Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dron Buatan China Dilabel “Murah Tetapi Tidak Berkesan”, Betul Ke?

Dron-dron keluaran China dikatakan boleh diperolehi dengan harga yang amat kompetitif berbanding pesaingnya yang dikeluarkan oleh negara-negara Barat. Walaupun boleh dibeli dengan harga yang kompetitif, tetapi dron-dron China didakwa berhadapan dengan pelbagai masalah daripada tidak berkesan di medan peperangan kepada sukar diselenggara.

0 1,677

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha China untuk muncul sebagai antara negara pengeksport senjata utama dunia termasuk dron setanding dengan Amerika Syarikat dan Russia berhadapan dengan masalah imej, apabila satu demi satu negara pengguna dron kombat CH-4 keluarannya mengambil keputusan untuk menghentikan penggunaan pesawat tanpa pemandu itu, walaupun mereka baru sahaja membelanjakan ratusan juta Dollar untuk memilikinya.

Tindakan negara-negara terbabit menghentikan penggunaan dron kombat keluaran China itu telah menjejaskan imej Beijing sebagai negara pengeluar senjata utama dunia, menimbulkan persoalan sama ada produk-produk pertahanan keluaran negara itu reliable di medan peperangan.

Menurut laporan-laporan media,  antara pelanggan dron keluaran China adalah Jordan yang telah bertindak untuk menjual semula Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) CH-4B keluaran China walaupun negara Timur Tengah itu baru sahaja membelinya kira-kira dua tahun lepas.

CH-4
CH-4 keluaran China

 

Puncanya adalah kerana “Jordan tidak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dron terbabit” dan mahu menghentikan penggunaannya serta menjualnya, menurut tentera Jordan kepada portal berita pertahanan antarabangsa, Shepard Media.

Tindakan Amman itu telah menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pesawat-pesawat tanpa pemandu yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat daripada China.

Dron kombat CH-4B itu telah dibangunkan oleh China Academy of Aerospace Aerodynamics, sebuah entiti yang bernaung dibawah China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC).

CH-4
Dron China yang berjaya ditembak jatuh di Libya.

 

Ia mampu membawa peluru berpandu “Blue Arrow 7” , TG100/INS/GPS-bom panduan dan AR-1/HJ-10 peluru berpandu anti-kereta kebal.

Pihak tentera Jordan dikatakan membeli sehingga enam buah dron kombat CH-4, yang rekabentuknya adalah hampir sama dengan dron Predator buatan Amerika Syarikat.

CASC dikatakan meniru rekabentuk dron Predator buatan Amerika Syarikat, dengan beberapa negara di Timur Tengah juga menjadi pembeli dron itu selepas mereka gagal memperolehi dron buatan Uncle Sam itu akibat perjanjian Missile Technology Control Regime (MTCR).

Tidak lama sebelum itu, sebuah lagi negara Timur Tengah iaitu Iraq juga mengadu ia berhadapan dengan masalah untuk menyelenggara dron CH-4 buatan China.

CH-4
Dron China yang terhempas di Nigeria.

 

Laporan media antarabangsa mendakwa Iraq telah membeli 10 buah dron kombat CH-4 itu daripada China tetapi negara antara pengeluar terbesar minyak dunia itu hanya mampu menerbangkan hanya satu daripada 10 dron terbabit disebabkan masalah penyelenggaraan yang kritikal.

Pada 2012, Algeria juga membeli beberapa buah dron kombat daripada China itu tetapi beberapa buah daripadanya didakwa telah terhempas disebabkan masalah kawalan yang dialaminya.

Insiden terbaru berlaku di Pangkalan Udara Bir Raqqa, timur Algeria pada tahun lepas dimana sebuah dron CH-4 telah terhempas.

Dron-dron keluaran China juga didakwa terhempas akibat masalah teknikal di Pakistan dan Nigeria, manakala dron CH-4 yang digunakan oleh UAE di Libya juga telah berjaya ditembak jatuh oleh pasukan tentera Government of National Accord (GNA).

CH-4
Bangkai dron CH-4 yang mengakibatkan tiga orang kehlilangan nyawa di Yaman.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Beijing telah menjual dron-dronnya kepada beberapa buah negara termasuk Nigeria, Jordan, Zambia, Iraq, Arab Saudi, Ethiopia, Turkmenistan, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan dan Myanmar.

Terbaru adalah kejadian di Sanaa, Yaman dimana, tiga orang maut selepas “dihempap” sebuah pesawat tanpa pemandu (UAV) CH-4 buatan China milik tentera Arab Saudi yang ditembak jatuh oleh puak pemberontak, Houthi.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu yang dipetik oleh agensi berita negara itu berkata, ketiga-tiga penduduk itu maut apabila bangkai dron yang ditembak itu telah jatuh disebuah kawasan komersial di ibu negara itu.

Tiga lagi penduduk lain cedera terkena serpihan pesawat tanpa pemandu terbabit dalam kejadian malang itu. — DSA

 

Comments
Loading...