Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembangkang Jepun Mahu Tentera Negara Itu Miliki Kapal Selam Nuklear

Dengan 22 buah kapal selam konvensional, Jepun adalah negara keempat di dunia memiliki kapal selam terbanyak, dibelakang Amerika Syarikat, China dan Russia.

0 2,056

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa pihak di Jepun terutamanya parti-parti pembangkang mahukan tentera laut negara itu memiliki kapal-kapal selam berkuasa nuklear (nuclear-powered dan bukan nuclear-armed)  bagi berhadapan dengan tentera China yang semakin agresif di Indo-Pasifik serta Russia yang menceroboh Ukraine.

Jepun juga masih memiliki pertikaian wilayah dengan China dan Russia.

Pihak-pihak yang menyokong pemilikan kapal selam berkuasa nuklear oleh Jepun mengatakan aset bawah permukaan itu akan meningkatkan kuasa deterren negara itu serta kemampuannya dalam aspek pemantauan dan pengawasan.

Soryu
Kapal selam kelas-“Soryu” Tentera Laut Jepun.

 

Antara yang menyokong cadangan supaya Tokyo memiliki kapal selam nuklear adalah pemimpin-pemimpin Parti Inovasi Jepun (Japan Innovation Party) dan Parti Demokratik Untuk Rakyat (Democratic Party For The People).

“Jepun memerlukan kapal selam yang moden (berkuasa nuklear) untuk meningkatkan kuasa deterren-nya,” kata pemimpin Parti Inovasi Jepun, Ichiro Matsui manakala pemimpin Parti Demokratik Untuk Rakyat, Yuchiro Tamaki pula mendakwa kapal selam nuklear mempunyai kelebihannya tersendiri.

“Kapal selam berkuasa nuklear mempunyai kemampuan untuk berada di bawah permukaan air selama berbulan lamanya, sekaligus membolehkannya untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengawasan yang panjang,” kata Tamaki.

Mereka mengakui bahawa kapal selam berkuasa nuklear sememangnya mempunyai kelebihan berbanding kapal-kapal selam konvensional.

Pada ketika ini Tentera Laut Jepun (dipanggil Japan Maritime Self Defense Force) memiliki 22 buah kapal selam, semuanya konvensional dan berkuasa diesel-elektrik yang amat moden.

Kapal Selam

Dengan 22 buah kapal selam, Jepun adalah negara keempat di dunia memiliki kapal selam terbanyak, dibelakang Amerika Syarikat, China dan Russia.

Kapal selam kelas-Taigie merupakan kapal selam terbaru yang dilancarkan oleh Jepun pada tahun 2020 dan dilengkapi oleh bateri Lithium-Ion.

Selain parti-parti pembangkang yang menyokong pemilikan kapal selam nuklear oleh Jepun, Taro Kono yang juga merupakan bekas Menteri Luar dan Menteri Pertahanan negara itu juga menyokong cadangan kontroversial itu.

Beliau berkata pembangunan kapal selam nuklear oleh Jepun adalah amat penting dalam usaha untuk membina kemampuannya ketenteraanya.

Walaubagaimanapun, Kono mengakui bahawa perlaksanaan idea untuk memiliki kapal selam berkuasa nuklear oleh Jepun adalah amat kompleks daripada segi ekonomi dan politik serta tidak boleh dilaksanakan dalam jangkamasa pendek.

Pemilikan kapal selam berkuasa nuklear adalah lebih kepada perancangan masa depan.

Kapal Selam

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Katanya, pelbagai isu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum Jepun menceburkan diri dalam era kapal selam berkuasa nuklear.

Malah Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengambil sikap berhati-hati dalam isu perolehan kapal selam berkuasa nuklear oleh negara itu, mengatakan bahawa cadangan itu bukanlah suatu idea yang baik.

Beliau mengatakan menggunakan kuasa nuklear untuk ketenteraan pada masa ini adalah sukar disebabkan sistem perundangan negara itu berkenaan penggunaan kuasa atom dan kosnya yang amat tinggi.

Walaubagaimanapun, Perdana Menteri Jepun itu mengakui betapa perlunya negara itu perlu meningkatkan kemampuan ketenteraannya untuk berhadapan dengan China dan Russia. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...