Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jaga-Jaga China! Filipina Mula Terima Peluru Berpandu BrahMos Bulan Depan

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu BrahMos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas, menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea (Laut Filipina Barat).

0 10,491

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina dilaporkan akan mula menerima sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai (coastal defence missile system)  “BrahMos” yang dibelinya daripada India dengan kos US$375 juta (RM1.5 bilion) pada bulan depan, Januari 2024.

Pada mulanya, jangkaannya adalah Manila akan mula menerima sistem peluru berpandu berkelajuan supersonik itu pada bulan Disember ini,namun pemerhati menyatakan penghantaran sistem itu terlewat beberapa minggu kepada Januari tahun depan.

“Penghantaran akan terlewat beberapa minggu kepada Januari 2024,” menurut laporan daripada Filipina.

Negara Asia Tenggara  itu menjadi negara pertama di luar India yang menggunakan sistem peluru berpandu terbabit yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu BrahMos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas, menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea (Laut Filipina Barat).

Dengan peluru berpandu BrahMos, kapal-kapal pengawal pantai China perlu “berfikir dua kali” sebelum menghampiri mana-mana pulau atau terumbu karang Filipina di dalam kawasan perairan ZEE Filipina.

BrahMos
“BrahMos”

 

Filipina menganugerahkan kontrak pembelian sistem peluru berpandu itu kepada syarikat  Brahmos Aerospace Private Ltd yang membangunkan sistem itu pada 31 Disember 2021.

“Laporan terkini mengenai penerimaan sistem peluru berpandu BrahMos oleh Manila pada pada bulan depan (Januari 2024) merupakan suatu igauan buruk terutamanya kapal-kapal milik China yang kerapkali menceroboh perairan Filipina,” menurut seorang pemerhati di Malaysia, yang turut berhadapan masalah pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China di perairan miliknya di Laut China Selatan, sebagaimana Filipina.

Beberapa hari lalu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menyatakan bahawa negara Asia Tenggara itu tidak akan tunduk kepada China di dalam isu Laut China Selatan.

“Kita akan terus mempertahankan hak kita, selaras dengan perlembagaan Filipina dan undang-undang antarabangsa,” menurut beliau,sambil menambah pertembungan dengan pihak asing baru-baru ini adalah demonstrasi keberanian Filipina menentang sebarang ugutan.

Ia juga menunjukkan ketegasan Filipina untuk mempertahankan, melindungi dan menegakkan kedaulatan wilayahnya.

BrahMos
BrahMos

 

Kenyataan tegas Presiden Filipina itu menyusuli amaran oleh Menteri Luar China Wang Yi bahawa sebarang pertimbangan yang salah di dalam isu Laut China Selatan melibatkan kedua-dua negara akan menerima tindakan yang tegas daripada Beijing.

“Jika Filipina membuat pertimbangan yang salah atau bersubahat dengan pihak-pihak luar tidak ‘berniat baik’, China akan mempertahankan haknya dan memberikan respons yang tegas,” menurut Wang sebagaimana dipetik.

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Filipina dijangka memperolehi varian sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos” yang mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Peluru berpandu Brahmos itu membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai. 

BrahMos
Grafik lokasi berpotensi penempatan peluru berpandu BrahMos. (kredit kepada pemilik)

 

Dimanakah Filipina akan menempatkan sistem peluru berpandu itu?

Laporan daripada Filipina sebelum ini menyatakan bahawa antara lokasi penempatan sistem peluru berpandu BrahMos yang sedang dipertimbangkan oleh Filipina adalah di Basco di Pulau Batan di Bashi Channel, San Felipe di Zambales,  Culion dan Tagbita di Pulau Palawan.

Dengan radius operasi peluru berpandu BrahMos yang bakal dimiliki oleh Filipina adalah sejauh 300km dan jika benar sistem peluru berpandu itu diletakkan di Tagbita di Pulau Palawan, maka ia akan meletakkan salah satu pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly iaitu Mischief Reef dalam kawasan sasarannya peluru berpandu itu.

China telah menambak Mischief Reef, yang asalnya adalah terumbu karang dan menjadikannya sebuah pulau buatan manusia.

Selain Subi Reef dan Fiery Cross,  Mischief Reef adalah pangkalan tentera utama China di Kepulauan Spratly.  — DSA  

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...