Iran Ancam Lancar Peluru Berpandu Ballistik, Dron Berani Mati Terhadap Pangkalan Tentera Diego Garcia
Menurut media-media negara itu, Iran memiliki beberapa sistem persenjataan yang mampu membedil pangkalan tentera terbabit, yang terletak lebih daripada 5,000km daripada negara Parsi itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran memberi amaran akan melancarkan serangan peluru berpandu ballistik dan dron jarak jauh terhadap pangkalan tentera laut bersama Amerika Syarikat-United Kingdom di Diego Garcia yang terletak di Kepulauan Chagos, sekiranya Washington melancarkan tindakan ketenteraan ke atas negara Parsi itu.
Menurut media-media negara itu, Iran memiliki beberapa sistem persenjataan yang mampu membedil pangkalan tentera terbabit, yang terletak lebih daripada 5,000km daripada negara Parsi itu.
“Iran memiliki kelengkapan persenjataan yang mencukupi untuk melancarkan serangan sedemikian (terhadap Diego Garcia) dari wilayahnya, termasuk versi terbaru peluru berpandu jarak sederhana Khorramshahr serta dron berani mati Shahed-136B yang mempunyai jarak operasi sejauh 4,000 kilometer [2,485 batu],” kata media-media tempatan Iran.
Agensi berita Tasnim pula melaporkan bahawa Speaker Parlimen negara itu, Mohammad Baqer Qalibaf, ketika berucap sempena acara Hari Al-Quds baru-baru ini berkata, “Pihak Amerika sendiri sedar akan terdedahnya mereka. Jika mereka menceroboh sempadan Iran, ia ibarat percikan api dalam tong serbuk letupan yang mampu meletuskan seluruh rantau ini.”
“Ketika itu, pangkalan mereka dan sekutu-sekutu mereka tidak akan lagi berada dalam keadaan selamat.”
Mohammad Baqer dipercayai merujuk kepada pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya yang berada di beberapa lokasi di rantau Timur Tengah yang berkemungkinan besar akan menjadi sasaran serangan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati Iran juga.
Peluru berpandu Khorramshahr milik Iran dipercayai dibangunkan berasaskan peluru berpandu Musudan (BM-25) keluaran Korea Utara, yang pada asalnya berpunca daripada peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam (SLBM) era Soviet, R-27 atau RSM-25, yang dikenali oleh NATO sebagai SS-N-6 ‘Serb’.
Peluru berpandu R-27 mula digunakan secara operasi oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1968.
Laporan menunjukkan bahawa Korea Utara mula membangunkan versi darat peluru berpandu R-27 — yang kini dikenali sebagai “Musudan” — seawal tahun 2003.
Iran dipercayai telah membeli sebanyak 18 unit peluru berpandu tersebut bersama peralatan berkaitan daripada Korea Utara sekitar tahun 2005. Iran melakukan ujian pertama ke atas Musudan pada 17 Mei 2007, dan sekali lagi pada April serta Julai 2016.
Selepas itu, Iran telah mengubah suai peluru berpandu tersebut dan menamakannya semula sebagai ‘Khorramshahr’.
Iran telah memperkenalkan dron kamikaze Shahed-136B yang dinaik taraf dengan jarak operasi sehingga 4,000 kilometer.
Dron ini merupakan versi terkini daripada model Shahed-136 sebelumnya, yang pada asalnya mempunyai jarak operasi antara 1,500 hingga 2,500 kilometer.
Peningkatan ini membolehkan Shahed-136B mencapai sasaran yang lebih jauh, meningkatkan keupayaan strategik Iran dalam operasi jarak jauh.
Diego Garcia, yang terletak di tengah-tengah Lautan Hindi, berada kira-kira 5,200 kilometer (3,200 batu) dari Tehran.
Sejak beberapa hari lalu, sejumlah besar pesawat-pesawat pengebom B-2 Spirit dan pesawat pengisi minyak dilaporkan sedang menuju ke pulau Diego Garcia di Lautan Hindi, milik Britain yang kerap-kali digunakan oleh tentera Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan terhadap sasaran-sasaran di Timur Tengah.
Perkembangan terbaru ini berlaku ketika serangan terbaru pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat terhadap kumpulan Houthi di Yemen, di samping amaran yang semakin lantang daripada pentadbiran Trump terhadap Iran berhubung sokongannya terhadap kumpulan Houthi itu serta pembangunan senjata nuklear Iran.
Imej-imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh buah pesawat pengebom B-2 Spirit, tiga buah pesawat kargo C-17 dan 10 buah pesawat pengisi minyak milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah dihantar ke pulau Diego Garcia dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Diego Garcia merupakan pangkalan tentera laut dan udara milik British yang disewakan kepada Amerika Syarikat, terletak di tengah-tengah Lautan Hindi.
Ia berfungsi sebagai pusat sokongan logistik penting bagi operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Asia Barat, Afrika Timur dan Asia Tenggara.

Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia menempatkan landasan udara panjang, kemudahan pelancaran pesawat pengebom strategik (seperti B-52 dan B-2), pusat komunikasi global, serta pelabuhan untuk kapal perang dan kapal sokongan.
Aktiviti pelbagai pesawat tentera Amerika Syarikat sedang “berkumpul” di Diego Garcia itu pertama kali dilaporkan oleh Open Soutce Intelligence (OSINT), IntelFrog di platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), yang menggunakan data penjejakan pesawat awam untuk memantau pergerakan aset-aset ketenteraan.
Menurut laporan awal IntelFrog, sebanyak 18 pesawat tangki KC-135 milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah dikesan ditempatkan di beberapa lokasi utama di rantau Pasifik—termasuk di Pangkalan Tentera Udara Travis di California, Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Hawaii, dan Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam.
Ketibaan pesawat-pesawat kargo ini menunjukkan satu usaha logistik besar-besaran—berkemungkinan melibatkan penghantaran anggota, bekalan peluru, serta peralatan sokongan yang diperlukan untuk operasi pengebom jarak jauh.
Data penerbangan yang telah disahkan oleh IntelFrog menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh buah pesawat pengebom B-2 Spirit sedang berada atau sedang dalam penerbangan menuju ke pulau Diego Garcia tersebut yang merupakan satu kehadiran luar biasa bagi pesawat strategik itu di satu lokasi.
Tentera Amerika Syarikat kerap menggunakan Diego Garcia sebagai pangkalan utama untuk melancarkan operasi ke Timur Tengah kerana beberapa faktor strategik yang sangat penting:
Diego Garcia terletak di tengah-tengah Lautan Hindi, menjadikannya lokasi yang sangat sesuai untuk melancarkan serangan udara dan sokongan logistik ke pelbagai kawasan panas seperti Timur Tengah, Asia Selatan, dan Afrika Timur.

Ia berada dalam jarak operasi pengebom strategik seperti B-2 Spirit dan B-52, tanpa perlu mendarat semula.
Pangkalan tentera di pulau Diego Garcia ini dilengkapi dengan landasan panjang yang mampu menyokong pesawat bersaiz besar termasuk pengebom strategik dan pesawat kargo C-17, pelabuhan dalam yang boleh menampung kapal induk, kapal selam dan kapal logistik, selain menyimpan stok senjata, peluru dan bahan api dalam jumlah besar bagi menyokong operasi berpanjangan.
Selain itu, ia juga dilengkapi sistem komunikasi dan kawalan misi canggih termasuk stesen satelit dan sistem pemantauan strategik.
Diego Garcia sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam operasi pengebom strategik Amerika Syarikat, termasuk menjadi pangkalan bagi misi B-52 dan B-1 semasa Perang Teluk, serta konflik di Iraq dan Afghanistan.
Lokasinya yang terpencil serta landasan yang panjang menjadikan ia pangkalan hadapan yang amat strategik bagi operasi jarak jauh.
— DEFENCE SECURITY ASIA