Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jepun Kesan Tiga Kapal Perang, Dron China Berhampiran Perairannya Di Laut Jepun

Dalam masa yang sama, pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Jepun turut memintas dron jenis BZK-005 China berhampiran Pulau Okinawa, berkemungkinan untuk memantau pergerakan kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth dan kapal Amphibious Assault Ship Amerika, USS America.

0 1,111

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Jepun mengesan kehadiran tiga buah kapal perang China di Selat Tsushima sebelum mereka belayar ke arah Laut Jepun, dalam satu tindakan yang disifatkan sebagai amaran oleh Beijing terhadap Tokyo yang merupakan sekutu utama Washington di Indo-Pasifik.

Dalam masa yang sama, pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Jepun turut memintas dron jenis BZK-005 China berhampiran Pulau Okinawa, berkemungkinan untuk memantau pergerakan kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth dan kapal Amphibious Assault Ship Amerika, USS America.

HMS Queen Elizabeth, USS America dan kapal-kapal perang daripada Carrier Strike Group serta beberapa buah kapal perang Jepun dipercayai sedang berada di selatan perairan Okinawa.

Mengenai kehadiran tiga buah kapal perang China itu, Kementerian Pertahanan Jepun berkata, ia terdiri daripada kapal destroyer kelas-Type 055 “Nanchang,” kapal destroyer kelas-Type 052D “Guiyang” dan kapal sokongan Type 903A.

Menurut akhbar milik Parti Komunis China, Global Times,  ia adalah kerahan kapal-kapal perang China untuk kali kedua dalam tahun ini ke Laut Jepun.

China
Kapal-kapal perang China yang dikesan oleh Jepun, (gambar kredit Kementerian Pertahanan Jepun)

 

“Ia (kerahan kapal-kapal perang) itu adalah satu amaran puak-puak berhaluan kanan dan puak militarist di Jepun,” menurut beberapa penganalisis tentera yang dipetik oleh akhbar nasionalis utama China itu.

Penganalisis itu juga berkata, dengan rancangan China membina lebih banyak kapal-kapal destroyer Type 055 yang memiliki berat lebih 10,000 tan pada masa beberapa tahun ini, mereka menjangkakan kapal perang terbabit akan dihantar ke Laut Jepun dengan lebih kerap lagi.

Kehadiran ketiga-tiga buah kapal perang China di Laut Jepun dipercayai bertujuan untuk melakukan latihan.

China
Dron China yang dipintas oleh pesawat pejuang Jepun.

 

Menurut akhbar itu, kerahan kapal-kapal perang China ke Laut Jepun itu berlaku selepas beberapa ahli politik kanan Jepun mengunjungi Yasukuni Shrine yang dianggap kontroversi kerana ia menempatkan tempat persemadian pegawai-pegawai tentera Jepun yang didakwa melakukan jenayah kemanusiaan pada Perang Dunia Kedua.

Selain itu, Global Times juga berkata, kerahan kapal-kapal perang China itu adalah respons terhadap pengeluaran kertas pertahanan Jepun yang turut menyentuh tentang Taiwan dan Kepulauan Senkaku.

HMS Queen Elizabeth
Kedudukan HMS Queen Elizabeth dan USS America di perairan Okinawa. (kredit Duan Dang)

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...