Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jika India Sukar Hadapi Peluru Berpandu BVR PL-15E, Bayangkan Pula Jika Pakistan Perolehi PL-17

Jika pesawat-pesawat pejuang India berhadapan kesukaran berhadapan dengan peluru berpandu PL-15 pada ketika ini, bayangkan sekiranya Pakistan dibekalkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara PL-17. Peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 adalah varian naik taraf daripada PL-15.

0 36,272
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selain nama pesawat pejuang J-10C yang kini menjadi sebutan ramai, nama peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E (Eksport) yang dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT) turut meniti di bibir pemerhati dan penganalisa pertahanan antarabangsa.
Semuanya gara-gara kejayaan pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan yang dilengkapi dengan peluru berpandu BVR PL-15E menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang generasi 4.5 Rafale buatan Perancis milik Tentera Udara India.
Kejayaan J-10C dan PL-15E itu adalah bersejarah, kerana ia adalah pesawat pejuang Rafale pertama berjaya ditembak jatuh dalam kombat sejak pesawat pejuang itu yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation memasuki pasaran.
Kejayaan J-10C dan PL-15E Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang Rafale itu dianggap suatu perkembangan yang besar sehingga menyebabkan saham syarikat Dassault Aviation merudum.
Tentera Pakistan mendakwa ia berjaya menembak jatuh lima pesawat pejuang India iaitu tiga buah Rafale, sebuah Sukhoi Su-30MKI dan sebuah Mirage 2000, dengan Menteri Luar negara Ishaq Dar mendakwa ketiga-tiga Rafale itu ditembak jatuh oleh J-10C menggunakan PL-15E.
India sehingga kini enggan mengesahkan ia kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale, walaupun pegawai tinggi tentera udaranya A.K Bharti dalam sidang media semalam secara tidak langsung mengakui kehilangan itu dengan berkata – “kehilangan (losses) adalah perkara biasa dalam pertempuran.”
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E merupakan varian eksport yang berlainan berbanding varian tempatan PL-15 yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara China.
Amerika
Pesawat pejuang China dengan peluru berpandu BVR PL-17
Satu perbezaan ketara antara varian eksport (PL-15E) dan varian tempatan (PL-15) adalah jarak bedilan, dengan jarak bedilan varian eksport PL-15E sebagaimana dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan adalah sekitar 145 km manakala bagi varian tempatan sebagaimana digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara China adalah sekitar 300 km.
Jika pesawat-pesawat pejuang India berhadapan kesukaran berhadapan dengan peluru berpandu PL-15 pada ketika ini, bayangkan sekiranya Pakistan dibekalkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara PL-17.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 adalah varian naik taraf daripada PL-15.
Sejak beberapa tahun lepas, China telah membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-17 (yang juga dikenali sebagai PL-XX atau “Project 180”), dengan jarak bedilan adalah di antara 300 km hingga 400 km.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-17 adalah suatu naik taraf berbanding PL-15 dan ia adalah suatu berita buruk kepada India kerana China telah mula mengadakan ujian untuk mengintegrasi peluru berpandu PL-17 itu dengan pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya.
Jika Pakistan mahu memiliki PL-17, ia berkemungkinan perlu menaiktaraf radar AESA pesawat pejuang J-10C miliknya kerana untuk melengkapkan pesawat pejuang miliknya dengan PL-17 ia memerlukan radar yang jauh lebih berkuasa berbanding radar AESA dimillikinya ketika ini.
Pada ketika ini, peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 itu sudah pun digunakan secara terhad oleh pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” dan mungkin tidak lama lagi akan turut digunakan oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China.
PL-17
PL-17
Peluru berpandu PL-17 direka khusus untuk memberikan pesawat pejuang generasi kelima seperti J-20 “Mighty Dragon” keupayaan “first look, first shot, first kill” terhadap pesawat musuh yang beroperasi di luar julat visual (BVR).
Dengan julat tembakan dianggarkan antara 300 ke 400 kilometer, peluru berpandu PL-17 berpotensi menggandakan jarak capaian peluru berpandu setaraf Barat seperti AIM-120D AMRAAM atau MBDA Meteor.
Pada ketika ini, jarak bedilan peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM dan Meteor adalah dalam lingkungan 200 km.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-17 keluaran China ini dilengkapi dengan sistem panduan Inertial Navigation System (INS), GPS/Beidou, dan sistem pemanduan terminal aktif radar AESA serta pemancar data-link untuk panduan pertengahan dari platform pelancar.
Panjang peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 mencecah hampir 6 meter, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara terbesar yang pernah diintegrasikan pada jet tempur moden, dan memerlukan sayap khusus (strake) pada fiuslaj J-20 untuk membawanya secara luaran.
Sistem pemanduan terminal AESA pada peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 membolehkannya menjejak dan menyerang sasaran dengan kepekaan tinggi walaupun dalam persekitaran peperangan elektronik intensif.
Peluru berpandu PL-17 bukan sahaja direka untuk menembak jatuh pesawat pejuang lawan, tetapi juga pesawat sokongan kritikal seperti AWACS (Airborne Early Warning and Control), pesawat tanker dan pesawat ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance) dari jarak yang selamat.
PL-17
PL-17
Dengan sasaran seperti pesawat E-3 Sentry AWACS, RC-135 Rivet Joint, dan pesawat KC-135, peluru berpandu ini menjadi senjata pemusnah ‘force multiplier’ dalam doktrin anti-akses/penafian kawasan (A2/AD) China.
Integrasi peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 pada pesawat pejuang J-20 “Mighty Dragon”  China memberi kelebihan taktikal kepada Beijing dalam potensi konflik di Laut China Selatan, Selat Taiwan dan perairan Timur China, khususnya dalam menghadapi pakatan udara seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Kemampuan ultra-jarak jauh peluru berpandu ini juga bertujuan mengekang kehadiran pesawat pengawal dan sistem C4ISR musuh jauh dari medan tempur, sekaligus membutakan struktur kawalan dan koordinasi pihak lawan.
Lpaoran sebelum ini menunjukkan peluru berpandu PL-17 ini telah menjalani ujian pelancaran dan kini berkemungkinan sedang beroperasi dalam kuantiti terhad bersama unit-unit J-20 Tentera Udara China (PLAAF).
Penganalisis ketenteraan melihat PL-17 sebagai sebahagian daripada usaha strategik China untuk mencabar dominasi udara Amerika Syarikat di Indo-Pasifik, sekaligus menyaingi sistem seperti AIM-260 Joint Advanced Tactical Missile (JATM) yang masih dalam pembangunan.
Bagaimanapun, jika Pakistan memperoleh peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-17 daripada China, ia bakal menjadi perubahan strategik besar dalam keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan—khususnya dalam konteks konflik udara dengan India.
PL-17, yang direka untuk menembak sasaran sejauh 300-400 kilometer, akan memberikan Pakistan keupayaan Beyond Visual Range (BVR) yang jauh melampaui apa yang dimiliki oleh Tentera Udara India (IAF) pada masa ini, termasuk peluru berpandu Meteor (Rafale) dan Astra Mk1/Mk2 (Su-30MKI, Tejas, Mirage 2000).
Pakistan
Pesawat pejuang JF-17 Pakistan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15.
J-10C
J-10C
Integrasi peluru berpandu PL-17 ke atas pesawat tempur JF-17 Block III—yang sudah dilengkapi radar AESA KLJ-7A dan berupaya menyokong pautan data—bererti Pakistan bukan sahaja dapat menyerang lebih jauh tetapi juga dari luar lingkungan balasan efektif pesawat India.
Dalam erti kata lain, sekiranya PL-17 digunakan dari platform stealth atau “semi-stealth” seperti JF-17 Block III atau J-10C, Pakistan boleh melaksanakan serangan udara terdahulu (first launch advantage) terhadap Rafale, Su-30MKI atau Mirage India sebelum mereka menyedari kedudukan ancaman.
Kelebihan ini akan menjadi penghalang berkesan kepada pesawat sokongan penting India seperti pesawat AWACS (Netra/Phalcon), tanker IL-78MKI dan platform ISR, yang menjadi nadi sistem pengawasan dan kawalan udara India.
Dari sudut geo-strategik, perolehan PL-17 oleh Pakistan akan menandakan peralihan kepada doktrin udara berasaskan penafian kawasan (A2/AD), selari dengan strategi China, di mana kekuatan udara digunakan untuk membutakan, melumpuhkan, dan menolak kehadiran musuh dari kawasan kritikal.
Dalam senario konflik di Kashmir atau sepanjang Line of Control (LoC), peluru berpandu PL-17 boleh digunakan untuk menyasarkan pesawat berkeupayaan tinggi India dari jarak selamat Pakistan, tanpa memasuki ruang udara musuh, sekali gus menyulitkan India untuk bertindak balas secara sah dan taktikal.
Namun begitu, terdapat cabaran teknikal dan geopolitik.
Pertama, peluru berpandu PL-17 sangat panjang dan besar, direka khusus untuk pesawat pejuang J-20—seterusnya integrasi ke atas pesawat pejuang JF-17 Block III atau J-10C milik Pakistan memerlukan pengubahsuaian struktur dan sistem avionik, termasuk sistem pemanduan pertengahan dan terminal AESA.
JF-17
Peluru berpandu BVRAAM “PL-15” dan WVRAAM “PL-10” yang bakal melengkapkan pesawat JF-17 “Thunder” dan J-10C milik Pakistan.
Kedua, dari sudut geopolitik, pemindahan peluru berpandu PL-17 ke Pakistan akan meningkatkan ketegangan ketara dengan India, mungkin mengundang tindak balas termasuk melibatgandakan pembangunan program AIM-260 ASRAAM, Astra Mk3, atau pembelian sistem anti-pesawat jarak jauh seperti David’s Sling atau Iron Dome dari Israel.
India juga mungkin akan memperluaskan penggunaan peluru berpandu Meteor pada platform selain Rafale, atau mempercepatkan kerjasama misil BVR dengan Perancis dan Russia untuk mengekalkan keunggulan udara.
Akhirnya, perolehan peluru berpandu PL-17 oleh Pakistan akan mengeratkan lagi hubungan strategik-ketenteraan di antara Islamabad dan Beijing, sekaligus menandakan permulaan fasa baharu perlumbaan persenjataan udara di Asia Selatan—bukan sahaja dari segi platform tetapi dari segi jarak tembakan dan kekuatan serangan sistemik.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.