Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Temui Serpihan Dan Minyak KRI Nanggala, Dipercayai Berada 850 Meter Di Dasar Laut Bali

Perkara itu diakui oleh Panglima TNI Hadi Tjahjanto dalam sidang media di Pulau Bali hari ini yang menambah, maklumat daripada sonar percaya kapal selam itu terdampar kira-kira 850 meter di dasar.

0 3,769

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali sejak melancarkan operasi SAR di Laut Bali, pihak berkuasa Indonesia mengakui kemungkinan besar kapal selam KRI Nanggala-402 telah mengalami “blackout” sebelum karam di kedalaman 850 meter di dasar laut.

Perkara itu diakui oleh Panglima TNI Hadi Tjahjanto dalam sidang media di Pulau Bali hari ini yang menambah, maklumat daripada sonar percaya kapal selam milik negara itu itu terdampar kira-kira 850 meter di dasar  Laut Bali bersama-sama 53 anak kapalnya.

Beliau berkata, pihaknya membuat kesimpulan KRI Nanggala telah karam di kedalaman yang ekstrim itu berdasarkan “bukti-bukti autentik” penemuan tumpahan minyak dan serpihan daripada kapal selam itu.

“Unsur-unsur TNI AL telah menemukan tumpahan minyak dan serpihan yang menjadi bukti autentik menuju fase tenggelamnya KRI Nanggala,” kata Panglima TNI itu.

Dalam sidang media itu beliau turut menunjukkan “bukti-bukti autentik” itu seperti fragmen daripada tiub torpedo dipanggil “straighteners”, cooling pipe insulation dengan tulisan Korea, grease/lubricant periskop, sejadah dan heat insulation foam.

nanggala
Serpihan kapal selam KRI Nanggala yang ditemui. (kredit JATOSINT)

 

Fasa misi SAR juga telah berubah daripada “submiss” kepada “subsunk,” menurut beliau.

Hadi juga berkata hari ini merupakan hari terakhir bekalan oksigen di kapal selam malang terbabit.

“TNI AL bersama Polri, Basarnas, KNKT dan BPBD, serta aset-aset negara sahabat, seperti Australia, Amerika Serikat, Singapura, Malaysia, telah berupaya dan semaksimal mungkin untuk mencari keberadaan KRI Nanggala,” menurut beliau lagi.

Kapal selam KRI Nanggala-402 “hilang kontak” ketika menjalani  latihan penembakan torpedo pada Rabu lepas.

Pasukan penyelamat TNI melaksanakan fokus pencarian KRI Nanggala-402 di laut sebelah utara Bali, sekitar 40 km dari Celukan Bawang, Kecamatan Gerokgak, Kabupaten Buleleng, Bali.

Mereka turut menemui tumpahan minyak dan daya magnet yang besar yang dipercayai berasal daripada kapal selam KRI Nanggala-402.

nanggala

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...