Iran Dedah Peluru Berpandu Ballistik Jarak Sederhana Terbarunya, Dinamakan “Qassem Baseer”
Iran mendakwa peluru berpandu jarak sederhananya (Medium Range Ballistic Missile) terbaru ini mempunyai keupayaan membedil sasaran lebih daripada 1,200km, menjadikan Israel dan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah berada di dalam jangkauannya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah mendedahkan peluru berpandu jarak sederhana mereka baru dinamakan “Qassem Baseer”, yang didakwanya mampu mengelak daripada dipintas oleh sistem pertahanan udara anti peluru berpandu ballistik, Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) buatan Amerika Syarikat yang kini mengawal ruang udara Israel.
Iran mendakwa peluru berpandu jarak sederhananya (Medium Range Ballistic Missile) terbaru ini mempunyai keupayaan membedil sasaran lebih daripada 1,200km, menjadikan Israel dan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah berada di dalam jangkauannya.
Menurut Menteri Pertahanan Iran Aziz Nasirzadeh berkata, “Sekiranya kami diserang atau perang dipaksakan ke atas kami, kami akan bertindak balas dengan sepenuh kekuatan.”
“Kami akan menyerang kepentingan dan pangkalan mereka tanpa sebarang keraguan atau had.”
“Kami tidak memusuhi negara-negara jiran kami, mereka adalah saudara kami, tetapi pangkalan-pangkalan Amerika (yang terletak di dalam negara-negara jirannya) adalah sasaran sah kami.”
Menteri Pertahanan Iran itu berkata bahawa peluru berpandu ballistik jarak sederhana Qassem Baseer itu dibangunkan khusus berdasarkan pengajaran yang diperolehi Iran daripada operasi True Promise tahun lalu.
“Peluru berpandu ini dilengkapi dengan sistem panduan dan kemampuan manuver yang canggih, dan mampu menembusi kebanyakan sistem pertahanan peluru berpandu di dunia.”

“Berdasarkan anggaran teknikal kami, kira-kira 5 peratus sahaja daripada peluru berpandu ini akan berjaya dipintas oleh Israel, manakala selebihnya akan berjaya menembusi, berbeza dengan kadar pemintasan yang jauh lebih tinggi semasa operasi True Promise.”
Beliau juga berkata bahawa peluru berpandu terbaru Iran itu menggunakan sistem panduan optik pada fasa terakhir penerbangannya, menjadikannya amat tepat dalam mengenai sasaran.
Operasi True Promise-1 merujuk kepada siri serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan oleh Iran terhadap Israel pada tahun 2024, menandakan perubahan ketara dalam konflik Iran-Israel yang sebelum ini lebih tertumpu kepada perang proksi.
Pada 13 April 2024, Iran melancarkan serangan besar-besaran ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik yang mengorbankan tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), termasuk dua jeneral kanannya.
Dalam serangan itu, lebih 300 peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis, dan dron dilancarkan, menjadikannya serangan dron terbesar dalam sejarah.
Pada 1 Oktober 2024, Iran melancarkan Operasi True Promise-2 sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, dan komander IRGC, Abbas Nilforoushan.
Sekitar 200 peluru berpandu balistik, termasuk peluru berpandu hipersonik Fattah-1 dan Kheibar Shekan, menandakan peningkatan teknologi ketenteraan Iran.

Serangan itu antaraya mensasarkan Pangkalan udara Nevatim dan Tel Nof, serta kawasan berhampiran ibu pejabat perisikan Israel, Mossad dan Unit 8200.
Apa yang pasti menurut Menteri Pertahanan Iran itu adalah, peluru berpandu ballistik jarak sederhana Qassem Baseer adalah lebih baik berbanding varian peluru-peluru berpandu ballistik Iran sebelum ini termasuk Kheybar Shekan.
“Peluru berpandu Qassem Baseer, yang dibangunkan daripada model Kheybar Shekan, mempunyai Circular Error Probability (CEP) kurang daripada satu meter hasil daripada sistem panduan canggih yang digunakannya.”
Jika dakwaan ini benar – dan kemungkinan besar ia adalah benar memandangkan Kheybar Shekan mempunyai CEP sekitar lima meter seperti yang dibuktikan dalam Operasi True Promise II – maka Qassem Baseer merupakan peluru berpandu balistik paling tepat pernah dibangunkan oleh Iran setakat ini.
Negara-negara Barat berulang kali menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kemampuan peluru berpandu dan program nuklear Iran, sambil menuduh negara itu menggugat kestabilan rantau dengan menyokong rangkaian kumpulan militan yang dikenali sebagai “paksi penentangan” di Syria, Lubnan, Palestin, Iraq dan Yaman.
Peluru berpandu Kheybar Shekan merupakan peluru berpandu balistik jarak sederhana (MRBM) generasi ketiga yang dibangunkan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan diperkenalkan pada tahun 2022.
Ia direka untuk meningkatkan keupayaan serangan jarak jauh Iran dengan ketepatan tinggi serta keupayaan mengatasi sistem pertahanan udara moden.

Menteri Pertahanan Iran itu turut menyatakan bahawa peluru berpandu Qassem Baseer ini kebal terhadap gangguan elektronik, malah telah diuji di bawah tahap gangguan elektronik yang sangat ekstrem tanpa sebarang kesan ke atas keberkesanannya.
Peluru berpandu Qassem Baseer ialah peluru berpandu balistik bahan api pepejal terbaru yang diperkenalkan oleh Iran.
Ciri-ciri Utama Qassem Baseer
-
Jarak Jangkauan: Mampu mencapai sasaran sejauh 1,200 kilometer, menjadikannya berupaya menyerang sasaran di seluruh Asia Barat tanpa memerlukan sokongan peluru berpandu jarak jauh.
-
Sistem Panduan: Dilengkapi dengan sistem panduan imej terma (thermal imaging) dan optical guidance yang membolehkannya mengenal pasti dan menyerang sasaran dengan ketepatan tinggi tanpa bergantung kepada GPS.
-
Reka Bentuk dan Ketahanan: Menggunakan badan gentian karbon yang sukar dikesan radar dan tahan terhadap gangguan elektronik, membolehkan ia mengelak sistem pertahanan seperti THAAD dan Patriot.
-
Keupayaan Manuver: Direka untuk mengatasi sistem pertahanan berlapis, dengan keupayaan manuver tinggi yang membolehkannya mengelak sistem pertahanan peluru berpandu moden.
🇮🇱 Penempatan THAAD di Israel: Komitmen Ketenteraan Amerika Syarikat Lindungi Sekutunya di Asia Barat
Sistem pertahanan peluru berpandu THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) tidak ditempatkan secara tetap di Israel, namun ia pernah dikerahkan secara sementara oleh tentera Amerika Syarikat pada Mac 2019 sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan sebenar dan mesej strategik bagi menunjukkan komitmen Washington terhadap keselamatan sekutunya itu.
🛡️ Butiran Penempatan Tahun 2019:
-
Lokasi: Gurun Negev, selatan Israel
-
Unit Terlibat: Pemerintahan Eropah A.S. (EUCOM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Israel (IDF)
-
Tujuan: Memperkukuh keupayaan kerjasama antara sistem pertahanan berlapis milik Israel dengan teknologi peluru berpandu A.S.
-
Kepentingan Strategik: Isyarat jelas kepada Iran dan kuasa-kuasa serantau bahawa Amerika Syarikat mampu dan bersedia untuk mengerahkan sistem pertahanan peluru berpandu tercanggihnya demi mempertahankan sekutunya
-
Tempoh: Bersifat sementara—sistem THAAD ditarik balik selepas latihan bersama selesai
🧭 Peranan THAAD Dalam Sistem Pertahanan Peluru Berpandu Israel:
Israel memiliki sistem pertahanan peluru berpandu pelbagai lapisan yang dibangunkan bagi menangani ancaman dari pelbagai jarak dan tahap, dan THAAD berfungsi sebagai pelengkap strategik kepada sistem sedia ada, bukan sebagai komponen utama. Berikut adalah struktur sistem tersebut:
Lapisan |
Sistem |
Peranan |
---|---|---|
Lapisan 1 |
Iron Dome |
Menangkis ancaman jarak dekat seperti roket yang dilancarkan dari Gaza |
Lapisan 2 |
David’s Sling |
Bertindak terhadap ancaman jarak sederhana seperti peluru berpandu jelajah |
Lapisan 3 |
Arrow 2 / Arrow 3 |
Memintas peluru berpandu balistik jarak jauh seperti dari Iran |
Sokongan Strategik |
THAAD (milik A.S.) |
Perlindungan tambahan di luar atmosfera, khusus untuk menangani peluru berpandu canggih Iran |