Iran Boleh Mulakan Pengayaan Uranium Ke Tahap Senjata Nuklear Dalam Beberapa Bulan Sahaja – IAEA
Dalam satu temu bual, Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi mendedahkan bahawa Tehran masih memiliki keupayaan industri serta teknologi untuk memulakan semula pengayaan uranium sehingga ke tahap hampir keupayaan senjata nuklear dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Hasrat Iran untuk memiliki keupayaan nuklear kekal utuh meskipun diserang bertubi-tubi oleh pesawat-pesawat pejuang Israel dan Amerika Syarikat ke atas tapak-tapak pengayaan uranium (uranium enrichment) utama negara itu baru-baru ini, menurut penilaian terkini oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Dalam satu temu bual, Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi mendedahkan bahawa Tehran masih memiliki keupayaan industri serta teknologi untuk memulakan semula pengayaan uranium sehingga ke tahap hampir keupayaan senjata nuklear dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Penilaian ini jelas bercanggah dengan dakwaan lantang bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mendakwa bahawa infrastruktur nuklear Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya”.
Amaran Grossi ini hadir pada ketika kuasa-kuasa serantau dan antarabangsa masih terkial-kial menilai sejauh mana kemusnahan sebenar yang dialami oleh Iran selepas serangan berskala besar pada 13 Jun lalu.
Serangan tersebut menyaksikan Israel memimpin serangan bersepadu ke atas tapak-tapak yang disyaki terlibat dengan program nuklear dan kemudahan ketenteraan sebelum diikuti dengan serangan pengeboman tepat oleh Amerika Syarikat ke atas Fordow, Natanz dan Isfahan — lokasi strategik yang menjadi tunjang rangkaian pengayaan uranium Iran.
“Secara terus-terang, kita tidak boleh mendakwa bahawa segalanya sudah lenyap dan tidak ada apa-apa lagi di sana,” kata Grossi dengan nada jujur, sambil menambah bahawa serangan itu hanya menyebabkan kerosakan yang “teruk tetapi tidak menyeluruh.”
Walaupun beberapa penilaian risikan Barat pada awalnya berpandangan operasi ketenteraan Amerika dan Israel itu mampu melumpuhkan sepenuhnya keupayaan Iran untuk menghidupkan semula program senjata nuklearnya, kenyataan Grossi membayangkan realiti yang jauh lebih membimbangkan.

Menurut penemuan IAEA, Iran masih mempunyai simpanan centrifuge canggih serta kepakaran teknikal untuk mengaktifkan beberapa kelompok mesin itu semula, sekali gus menghasilkan uranium yang diperkaya ke tahap tinggi — yang jika terus diproses, boleh membolehkan pembinaan beberapa hulu peledak nuklear.
Yang lebih membimbangkan ialah fakta bahawa Tehran masih menyimpan stok uranium diperkaya pada tahap 60 peratus — hanya sedikit di bawah tahap senjata nuklear — yang secara teorinya boleh menghasilkan bahan untuk sembilan bom nuklear jika diproses lanjut.
Grossi turut mengakui bahawa pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada stok uranium tersebut telah dimusnahkan, dipindahkan, atau sebahagiannya masih terselamat.
“Pada satu tahap, perkara ini perlu dijelaskan,” katanya kepada CBS News sambil menekankan keterbatasan akses IAEA di lapangan selepas sekian lama hubungan yang tegang dengan pihak berkuasa Iran.
Pendedahan terbaharu ini dijangka mencetuskan semula desakan keras daripada barisan keselamatan Israel untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan program nuklear Iran sentiasa berada di bawah kawalan — satu keutamaan yang menjadi tulang belakang strategi Tel Aviv di rantau Asia Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan penilaian awal Pentagon — yang bocor awal minggu ini — menunjukkan serangan udara tersebut mungkin hanya melambatkan keupayaan nuklear Iran selama beberapa bulan sahaja.
Situasi ini sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan jangka panjang tindakan serangan udara semata-mata dalam mengekang cita-cita atom Tehran.
Penganalisis pertahanan menegaskan bahawa keupayaan Iran membina semula kemudahan nuklearnya berpunca daripada pelaburan bertahun-tahun dalam rangkaian infrastruktur sokongan berganda serta pembinaan kemudahan bawah tanah yang direka khusus untuk bertahan daripada serangan pengeboman berskala terhad.
Tapak seperti Fordow, yang terletak jauh di bawah sebuah gunung berhampiran Qom, sejak sekian lama menjadi mimpi buruk kepada perancang ketenteraan Barat.
Sesetengah penganalisis memberi amaran bahawa hanya senjata pemusnah bunker berskala besar — atau kempen ketenteraan berterusan — mampu melumpuhkan sepenuhnya tapak sekeras itu.
Dalam masa yang sama, kepimpinan tertinggi Iran terus menegaskan bahawa program nuklear mereka hanya untuk tujuan tenaga dan perubatan semata-mata, sambil menolak tuduhan pembangunan senjata secara sulit sebagai dakwaan bermotifkan politik.
Namun, aktiviti pengayaan berulang kali ke tahap hampir senjata nuklear, di samping kemajuan teknologi peluru berpandu dan dakwaan kerja-kerja rekabentuk hulu peledak, kekal meletakkan Tehran di radar risikan Barat serta agensi-agensi keselamatan rantau.
Mereka bimbang langkah Iran menyeberangi ambang nuklear akan mencetuskan perlumbaan senjata nuklear baharu di Asia Barat yang sememangnya sudah bergolak.
Tapak Fordow, Natanz dan Isfahan sejak sekian lama dianggap sebagai tulang belakang keupayaan pengayaan Iran, membolehkan Tehran menyimpan uranium diperkaya jauh melebihi tahap yang dibenarkan di bawah Perjanjian Komprehensif Bersama (JCPOA) yang kini terbengkalai.
Perjanjian nuklear itu sebelum ini berusaha mengehadkan tahap pengayaan Iran sebagai balasan kepada pelepasan sekatan ekonomi, namun runtuh pada 2018 selepas penarikan diri secara unilateral oleh Washington — membuka jalan kepada Tehran untuk kembali meningkatkan tahap pengayaan secara berperingkat sambil semakin bersikap konfrontasi terhadap para pemeriksa antarabangsa.
Kenyataan Grossi juga hadir ketika pelbagai usaha diplomasi sedang cuba dihidupkan semula untuk mendapatkan bentuk pemantauan baharu ke atas program nuklear Iran.
Walau bagaimanapun, ramai penganalisis kekal skeptikal terhadap kesediaan Tehran untuk membenarkan pemantauan secara mendalam atau untuk berunding semula kawalan baharu sedangkan ancaman tindakan ketenteraan sentiasa mengancam negara Parsi itu.
Di sebalik perkembangan terbaharu ini, mesej Israel tetap jelas: mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak secara bersendirian atau dengan sokongan Amerika bagi menghalang ancaman yang dianggap eksistensial, walaupun serangan-serangan tersebut hanya mampu membeli sedikit masa.
Seiring debu yang perlahan-lahan beransur reda di Fordow, Natanz dan Isfahan, agensi risikan di seluruh dunia terus memerhati imej-imej satelit, data seismik dan sebarang petunjuk aktiviti centrifuge dengan penuh teliti.
Ini kerana apa yang dahulunya dianggap mustahil — sebuah bom nuklear buatan Iran — kini berisiko menjadi realiti strategik di rantau yang sudah pun bergolak.
Seorang pakar kawalan senjata nuklear tersohor, Dr. Jeffrey Lewis dari Middlebury Institute dan James Martin Center for Non-Proliferation Studies, menyifatkan operasi ketenteraan Amerika dan Israel sebagai kegagalan besar:
“Mengapa saya langsung tidak kagum dengan serangan ini? Israel dan Amerika Syarikat telah gagal menyasarkan elemen penting dalam bahan nuklear dan infrastruktur pengeluaran Iran. RISING LION dan MIDNIGHT HAMMER mungkin hebat secara taktikal, tetapi berpotensi menjadi kegagalan strategik.”
Isu utama adalah stok simpanan uranium Iran yang dianggarkan berjumlah 400 kilogram pada kadar pengayaan 60 peratus U-235—jumlah yang mencukupi untuk menghasilkan antara sembilan hingga sepuluh kepala peledak nuklear sekiranya diperkayakan ke tahap senjata (weapons-grade).
