Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Buat Pertama Kali, Russia Keluarkan Gambar Pantsir-SM-SV Versi Chassis Berantai di Medan Operasi

Pembangunan sistem Pantsir-SM-SV menggunakan kenderaan casis berantai (tracked chassis) itu bermula pada era 2020-an, selepas versi Pantsir-SM menggunakan kenderaan beroda tidak lagi menjadi keutamaan dalam perancangan ketenteraan pihak Russia.

0 8,899
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Buat pertama kalinya, pihak Russia telah mengeluarkan gambar sistem pertahanan udara Pantsir-SM-SV menggunakan kenderaan casis berantai (tracked chassis) yang sebelum ini hanya dipertontonkan kepada umum melalui pameran dan perarakan ketenteraan.
Pembangunan sistem Pantsir-SM-SV menggunakan kenderaan casis berantai itu bermula pada era 2020-an, selepas versi Pantsir-SM menggunakan kenderaan beroda tidak lagi menjadi keutamaan dalam perancangan ketenteraan pihak Russia.
Sistem pertahanan udara Pantsir-SM-SV itu dibangunkan oleh syarikat Russia, Mytishchi Machine-Building Plants.
Keputusan itu dibuat susulan beberapa kelemahan utama pada casis beroda KamAZ yang digunakan sebelum ini, termasuk pusat graviti yang tinggi sehingga berisiko terbalik ketika mengambil selekoh, serta keupayaan mobiliti lasak yang rendah sehingga menyukarkan ia untuk bergerak seiring dengan aset berperisai di kawasan jalanraya tidak berturap.
“Direka khusus untuk melindungi pasukan darat Russia, sistem ini menampilkan kelebihan utama melalui casis berantai, yang membolehkannya bergerak seiring dengan sistem pertahanan udara lain walaupun di kawasan sukar dan bersalji tebal.”
“Ciri ini memberikan fleksibiliti operasi yang tinggi di medan perang, memastikan perlindungan udara berterusan kepada pasukan darat, termasuk dalam keadaan persekitaran yang ekstrem.”
Sistem Pantsir-SM-SV ini merupakan versi yang lebih sesuai untuk menyokong operasi medan tempur hadapan, khususnya dalam persekitaran taktikal yang memerlukan pergerakan bersama kenderaan berperisai tempur lain seperti kereta kebal dan kenderaan berperisai pembawa anggota.
Pantsir-SM-SV
Pantsir-SM-SV
Ia sekaligus memperkukuh perlindungan udara terhadap ancaman daripada dron berani mati, FPV, peluru berpandu kruis serta serangan udara jarak dekat.
Pendedahan gambar terkini sistem pertahanan udara Pantsir-SM-SV menggunakan kenderaan casis berantai ini menandakan satu lagi kemajuan dalam usaha Russia mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara mobil yang lebih fleksibel dan bersepadu dengan operasi kombatan darat.
Versi sistem Pantsir-SM-SV terkini dilengkapi dengan keupayaan yang jauh lebih canggih berbanding versi terdahulu.
Sistem Pantsir-SM menonjol berbanding sistem pertahanan udara lain dalam kelasnya apabila ia dilengkapi dengan sistem radar baru berteknologi Active Electronically Scanned Array (AESA) yang bersepadu.
Dengan penggunaan teknologi radar terkini itu, keupayaan versi sistem Pantsir-SM-SV untuk mengesan dan menjejak sasaran telah meningkat dengan ketara, sekaligus memperkukuh prestasinya dalam menghadapi pelbagai ancaman udara moden seperti dron, peluru berpandu jelajah dan pesawat berkelajuan tinggi.
Kini Pantsir-SM-SV mampu mengesan sasaran melalui radar sejauh 75 kilometer, dengan jangkauan maksimum peluru berpandu sehingga 40 kilometer.
Pantsir-SM-SV
Pantsir-SM-SV
Teknologi radar berasaskan AESA juga mampu mengesan sasaran yang mempunyai keratan rentas radar (Radar Cross Section, RCS) sebesar 1 meter persegi pada jarak kira-kira 60 kilometer.
Sistem ini turut berupaya memintas sasaran udara yang terbang sepantas 2 kilometer sesaat (bersamaan Mach 6) dan mempunyai keupayaan untuk memusnahkan peluru berpandu balistik.
Sebagai perbandingan, versi sistem Pantsir-S1 sebelum ini hanya mempunyai jarak pengesanan radar sejauh 36 kilometer, jangkauan peluru berpandu maksimum 20 kilometer, dan keupayaan memintas sasaran udara pada kelajuan sehingga 1,000 meter sesaat (Mach 3).
Perbezaan ketara ini memperlihatkan peningkatan drastik dari segi keupayaan pertahanan udara jarak sederhana, menjadikan versi sistem pertahanan udara Pantsir-SM-SV terkini itu lebih sesuai digunakan dalam konflik moden yang melibatkan peluru berpandu berkelajuan tinggi dan ancaman udara canggih.
Jenis peluru berpandu yang digunakan dalam sistem Pantsir-SM-SV tidak didedahkan secara rasmi, namun ia dipercayai berkemungkinan menggunakan peluru berpandu 57EBM-E, yang masih kurang dikenali umum.
Peluru berpandu ini dijangka tidak dilengkapi dengan hulu ledak, sebaliknya direka untuk memusnahkan sasaran melalui pertembungan kinetik, satu teknologi yang dikenali sebagai “hit-to-kill”.
Pantsir-SM-SV
Pantsir-SM-SV
Pantsir-SM-SV
Pantsir-SM-SV
Kaedah ini membolehkan sasaran dimusnahkan secara tepat dengan daya hentaman berkelajuan tinggi, tanpa memerlukan letupan, sekali gus meningkatkan keberkesanan terhadap sasaran seperti peluru berpandu balistik atau dron berkelajuan tinggi.
Terdapat laporan bahawa tentera Russia telah mengoperasikan versi terkini sistem Pantsir-SM-SV di medan peperangan di wilayah Kursk.
Menurut sumber, sistem ini dikerahkan untuk melindungi pasukan darat Russia dan infrastruktur penting daripada serangan udara, termasuk serangan dron jarak jauh dari Ukraine.
Pendedahan foto pertama sistem ini dalam perkhidmatan operasi menunjukkan bahawa Pantsir-SM-SV ditempatkan dalam kedudukan statik dan dilindungi oleh gabion, yang menunjukkan peranannya dalam mempertahankan kawasan strategik di wilayah Kursk. ​
Pengoperasian sistem ini di wilayah Kursk mencerminkan usaha Rusia untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udaranya dalam menghadapi ancaman moden, termasuk serangan dron dan peluru berpandu dari Ukraine.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.