkinan besar yang terletak di bawah peta “ Nine Dash Line” sebagai miliknya dan bukan milik Malaysia sebagaimana yang diperakui oleh UNCLOS.

Jurucakap Kementerian Luar China itu meneruskan kenyataannya bahawa Beijing bersedia untuk meneruskan komunikasinya dengan Malaysia berkenaan isu itu dan mengekalkan pembangunan hubungan di antara Malaysia-China serta kestabilan di Laut China Selatan.

“China is willing to keep communicating with Malaysia on the issue, and maintain the development of China-Malaysia relationship and the stability and peace of the South China Sea.”

Baru-baru ini, sebuah kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” dilaporkan menceroboh kawasan perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia pada 24 September lepas, sehari selepas pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama di Selat Melaka.

Menurut laporan oleh pemerhati Laut China Selatan, @duandang, data daripada aplikasi penjejakan kapal (ship tracking data) menunjukkan kapal penyelidik itu memasuki perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia sambil diiringi oleh sebuah kapal pengawal pantai China.

Pengawal Pantai
Kapal Pengawal Pantai China.

 

Mungkin ada lebih daripada satu kapal pengawal pantai China berhampiran atau kapal perang tentera laut negara itu, memandangkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Ronald Reagan juga berada berhampiran.

“Selepas memasuki perairan Malaysia, kapal penyelidik Da Yang Hao dikesan belayar menuju ke kapal pengerudi (drillship) West Capella. Pada ketika ini, kedudukannya adalah kira-kira 50 batu nautika daripada West Capella,” menurut pemerhati dalam laporannya.

Pada 24 Sept lalu, kapal Da Yang Hao dilaporkan sedang melakukan penyelidikan di perairan pelantar benua Vietnam selepas meninggalkan Fiery Cross Reef, sebelum, menukar laluan secara tiba-tiba dan menuju ke perairan Malaysia.

Ia adalah hari yang sama di mana pesawat-pesawat TUDM melaksanakan latihan bersama sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” di Selat Melaka.

Pesawat-pesawat TUDM yang terlibat adalah F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk 208 serta A400M.

TUDM
Sebuah pesawat Hawk208 mengiringi pesawat pengebom B-52 ketika latihan antara TUDM dengan US PACAF (kredit US PACAF)

 

Kapal penyelidik, Da Yang Hao mempunyai panjang 98 meter dan berat 4,800 tan.

“Dengan kelajuan 16 knot dan jarak sejauh 14,000 batu nautika, kapal Da Yang Hao memiliki kemampuan untuk melakukan eksplorasi laut dalam di mana-mana perairan dunia ini,” menurut laporan media China.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao ini dimiliki oleh Kementerian Sumber Asli China.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...