Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Gelombang Pertama Serangan Israel Terhadap Iran Bermula, Tehran Lancar Peluru Berpandu Ballistik

kerajaan Iran turut telah mengumumkan keadaan darurat diseluruh negara itu, dengan laporan dairpada Teheran juga menyatakan bahawa tentera negara itu telah mula melancarkan peluru-peluru berpandu ballistik terhadap Israel daripada silo-silo bawah tanahnya yang terletak di bahagian barat negara itu.

0 18,737
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Israel telah melancarkan serangan udara terhadap beberapa lokasi di Iran termasuk di ibu negaranya, Tehran dalam operasi tentera dinamakan “Rising Lion” hanya beberapa jam selepas lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengisytiharkan Iran telah melanggar perjanjian penyebaran senjata (non-proliferation).
Ia merupakan kali pertama dalam 19 tahun dimana Iran diisytiharkan telah melanggar perjanjian itu.
Sehubungan dengan itu, kerajaan Iran turut telah mengumumkan keadaan darurat diseluruh negara itu, dengan laporan dairpada Teheran juga menyatakan bahawa tentera negara itu telah mula melancarkan peluru-peluru berpandu ballistik terhadap Israel daripada silo-silo bawah tanahnya yang terletak di bahagian barat negara itu.
Jurucakap Israel juga mengesahkan bahwa tenteranya telah mengesan pelancaran peluru-peluru berpandu ballistik terhadapnya.
Terdahulu, seorang pegawai tentera Israel yang enggan dinamakan memaklumkan kepada agensi berita Reuters bahawa Israel telah melancarkan serangan ke atas “puluhan” sasaran nuklear dan ketenteraan di Iran awal pagi Jumaat.
Menurut pegawai itu lagi, serangan tersebut dilaksanakan susulan maklumat risikan yang menunjukkan Iran kini memiliki bahan yang mencukupi untuk membina 15 bom nuklear dalam tempoh hanya beberapa hari.
Sementara itu, agensi berita rasmi Iran, Nour News, melaporkan bahawa beberapa “letupan kuat” telah kedengaran di dalam dan sekitar ibu negara Teheran.
Laporan itu turut menyatakan bahawa sistem pertahanan udara Iran kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya, manakala semua penerbangan di Lapangan Terbang Imam Khomeini telah digantung buat sementara waktu.
Iran juga telah mengeluarkan arahan untuk menutup ruang udara negara itu, suatu petanda jelas bahawa ia sedang merancang untuk melancarkan peluru-peluru berpandu ballistik terhadap Israel bagi membalas serangan udara negara Yahudi itu.
Laporan-laporan media tempatan kebanyakkan daripada serangan Israel melibatkan pesawat-pesawat pejuan negara itu melancarkan peluru-peluru berpandu mereka atau senjata stand-off daripada ruang udara Iraq, tanpa perlu memasuki ruang udara Iran yang dikawal ketat oleh sistem-sistem pertahanan udaranya.
Penduduk tempatan di beberapa bahagian Iraq melaporkan bahawa mendengar deruan-deruan enjin pesawat pejuang berlegar-legar di ruang udara mereka, selain melihat pelancaran-pelancaran projektil daripada pesawat-pesawat itu.
Kerajaan Iraq juga menyatakan bahawa ia telah bertindak menutup ruangan udara mereka.
Stesen televisyen tempatan Iran dalam laporan mereka pula menyatakan bahawa sistem pertahanan udara negara itu bertugas “100 peratus”manakala laporan lain pula menyatakan lapangan terbang dan kompleks kediaman di ibu negaranya telah diserang oleh pesawat pejuang Israel.

Iran

Kompleks kediaman yang diserang itu didakwa menempatkan pegawai-pegawai kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) serta saintis-saintis Iran yang didakwa terlibat dengan program nuklear negara itu.
Terdapat juga laporan daripada Israel menyatakan bahawa serangan udaranya telah membunuh Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Mohamad Bagheri, namun laporan itu tidak dapat disahkan sehingga kini.
Reuters dalam laporannya menyatakan bahawa Bahgeri berkemungkinan besar terbunuh dalam serangan Israel yang mensasarkannya itu.
Laporan lain juga menyatakan bahawa selain Bagheri, Israel juga menyasarkan Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Hossein Salami dan Ketua Angkatan Udara Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Amir Ali Hajizadeh.
Stesen TV Iran mengesahkan bahawa Salami maut dalam serangan Israel ke atas kediamannya.
Laporan media tempatan menyatakan beberapa bahagian di Tehran telah diserang meliputi kawasan-kawasan di Narmak, Shahid Mahallati, Shahid Chamran dan kawasan di Chitgar.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa negara itu telah memulakan serangan udara terhadap Iran dan serangan itu akan berterusan “selagi ia diperlukan.”
Iran
Hossein Salami
“Kami telah menyerang ‘jantung program pengayaan nuklear Iran’ serta usaha negara itu untuk menghasilkan senjata nuklear.”
“Kami mensasarkan fasiliti utama pengayaan nuklear Iran di Natanz.”
“Kami juga menyasarkan saintis-saintis nuklear utama Iran yang terlibat dalam pembangunan bom, termasuk teras program peluru berpandu balistik negara itu.”
Laporan media antarabangsa juga menyatakan bahawa selari dengan serangan udara Israel terhadap Iran itu, agensi perisikan negara Yahudi itu, Mossad telah melancarkan operasi di dalam Iran untuk mensasarkan pusat-pusat ketenteraan dan nuklear negara Parsi itu.
Serangan di dalam Iran itu dipercayai menggunakan anggota-anggota kumpulan bersenjata yang menentang kerajaan Iran serta perisiknya, sebagaimana yang kerapkali dilakukan oleh Mossad sebelum ini.
Selain di Natanz, pesawat-pesawat pejuang atau peluru berpandu Israel juga dikatakan telah menyerang Khorramabad dan Hamedan yang dipercayai menempatkan pusat-pusat pembangunan nuklear Iran.
Israel juga didakwa melancarkan serangan terhadap beberapa lokasi pusat-pusat radar strategik Iran.
Semalam, buat pertama kali dalam hampir dua dekad, Lembaga Pengarah IAEA yang dianggotai 35 negara mengisytiharkan bahawa Iran telah melanggar komitmennya terhadap perjanjian non-proliferasi, sekali gus membuka ruang untuk negara itu dirujuk kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iran

Langkah penting ini merupakan kemuncak kepada beberapa ketegangan yang berpanjangan antara Iran dan IAEA sejak Amerika Syarikat, di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, menarik diri daripada perjanjian nuklear antara Tehran dan kuasa besar dunia pada tahun 2018 ketika penggal pertamanya, yang kemudiannya menyebabkan perjanjian itu terbatal.
Iran sebelum ini sering membantah sebarang resolusi terhadapnya, dan memandangkan resolusi kali ini merupakan yang paling tegas dalam beberapa tahun, negara itu dijangka bertindak balas dengan meningkatkan aktivitinya dalam pembangunan nuklear — sesuatu yang telah dinyatakan secara terbuka oleh pihak berkuasa Tehran.
Tindakan balas Iran berkemungkinan besar akan menjejaskan rundingan semasa antara Washington dan Tehran yang bertujuan mewujudkan kawalan baharu terhadap kemajuan pantas program atom negara itu.
Resolusi ini turut hadir pada ketika ketegangan di rantau Asia Barat semakin memuncak, dengan Amerika Syarikat menarik keluar kakitangannya dari beberapa negara di rantau itu, manakala Trump memberi amaran bahawa situasi mungkin menjadi semakin merbahaya serta menegaskan bahawa Washington tidak akan membiarkan Iran memiliki senjata nuklear.
Menurut para diplomat yang menghadiri mesyuarat tertutup itu, resolusi yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman telah diluluskan dengan sokongan 19 negara, sementara 11 negara berkecuali dan tiga buah negara — Russia, China dan Burkina Faso — menolaknya.
Iran mengecam resolusi yang diluluskan oleh IAEA sebagai bermotifkan “politik”, sambil mengumumkan rancangan untuk membina sebuah lagi kemudahan pengayaan uranium.
Pengumuman itu dibuat susulan laporan IAEA minggu lalu yang mengkritik Iran kerana “kurangnya kerjasama secara umum” dan mendedahkan bahawa negara itu kini memiliki simpanan uranium diperkaya sehingga 60 peratus — hampir kepada tahap ketulenan senjata — yang mencukupi untuk menghasilkan sehingga sembilan bom nuklear.
Iran
Loji nuklear Irandi Natanz
Walau bagaimanapun, Iran tetap bertegas bahawa keseluruhan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman semata-mata dan menafikan sebarang niat untuk membangunkan atau memiliki senjata nuklear.
Menerusi perjanjian nuklear penting yang dimeterai pada 2015 bersama enam kuasa dunia, Iran bersetuju untuk menghadkan aktiviti nuklearnya serta membenarkan pemantauan berterusan dan menyeluruh oleh pemeriksa IAEA sebagai balasan kepada pengurangan sekatan ekonomi yang membebankan.
Iran turut berjanji untuk membantu IAEA menyelesaikan isu-isu berkaitan pengisytiharan di bawah Perjanjian Sekatan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) yang ditandatanganinya.
Namun begitu, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, menarik diri daripada perjanjian tersebut pada tahun 2018 dalam penggal pertamanya, dengan alasan bahawa perjanjian berkenaan terlalu lemah untuk menghalang laluan Iran ke arah pembangunan senjata nuklear, sebelum mengembalikan semula sekatan ekonomi ke atas Tehran.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply