Boeing Dianugerah Kontrak Naiktaraf F-15 Jepun Kepada Varian “Super Interceptor”
Di bawah kontrak ini, sekitar 70 daripada lebih 200 pesawat F-15 milik Jepun akan dinaik taraf sebagai sebahagian daripada keperluan Program Super Interceptor.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Boeing telah dianugerahkan kontrak bernilai $450.5 juta (RM2 billion) oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) untuk menyokong Program F-15 Super Interceptor milik Pasukan Pertahanan Udara Jepun (JASDF) atau Tentera Udara Jepun.
Di bawah kontrak ini, sekitar 70 daripada lebih 200 pesawat F-15 milik Jepun akan dinaik taraf sebagai sebahagian daripada keperluan Program Super Interceptor.
Melalui kontrak yang dikendalikan menerusi program Foreign Military Sales (FMS), Boeing akan memperoleh sistem-sistem yang diperlukan untuk menaik taraf armada pesawat pejuang F-15J milik Pasukan Pertahanan Udara Jepun (JASDF).
Komponen utama yang terlibat termasuk radar Raytheon APG-82(v)1 Active Electronically Scanned Array (AESA), Advanced Display Core Processor II (ADCP II) daripada Boeing, dan Sistem AN/ALQ-250 Eagle Passive Warning Survivability System (EPAWSS) keluaran BAE Systems.
Program ini akan memberikan pesawat era 1980-an tersebut kemampuan yang hampir setara dengan versi terkini F-15, iaitu F-15EX Strike Eagle II.
Kerja-kerja untuk program ini akan dijalankan di St. Louis, Missouri, dan dijangka siap pada Februari 2030.
Peningkatan ini akan memperkukuhkan kemampuan operasi dan kesedaran situasi armada pertahanan udara Jepun secara signifikan.
Selain itu, varian Japan Super Interceptor juga akan mampu melancarkan peluru berpandu Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM) keluaran Lockheed Martin.
Dengan jarak tempur sehingga 575 batu (925 kilometer), pesawat pejuang dilengkapi dengan peluru berpandu JASSM-ER ini mampu memberikan ancaman kepada kapal perang China di seluruh wilayah Pasifik Barat.
Peluru berpandu udara ke darat ini akan melengkapkan 400 peluru berpandu kruis Tomahawk anti-kapal dan serangan darat yang dibeli Jepun daripada Amerika Syarikat pada Januari lalu.
