Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Akui Kemampuannya Kesan Kapal Selam Asing di Tahap “Sederhana kepada Minimum”

Jurucakap Tentera Laut Filipina untuk Laut Filipina Barat Laksamana Roy Vincent Trinidad memberikan analisis beliau tentang kemampuan pemantauan maritim negara itu kira-kira seminggu selepas sebuah kapal selam Russia dikesan berada di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu.

0 3,671
(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Tentera Laut Filipina mengakui bahawa ia hanya memiliki kemampuan “sederhana kepada minimum” untuk mengesan ancaman-ancaman bawah permukaan seperti kapal selam asing di perairan negara itu, seorang pegawai kanan ketenteraanya memberitahu media negara itu.
Jurucakap Tentera Laut Filipina untuk Laut Filipina Barat Laksamana Roy Vincent Trinidad memberikan analisis beliau tentang kemampuan pemantauan maritim negara itu kira-kira seminggu selepas sebuah kapal selam Russia dikesan berada di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu.
“Kemampuan bawah permukaan dan dasar laut kami adalah masih sederhana. Ia adalah pembangunan yang berterusan. Kami mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk memantau aset-aset atas permukaan berbanding aset bawah permukaan.”
Beliau berkata pihak tentera Filipina memandang insiden penemuan kapal selam Russia itu sebagai terlalu merisaukan.
Kapal selam Russia itu menurutnya tidak terlibat dalam aktiviti yang mencurigakan tetapi ia dipercayai timbul di permukaan untuk menerima bekalan atau untuk melakukan beberapa kerja pembaikan kecil.
Katanya lagi, pihak tentera Filipina mengesan dua buah kapal sokongan Russia di antara lapan hingga 10 Batu Nautika daripada kapal selam kelas-Kilo milik negara itu.
Russia
Kapal selam kelas-Kilo Russia ketika dikesan oleh tentera Filipina baru-baru ini.

Ringkasan Berita:

Tentera Laut Filipina mengakui kekurangan kemampuan untuk mengesan ancaman bawah permukaan, termasuk kapal selam, di perairan negara itu. Jurucakapnya, Laksamana Roy Vincent Trinidad, menyatakan kemampuan pemantauan bawah permukaan mereka masih sederhana. Kenyataan ini susulan insiden sebuah kapal selam Rusia kelas-Kilo, “Ufa,” dikesan berada di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina pada 28 November.

Kapal selam itu dipercayai sedang belayar pulang ke pangkalan Armada Pasifik di Kamchatka selepas menjalani latihan bersama Tentera Laut Indonesia dan singgah di Malaysia. Ia dikesan belayar di permukaan dan diiringi kapal penunda Rusia, Alatau. Tentera Laut Filipina bertindak memantau pergerakan kapal selam itu menggunakan pesawat peninjau dan kapal perang BRP Jose Rizal.

“Ufa” adalah kapal selam diesel-elektrik yang digelar “Black Hole” kerana sifatnya yang senyap, dan kehadirannya di Asia Pasifik mencerminkan kepentingan strategik rantau ini dalam persaingan kuasa besar dunia. Kapal selam ini dilaporkan tidak melakukan aktiviti mencurigakan semasa berada di perairan Filipina.

Trinidad tidak menolak kemungkinan bahawa kapal selam Russia itu telah berada di bawah permukaan air di dalam perairan ZEE Filipina sebelum ia timbul di permukaan.
“Kami mengesan kapal selam Russisa ketika ia telah timbul dipermukaan. Segala-galanya mungkin sebelum kami mengesannya termasuk ia berada di bawah permukaan air,” katanya sambil menambah Tentera Laut Filipina hanya mempunyai dua buah kapal yang mampu mengesan kapal selam.
Dalam insiden yang disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku baru-baru ini, sebuah kapal selam penyerang Russia telah dikesan “timbul” (surfaced) di bahagian barat Laut China Selatan berhampiran Filipina yang digelar oleh Manila sebagai Laut Filipina Barat (West Philippine Sea).
Sumber-sumber memberitahu akhbar Filipina “Philippine Daily Inquirer” bahawa kapal selam penyerang Russia itu dikesan belayar di atas permukaan air pada minggu lepas.
Satu daripada sumber-sumber yang memberitahu  akhbar negara itu menyatakan bahawa kapal selam diesel elektrik Russia itu adalah daripada jenis Ufa daripada kelas-Kilo II.
Kali pertama kapal selam Russia itu dikesan pada 28 November lalu berada kira-kira 148km (80 Batu Nautika) barat Occidental Mindoro dan ia didapati telah belayar daripada Malaysia, menurut sumber itu.
Ufa
“Ufa” juga dipanggil sebagai “Black Hole” armada kapal selam Russia.
Menurut media Filipina, tentera laut negara itu telah bertindak segera dengan mengerahkan sebuah pesawat peninjau dan kapal perang untuk menjejak pelayaran kapal selam Russia itu yang belayar di atas permukaan perairan.
Sepanjang pelayarannya, kapal selam itu tidak menyelam ketika ia belayar menuju ke bahagian utara Laut China Selatan itu di luar perairan Filipina.
Sepanjang pelayarannya itu, kapal selam diesel elektrik Russia itu dijejaki rapat oleh kapal perang Tentera Laut Filipina BRP Jose Rizal.
Kapal selam Russia itu bersama kapal penunda, Alatau telah dikesan beroperasi di Laut China Selatan selepas singgah di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu pada 23 Nov itu.
Sebelum itu, kapal selam Russia itu telah berada di Indonesia untuk menjalani latihan bersama dengan Tentera Laut Indonesia.
Kapal selam Ufa daripada kelas-Kilo II itu dipercayai sedang pelayaran untuk pulang ke pangkalannya di Armada Pasifik Tentera Laut Russia di Pangkalan Laut Kamchatka, timur jauh Russia.
“Ufa”adalah salah sebuah daripada enam buah kapal selam penyerang Projek 636.3 milik Russia yang telah ditauliahkan pada akhir tahun lepas dan kini operasinya dipindahkan daripada kawasan Laut Baltik kepada Lautan Pasifik.
Rostov
Kapal selam kelas Improved Kilo “Rostov-on-Don”.
Ia merupakan kapal selam diesel elektrik kelas-Kilo (improved Kilo) yang telah dinaiktaraf dan dipermodenkan dengan beberapa kemampuan terkini.
Russia menandatangani perjanjian dengan Admiralty Shipyard untuk membina enam buah kapal selam Projek 636.3, dengan kapal selam pertama telah ditauliahkan oleh tentera laut negara itu pada 2019.
Kapal selam “Ufa” dilaporkan adalah salah sebuah kapal selam penyerang Russia paling senyap dalam armadanya, seringkali diperkatakan sebagai “Black Hole” di dalam armada kapal selam negara kuasa besar dunia.
“Pengoperasian kapal selam penyerang diesel-elektrik “Ufa” ke Asia Pasifik adalah amat penting kerana rantau ini telah menjadi arena konfrontasi di antara kuasa-kuasa besar dunia terutamanya membabitkan China dan Amerika Syarikat,” menurut agensi berita Russia, Izvestia. — DSA
 

 

Comments
Loading...