Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Dakwa Azerbaijan Benarkan Israel Guna Ruang Udaranya Untuk Serang Tehran, Wilayahnya

Sumber-sumber di Iran mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang Israel menggunakan ruang udara Azerbaijan terutamanya di Laut Kaspia untuk melakukan serangan-serangan udara tepat terhadap Tehran dan beberapa kawasan lain.

0 4,309
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Ketegangan semakin memuncak di antara Iran dan Azerbaijan berikutan dakwaan oleh Tehran bahawa negara jirannya itu membenarkan pesawat-pesawat pejuang Israel menggunakan ruang udaranya untuk mengebom Iran dalam peperangan yang berlaku selama 12 hari baru-baru ini.
Kerajaan Iran telah secara rasminya meminta Azerbaijan melakukan siasatan terhadap dakwaan Israel menggunakan ruang udaranya untuk menyerang Iran ketika hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara itu berada di dalam keadaan yang amat tegang.
Sumber-sumber di Iran mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang Israel menggunakan ruang udara Azerbaijan terutamanya di Laut Kaspia untuk melakukan serangan-serangan udara tepat terhadap Tehran dan beberapa kawasan lain.
Serangan-serangan udara jauh di dalam wilayah Iran dipercayai “dipermudahkan” menerusi hubungan diplomatik dan ketenteraan yang erat di antara Azerbaijan dan Israel.
Menurut laporan dari pihak Iran, serangan udara ke atas Tehran dan Karaj didakwa dilancarkan melalui laluan udara di Laut Caspian — satu koridor laluan udara yang penggunaannya hanya boleh dibenarkan oleh Azerbaijan memandangkan Iran menganggap Armenia, Russia dan Turkmenistan sebagai sekutu serantau.
Serangan ke atas Tabriz pula dikatakan menggunakan ruang udara Iraq, manakala serangan ke atas Kermanshah dan Isfahan turut dilancarkan dari Iraq selepas sistem pertahanan udara Iran di kawasan berkenaan dimusnahkan.
Sementara Azerbaijan dengan tegas menafikan membenarkan ruang udaranya digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran atau mana-mana negara lain, pegawai-pegawai Iran secara terbuka merujuk kepada laporan media yang didakwa menunjukkan kerjasama sedemikian.
Israel
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu
Mereka bagaimanapun tidak membuat tuduhan secara langsung, sebaliknya menekankan keperluan untuk penjelasan dan ketelusan dalam isu ini.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dilaporkan telah membangkitkan isu tersebut dalam perbualan dengan rakan sejawatnya Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev untuk menunjukkan tanda kebimbangan Tehran terhadap dakwaan pelanggaran ruang udara itu.
Duta Iran ke Armenia turut mengkritik kepimpinan Baku, sekali gus mencetuskan gelombang reaksi balas yang keras dalam media Azerbaijan, termasuk serangan peribadi terhadap Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Dalam sebuah rencana yang diterbitkan oleh portal berita Azerbaijan, Caliber, penulisnya mendakwa bahawa “musuh utama Iran bukanlah individu tertentu atau wakil diplomatik, sebaliknya Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei sendiri.”
Rencana itu turut menuduh Khamenei sebagai dalang di sebalik dasar “bermusuhan dan bersifat subversif” terhadap Azerbaijan sejak sekian lama dan mendakwa setiap provokasi serta kebocoran maklumat sensitif boleh dijejak semula ke pejabat pemimpin Iran itu
“Ini bukanlah insiden terpencil,” kata artikel itu.
“Ini adalah satu ideologi — dan arkiteknya ialah Ali Khamenei.”
Beberapa hari lalu, Kementerian Luar Azerbaijan telah menafikan dakwaan yang dinyatakan oleh Duta Iran ke Armenia, Mehdi Sobhani, bahawa Baku membenarkan wilayahnya digunakan oleh Israel untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Azerbaijan

Jurucakap Kementerian Luar Azerbaijan, Aykhan Hajizada, menyifatkan kenyataan Sobhani sebagai satu ‘provokasi terbuka’.
“Azerbaijan secara tegas menafikan dakwaan bahawa ruang udara atau wilayahnya telah digunakan oleh mana-mana negara untuk menjalankan operasi ketenteraan terhadap negara jiran [Iran] atau mana-mana negara lain. Dakwaan sedemikian tidak berasas dan langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.
“Kami berharap Iran dapat menghalang langkah-langkah seperti ini (kenyataan dutanya) yang tidak selaras dengan semangat hubungan dua hala, serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pandangan yang dilontarkan oleh Duta berkenaan, yang sering menunjukkan pendirian pro-Armenia berbanding mewakili negaranya sendiri.”
Pada 27 Jun lalu, duta Iran ke Azerbaijan itu berkata, “Kami telah menerima maklumat bahawa sejumlah kecil dron (milik Israel) telah memasuki wilayah Iran dari wilayah negara-negara jiran. Oleh itu, dalam perbualan telefon antara Presiden Iran dan Presiden Azerbaijan, presiden kami telah meminta Aliyev supaya menjalankan siasatan yang serius berhubung perkara ini. Kami akan menunggu hasil siasatan tersebut.”
“Tidak mustahil musuh kami, [Israel], telah menggunakan wilayah negara jiran kami. Azerbaijan telah memberi jaminan bahawa mereka tidak akan membenarkan wilayahnya digunakan untuk menyerang Iran.”
“Namun, kita semua tahu [Israel]: mereka tidak mematuhi sebarang peraturan, mereka tidak menghormati undang-undang. Jadi, masih ada kemungkinan mereka mengambil kesempatan pada ketika itu.”
Hubungan rapat Azerbaijan dengan Israel bukan lagi rahsia umum.
Sejak tahun 1990-an, perkongsian strategik “tenaga-untuk-senjata” telah menjadi tunjang utama hubungan kedua-dua negara.
Azerbaijan
Tangki minyak pesawat pejuang Israel ditemui di bahagian Laut Kaspia milik Iran
Bersama Kazakhstan, Baku membekalkan lebih 60 peratus keperluan minyak Tel Aviv — angka yang semakin meningkat susulan kempen ketenteraan ganas Israel di Gaza dan Lubnan sejak 7 Oktober 2023.
Sebagai balasan, Israel membekalkan Azerbaijan dengan senjata-senjata canggih yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Baku menewaskan Armenia dalam peperangan di Nagorno-Karabakh pada tahun 2020 dan 2023.
Antara tahun 2016 hingga 2021, hampir 69 peratus daripada import senjata Azerbaijan datang dari Israel, satu fakta yang dibuktikan melalui hampir 100 penerbangan senjata Israel yang mendarat di Baku dalam tempoh tersebut.
Selain itu, Azerbaijan turut memainkan peranan penting dalam strategi lebih besar Israel untuk “bergerak lebih dekat dengan Iran,” yang bertujuan mengepung Tehran dengan memperkukuh hubungan dengan negara-negara jirannya.
Pihak berkuasa Iran juga berulang kali menuduh jiran di utara itu berfungsi sebagai pangkalan hadapan bagi operasi peninjauan dan sabotaj tentera Israel yang mensasarkan ibu negara Iran, Tehran.
Menurut media-media Israel, Azerbaijan bukan sekadar negara sahabat atau sekutu “biasa”; sebaliknya, ia dianggap sebagai sekutu paling penting negara Yahudi itu di Timur Tengah dan yang kedua paling penting secara keseluruhan.
Akhbar Israel, Haaretz pula menyatakan bahawa: “Azerbaijan telah membenarkan Mossad [agensi perisikan Israel] menubuhkan cawangan hadapan [di Azerbaijan] bagi memantau perkembangan di Iran, jiran Azerbaijan di sebelah selatan, malah turut menyediakan sebuah lapangan terbang bagi membantu Israel sekiranya ia memutuskan untuk menyerang tapak nuklear Iran.
Laporan dua tahun lalu menyatakan bahawa ejen Mossad yang mencuri arkib nuklear Iran telah menyeludupkannya ke Israel melalui Azerbaijan.
Berdasarkan data terbuka, hampir 69 peratus perolehan senjata Azerbaijan antara tahun 2016 hingga 2021 adalah daripada Israel, menjadikan negara itu antara pelanggan utama industri pertahanan Tel Aviv.
Antara sistem persenjataan paling menonjol yang diperoleh oleh Azerbaijan daripada Tel Aviv termasuk sistem pertahanan udara Barak‑8 atau Barak MX buatan Israel yang mampu menangkis ancaman peluru berpandu jarak sederhana dan dron serangan.
Harop
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev diberi penerangan tentera sistem “Harop” buatan Israel di Azerbaijan. 
Selain itu, Azerbaijan juga terkenal sebagai antara pengguna terawal dron “kamikaze” Harop buatan Israel, yang digunakan secara meluas ketika Perang Nagorno-Karabakh 2020 untuk memusnahkan sasaran Armenia dengan tepat.
Dron-dron pengintip seperti Hermes 450, Heron, Searcher dan Orbiter-2M pula membolehkan Baku melaksanakan operasi risikan jarak jauh dengan lebih berkesan.
Dalam segmen pelancar roket pula, tentera Azerbaijan menggunakan pelancar LAR‑160 dan sistem PULS buatan Israel meningkatkan keupayaan serangan darat dengan jarak tembakan yang lebih jauh dan ketepatan tinggi.
Menurut laporan rasmi Azerbaijan, Israel telah menjual pelbagai sistem persenjataan tercanggih kepada Baku termasuk peluru berpandu balistik, sistem pertahanan udara dan peperangan elektronik, dron ‘kamikaze’ dan banyak lagi.”
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave a Reply