Masalah Alat Ganti Punca Hanya 3 FA-50 Filipina Boleh Beroperasi
Sumber mendedahkan kepada media Filipina bahawa hanya tiga daripada 12 buah pesawat FA-50 dimiliki oleh tentera udara negara itu boleh beroperasi pada ketika ini manakala selebihnya "tersadai" akibat masalah alat ganti.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Usaha Tentera Udara Filipina mempertahankan ruang udara negara itu daripada sebarang ancaman telah dengan terjejas teruk disebabkan masalah kekurangan alat ganti dihadapi oleh skuadron pesawat pejuang ringan FA-50 miliknya.
Sumber mendedahkan kepada media Filipina bahawa hanya tiga daripada 12 buah pesawat FA-50 dimiliki oleh tentera udara negara itu boleh beroperasi pada ketika ini manakala selebihnya “tersadai” akibat masalah alat ganti.
Anggota penyelenggaraan pesawat dikatakan sukar mencari alat ganti untuk menggantikan alat ganti pesawat yang rosak akibat masalah lojistik.
“Ceritanya adalah aliran lojistik dan penyelenggaran yang tidak selari,” menurut seorang pegawai tentera udara negara itu, sambil menambah bahawa kebanyakkan pesawat FA-50 negara tidak dapat terbang kerana soal penyelenggaran berkala.
Katanya, masalah bukan berpunca daripada kemahiran krew penyelenggaran tetapi lebih kepada soal lojistik yang diperlukan untuk menyelenggara pesawat itu.
“Ia adalah seperti sebuah kereta, sesetengah komponen bermasalah dan oleh itu kita perlu menggantikannya di mana kita memanggilnya ‘time change items.’ Ia dijadualkan untuk diperbaiki dan kita memohon alat ganti tetapi ia belum tiba,” kata beliau.
Pegawai tentera udara Filipina itu berharap dua buah pesawat FA-50 akan kembali beroperasi menjelang November selepas terpaksa diketepikan bermula pada suku kedua tahun ini.
Sementara itu jurucakap Tentera Udara Filipina Kolonel Maria Consuela Castillo mengakui masalah yang dihadapi telah menjejaskan operasi pertahanan udara tetapi memberi jaminan bahawa Tentera Udara masih menjalankan misi-misi yang telah ditetapkan.
“Kami masih berupaya melaksanakan operasi pertahanan luaran tetapi kemampuan kami (tentera udara) amat terhad,” katanya sambil menambah bahawa sekiranya bilangan pesawat pada bilangan optimum, ia masih tidak mencukupi.
Beliau berkata ada di antara pesawat FA-50 itu terpaksa digantung operasinya disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dan tidak dapat memberikan tempoh sebenar bila pesawat itu akan dapat beroperasi sepenuhnya.
Castillo berkata, kesemuanya bergantung bilakah alat-alat ganti itu akan diterimanya daripada syarikat pembuat pesawat, Korea Aerospace Industries (KAI) daripada Korea Selatan.
Beliau berkata disebabkan masalah pandemik COVID-19, penghantaran alat-alat ganti juga berhadapan dengan masalah.
“Kita tidak mengesahkan bilakah pesawat-pesawat FA-50 akan kembali beroperasi, kami telah memaklumkan tentang alat-alat ganti yang kami perlukan dan kami sedang menunggunya,” kata beliau.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Beliau juga enggan mendedahkan bilangan pesawat FA-50 yang masih aktif dan beroperasi di atas sebab-sebab keselamatan.
“Sudah tentu, pesawat-pesawat yang beroperasi adalah lebih daripada tiga buah,” kata beliau.
Kesemua 12 buah pesawat FA-50 milik Tentera Udara Filipina diperolehi ketika pemerintahan bekas Presiden Benigno Aquino, dengan penghantaran dilakukan diantara 2015 hingga 2017.
Filipina memperolehi pesawat itu untuk tujuan latihan juruterbang-juruterbang baru serta peralihan kepada pesawat yang lebih laju seperti pesawat pejuang pelbagai guna seperti F-16. – – DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments are closed.