Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Setuju Jual 40 Buah F-35 Pada Greek, Tetapi Kenakan “Syarat” Pula

Menurut laporan oleh akhbar tempatan Greek “Kathimerini” pada 27 Jan yang lalu, Setiausaha  Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken telah menulis surat kepada Perdana Menteri Greek Kyriakos Mitsotakis pada 26 Jan, di mana ia meminta Greek memindahkan senjata-senjata buatan Russia yang digunakan oleh angkatan tenteranya kepada Ukraine.

0 1,347

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menjual sejumlah 40 buah pesawat pejuang generasi kelima, F-35 bernilai US$8.6 billion (RM38.7 billion) kepada Greek, tetapi pada pada yang sama turut mengenakan “syarat” kepada negara Mediterranean itu.

Amerika Syarikat mahukan “sesuatu” daripada Greek dan ia menggunakan persetujuannya menjual pesawat pejuang itu untuk mendapatkan apa yang dihasratkannya itu

Apakah yang dimahukan oleh Washington daripada Greek?

Menurut laporan oleh akhbar tempatan Greek “Kathimerini” pada 27 Jan yang lalu, Setiausaha  Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken telah menulis surat kepada Perdana Menteri Greek Kyriakos Mitsotakis pada 26 Jan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu meminta Greek memindahkan senjata-senjata buatan Russia yang digunakan oleh angkatan tenteranya kepada Ukraine, bagi membantu negara Eropah Timur itu menangani serangan tentera Russia.

Blinken menawarkan bantuan ketenteraan berjumlah US$200 juta (RM900 juta) kepada Greek sekiranya ia bersetuju untuk memindahkan senjata-senjata buatan Russia yang digunakan oleh angkatan tenteranya kepada Ukraine.  

S-300
Sistem pertahanan udara S-300

 

Greek memiliki beberapa sistem persenjataan yang amat dikehendaki oleh tentera Ukraine dalam menentang pencerobohan Russia terhadap wilayahnya.

Antaranya adalah sistem pertahanan udara S-300 dan TOR serta sistem meriam anti-pesawat ZU-23-2 serta bekalan peluru-peluru yang banyak dalam simpanannya.

Russia sebelum ini telah menyatakan tentangannya terhadap sebarang cadangan untuk menjual senjata buatannya kepada Ukraine.

Selain daripada sistem-sistem persenjataan buatan Russia milik Greek ang amat dikehendaki itu, Amerika Syarikat sebelum ini juga bercadang membeli peluru-peluru meriam buatan negara Mediterranean untuk diberikan kepada Ukraine.

Washington berhasrat membeli 50,000 peluru meriam 105mm, 20,000 peluru meriam 155mm dan 5,000 peluru meriam 203mm untuk menampung bekalan peluru-peluru meriam Ukraine yang semakin berkurangan.

TOR
Sistem pertahanan udara TOR

 

Keseluruhan peluru-peluru meriam yang cuba dibeli oleh Amerika Syarikat daripada Greek dianggarkan bernilai US$47 juta (RM211 juta).

Ukraine berhadapan dengan kekurangan peluru-peluru meriam daripada Amerika  Syarikat selepas negara itu mengurangkan bantuan ketenteraannya kepada Kiev dengan mendadak hasil desakan daripada ahli politik dan orang awam negara kuasa besar dunia itu.

Awal tahun lepas, laporan media memetik Menteri Luar Turkiye pada ketika itu, Mavlut Cavusoglu menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menggesa Ankara supaya menghantar sistem pertahanan udara S-400 yang diperolehinya daripada Russia ke Ukraine.

Bagaimanapun, Ankara telah menolak  “permintaan” daripada Washington itu.

 “Terdapat beberapa cadangan daripada Amerika Syarikat mengenai sistem pertahanan udara S-400 itu. Kami diberitahu (oleh Amerika Syarikat) supaya memberi mereka kawalan. Ini adalah cadangan yang menjejaskan kemerdekaan kami. Dimanakah kemerdekaan kami?.”

Greek
Meriam anti pesawat ZU-23-2

 

“Kami juga ditawarkan supaya menghantar sistem S-400 itu kepada Ukraine, tetapi kami tidak boleh melakukannya,” kata beliau kepada stesen televisyen Turkiye,Haberturk.

Diperolehi pada 2019, sistem pertahanan S-400 yang diperolehi Turki itu merupakan punca kepada ketegangan hubungan di antara Ankara dan Washington.

Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).

Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...