Gambar F-16D+ Singapura Bawa Peluru Berpandu Udara-ke-Udara Python 5 Dirakam
Gambar pesawat pejuang F-16D+ Tentera Udara Republik Singapura terbang bersama-sama peluru berpandu Python 5 itu telah berjaya dirakam oleh jurugambar dikenali dengan nama Terrence yang telah memuatnaik gambar terbabit di laman Instagram beliau – teraviation baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali selepas bertahun-tahun dispekulasikan sebagai pengguna peluru berpandu udara-ke-udara Python 5 buatan Israel, gambar sebuah pesawat pejuang F-16D+ milik Tentera Udara Republik Singapura sedang berada di udara sambil membawa peluru berpandu tersebut telah berjaya dirakam.
Gambar pesawat pejuang F-16D+ Tentera Udara Republik Singapura terbang bersama-sama peluru berpandu Python 5 itu telah berjaya dirakam oleh jurugambar dikenali dengan nama Terrence yang telah memuatnaik gambar terbabit di laman Instagram beliau – teraviation baru-baru ini.
Menurut kapsyen gambar itu, selain dua butir peluru berpandu udara-ke-udara Python 5, pesawat pejuang F-16D+ Tentera Udara Republik Singapura itu turut membawa dua butir peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM.
Pesawat pejuang F-16D+ republik itu dipercayai sedang dalam tugasan rondaan.
Pada 2023, Tentera Udara Singapura telah mendedahkan kepada umum pesawat pejuang F-16 C/D/D+ yang telah dinaiktaraf dan kini berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat “Python 5” yang dibangunkan oleh Israel.
Menurut laporan berita oleh Channel News Asia, ia menyatakan bahawa “Python 5” adalah salah satu peluru berpandu udara-ke-udara tercanggih dunia.
Papan tanda maklumat yang ditemui di pangkalan udara Paya Lebar sempena sambutan hari terbuka Tentera Udara Singapura menunjukkan bahawa pesawat F-16 republik itu yang baru sahaja menjalani kerja-kerja naiktaraf kini berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” buatan syarikat Israel itu.
Peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” itu dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Rafael Advance Defense Systems dan menurut pengeluarnya berupaya memusnahkan sasaran udara pada jarak 20km.
Penggunaan peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” oleh pesawat F-16 Singapura itu adalah dijangkakan atas faktor commonality kerana sistem pertahanan udara republik itu juga menggunakan sistem pertahanan udara “Spyder” yang menggunakan peluru berpandu “Python-5” dan “Derby”.
Tentera Udara Singapura memutuskan untuk melakukan Mid-Life Upgrades (MLU) terhadap 20 daripada 62 buah pesawat F-16 miliknya pada 2016 dan bercadang terus menggunakan pesawat pejuang buatan syarikat Lockheed Martin sehingga selepas tahun 2030.
Baru-baru ini diumumkan pesawat-pesawat pejuang F-16 Tentera Udara Republik Singapura bakal menerima pakej permodenan dan naik taraf terbaru menerusi kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat Lockheed Martin bernilai US$8.7 juta (RM39 juta).
![Python-5](https://defencesecurityasia.com/wp-content/uploads/2023/06/WhatsApp-Image-2021-04-29-at-13.38.44_0.jpeg)
Kerja-kerja pemodenan dan naik taraf dibawah pakej terbaru ini akan dilaksanakan di Fort Worth, Texas, dan dijangka selesai pada 31 September 2027.
Kerja-kerja menaiktaraf pesawat F-16 Singapura yang dianggarkan bernilai US$2.4 bilion (RM10.8 bilion) itu turut meliputi melengkapkan pesawat-pesawat pejuang milik Singapura dengan radar AESA AN/APG-83 SABR (Scalable Agile Beam Radar) yang dibangunkan oleh Northrop Grumman.
Pembangunan varian awal peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” dikatakan telah bermula sekitar 1990-an dan peluru berpandu itu secara rasminya telah didedahkan kepada khalayak ramai ketika Paris Air Show pada 2003.
Python-5 adalah peluru berpandu dwi-kegunaan sama ada secara udara-ke-udara dan darat-ke-udara, selain mengintegrasikan imaging seeker, perisian moden, advanced infrared counter-countermeasure (IRCCM) serta sistem kawalan penerbangan.
![Python](https://defencesecurityasia.com/wp-content/uploads/2023/06/detail_PYTHON-5-900x636-1.jpg)