Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Pembuat Dron Israel Kecewa Keputusan Kerajaan Negara Itu

Syarikat-syarikat pembuat dron Israel kecewa kerana larangan eksport dron bersenjata oleh kerajaan mereka telah menyebabkan mereka kehilangan pasaran kepada pesaing terutamanya syarikat-syarikat daripada Turkiye dan China.

0 5,830

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan  kerajaan Israel melarang penjualan pesawat tanpa pemandu lengkap bersenjata termasuk peluru berpandu yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat pertahanan negara itu ternyata telah mengecewakan mereka, yang menyatakan keputusan itu menyebabkan mereka “kehilangan” pasaran kepada pesaing mereka terutama Turkiye dan China. 

Pada ketika ini, syarikat-syarikat pertahanan Israel seperti Israel Aerospace Industries (IAI) dan Elbit System hanya dibenarkan mengeksport dron-dron mereka untuk tujuan Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) dan bukan untuk tujuan serangan. 

Walaupun dron-dron itu boleh dilengkapkan dengan dengan pelbagai sistem persenjataan terutamanya peluru berpandu anti-kereta kebal, namun kerajaan Israel hanya membenarkan penjualan dron untuk tujuan perisikan kepada pelanggan luar negaranya. 

Hermes
Dron Hermes 900 buatan syarikat Elbit Systems daripada Israel.

 

Sebarang penjualan dron bersama-sama sistem persenjataan adalah tidak dibenarkan oleh Tel Aviv. 

Dron-dron buatan syarikat Israel amat popular di Asia Tenggara dengan beberapa angkatan tentera di rantau ini menggunakannya seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Jikalau larangan eksport dron-dron bersenjata Israel itu ditarik balik oleh kerajaan negara itu, sudah semestinya beberapa pelanggannya di rantau Asia Tenggara berkemungkinan besar juga akan melengkapkan dron-dron keluaran Israel milik mereka dengan sistem persenjataan termasuk peluru berpandu.

Hermes 900
Dron Hermes 900 yang dibangunkan oleh syarikat Elbit Systems daripada Israel dan kini digunakan oleh beberapa negara Asia Tenggara.

 

Antara dron-dron buatan syarikat Israel digunakan oleh negara-negara Asia Tenggara termasuklah Hermes, Heron dan Searcher.

Syarikat-syarikat pertahanan Israel itu kecewa kerana larangan oleh kerajaan negara telah dieksploitasi oleh syarikat Turki seperti Baykar Technology yang berjaya menguasai pasaran dron-dron bersenjata antarabangsa menerusi produk-produk mereka seperti Bayraktar TB2 dan Akinci. 

Menurut portal pertahanan antarabangsa, Breaking Defense, buat masa ini kerajaan Israel masih mengekalkan larangan eskport bagi dron-dron bersenjata. 

Hanya dron ISR dibenarkan buat masa ini. 

Syarikat-syarikat pertahanan Israel kecewa kerana mereka diminta oleh tentera negara itu supaya membangunkan dron-dron yang boleh terbang lebih jauh, lebih laju dan “lebih berbahaya”, tetapi dilarang mengeksport dron bersenjata kepada pelanggan luar yang sudah semestinya akan membawa pulangan yang lebih lumayan untuk perniagaan syarikat.

Menurut portal pertahanan itu, antara negara luar yang amat berminat untuk memperolehi dron bersenjata Israel adalah Azerbaijan, yang merupakan antara negara pengguna tegar sistem persenjataan buatan syarikat pertahanan Israel.

Bayraktar TB2
Bayraktar TB2

 

Azerbaijan banyak menggunakan sistem persenjataan buatan Israel dalam konflik di Nagorno-Karabakh.

Selain dron dan sistem persenjataan lain buatan Israel, Azerbaijan juga menggunakan dron Bayraktar TB2 ketika konflik di wilayah bergolak itu.

Azerbaijan dikatakan telah meminta kebenaran untuk melengkapkan dron-dron buatan Israel miliknya dengan sistem persenjataan, tetapi permintaannya ditolak oleh pihak Tel Aviv. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

 

 

Comments
Loading...