Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Eurofighter Typhoon Dinaiktaraf Menerusi Program LTE TMP, Pastikan Terus Beroperasi 2060-an

Program Long Term Evolution (LTE) Technology Maturation Phase (TMP) itu akan meningkatkan kapasiti sistem persenjataan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon melalui pembangunan kokpit baru, sistem pengkomputeran misi, sistem pengkomputeran kawalan penerbangan, peralatan komunikasi dan kawalan sistem persenjataan.

0 698
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Teknologi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon akan dinaiktaraf menerusi perlaksanaan program “Long Term Evolution (LTE) Technology Maturation Phase (TMP)” bagi memastikan pesawat pejuang yang dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah itu mampu berkhidmat sehingga tahun 2060-an.
Kontrak bagi program LTE TMP itu telah pun ditandatangani baru-baru ini selepas mendapat kelulusan daripada Parlimen Jerman, sekaligus menandakan permulaan pada usaha-usaha memastikan Eurofighter Typhoon dilengkapi dengan teknologi terkini.
Program LTE TMP itu akan meningkatkan kapasiti sistem persenjataan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon melalui pembangunan kokpit baru, sistem pengkomputeran misi, sistem pengkomputeran kawalan penerbangan, peralatan komunikasi dan kawalan sistem persenjataan.
Kontrak bagi program LTE TMP itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter Giancarlo Mezzanatto dan Pengurus Besar NETMA (NATO Eurofighter and Tornado Management Agency) AVM Simon Ellard (bersara).
“Program LTE TMP akan menjadi usaha peningkatan teknologi pertengahan hayat yang utama bagi bagi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, membawa beberapa penambahbaikan besar kepada pesawat pejuang ini – terutamanya daripada segi senibina sistem avioniknya.”
“Kokpit pesawat pejuang dan Human-Machine Interface(HMI) akan mengalami evolusi, serta keupayaannya untuk mengendalikan sejumlah besar data akan diperluaskan dan diproses dengan lebih pantas.”
Typhoon
Eurofighter Typhoon.
“Penandatanganan kontrak LTE TMP menunjukkan komitmen kami terhadap pelanggan untuk memastikan keberkesanan pesawat pejuang dan program Eurofighter berterusan untuk tahun-tahun mendatang.”
“Ia juga akan memenuhi keperluan Tentera Udara kami yang sentiasa berkembang,” kata Mezzanatto.
Perjanjian Program LTE TMP merupakan asas yang penting untuk memastikan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kekal beroperasi dengan berkesan sehingga tahun 2060.
Program LTE akan menjadi komponen teras bagi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dalam peranannya sebagai jambatan kepada pesawat pejuang generasi ke-enam.
Sementara itu AVM Ellard berkata bahawa program LTE TMP  itu akan meningkatkan lagi keupayaan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dengan ketara.
Menurutnya,  penambahbaikan yang diperkenalkan terhadap pesawat pejuang itu akan memastikan Eurofighter Typhoon kekal di barisan hadapan inovasi, memberikan keunggulan teknologi dan prestasi canggih kepada pengguna-pengguna pesawat pejuang itu.
Pemeteraian kontrak program LTE TMP itu menyusul pengumuman awal tahun ini mengenai pakej Phase 4 Enhancement (P4E) SD (System Definition).
Typhoon
Eurofighter Typhoon
Pakej Phase 4 Enhancement (P4E) SD (System Definition) untuk Eurofighter Typhoon bertujuan meningkatkan keupayaan operasi pesawat terbabit serta memanjangkan lagi jangka hayat perkhidmatannya.
Antara perkembangan utama pakej menaiktaraf itu termasuk:
Pengurusan Sensor Automatik: Ciri ini mengoptimumkan penggunaan semua radar Eurofighter Typhoon, terutamanya radar Active Electronically Scanned Array (AESA), bagi membolehkan pesawat pejuang itu melaksanakan pelbagai tugas secara serentak sambil mengurangkan beban kerja juruterbang.
Peningkatan Cockpit Interface: Penambahbaikan pada Human Machine Interface (HMI) untuk memberikan kawalan yang lebih intuitif kepada juruterbang dan meningkatkan kesedaran situasi (situational awareness), sekali gus meningkatkan keberkesanan keseluruhan misi.
Sehingga Disember 2024, kira-kira 608 pesawat pejuang Eurofighter Typhoon telah dihantar kepada pelbagai tentera udara di seluruh dunia.
United Kingdom merupakan pengendali terbesar pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, dengan 137 pesawat pejuang itu beroperasi dalam Tentera Udara Diraja (RAF). — DSA

Leave A Reply

Your email address will not be published.