Risiko Konflik Indo-Pasifik, Amerika Lengkapi F-16 Dengan Peluru Berpandu Anti-Kapal Jarak Jauh LRASM
Tentera Laut Amerika Syarikat dilaporkan akan memulakan usaha mengintegrasi varian peluru berpandu anti-kapal jarak jauh dipanggil AGM-158C Long-Range Anti-Ship Missile (LRASM) kepada pesawat-pesawat pejuang F-16 Viper.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Amerika Syarikat akan mula mengintegrasi peluru berpandu anti-kapal jarak jauh dengan pesawat-pesawat pejuang F-16 bertujuan meningkatkan lagi kemampuannya untuk melancarkan serangan lebih berkesan terhadap sasaran-sasaran maritim sekiranya berlaku konflik ketenteraan dengan China meletus di Indo-Pasifik.
Memetik notis kontrak yang dinyatakan oleh US Naval Air Systems Command (NAVAIR), Tentera Laut Amerika Syarikat dilaporkan akan memulakan usaha mengintegrasi varian peluru berpandu anti-kapal jarak jauh dipanggil AGM-158C Long-Range Anti-Ship Missile (LRASM) kepada pesawat-pesawat pejuang F-16 Viper.
Integrasi peluru berpandu anti-kapal jarak jauh LRASM dengan pesawat pejuang F-16 itu akan meningkatkan keupayaan Tentera Amerika Syarikat dalam misi serangan terhadap sasaran maritim daripada kedudukan yang lebih jauh.
Menurut laporan Pentagon mengenai pembangunan ketenteraan dan keselamatan China yang diterbitkan pada Disember tahun lalu, Tentera Laut China (People’s Liberation Army Navy, PLAN) kini memiliki lebih 370 kapal dan kapal selam dalam armada tempurnya, termasuk lebih 140 kapal tempur utama.
LRASM direka sebagai peluru berpandu anti-kapal generasi baru bagi menggantikan peluru berpandu Harpoon, yang sudah digunakan sejak 1970-an.
AGM-158C Long-Range Anti-Ship Missile merupakan peluru berpandu anti-kapal moden dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin untuk meningkatkan keupayaan serangan maritim Tentera Laut dan Tentera Udara Amerika Syarikat.
Antara kelebihan utamanya adalah keupayaan serangan jarak jauh memandangkan LRASM mempunyai jarak operasi melebihi 370 km (anggaran berdasarkan spesifikasi rasmi).

Ini membolehkan pesawat pengebom, pesawat pejuang atau kapal permukaan melancarkannya dari jarak selamat tanpa memasuki zon pertahanan udara musuh.
Direka dengan keupayaan rendah pengesanan radar (stealth), LRASM mampu mengurangkan jejak radar, sekali gus menyukarkan pengesanan oleh sistem pemantauan kapal musuh.
Selain itu, peluru berpandu ini turut dilengkapi dengan sistem perlindungan terhadap gangguan elektronik (jamming) yang berkeupayaan tinggi, bagi memastikan fungsi navigasi dan sistem pandu arah tetap beroperasi secara optimum walaupun dalam persekitaran peperangan elektronik (EW) yang sengit.
LRASM dilengkapi dengan sistem penderiaan pelbagai mod (multi-modal seeker) yang membolehkannya mengesan dan mengenal pasti sasaran dengan ketepatan tinggi.
Antara teknologi utama yang menyokong keupayaan ini termasuk sistem penderiaan inframerah (Infrared Seeker), yang membolehkan peluru berpandu mengenal pasti sasaran dengan lebih jelas, terutama dalam keadaan jarak jauh atau cuaca buruk.
Selain itu, peluru berpandu ini turut menggunakan GPS dan Data-Link bagi memastikan kemaskini lokasi sasaran dilakukan secara berterusan, sekaligus membolehkan LRASM menyesuaikan laluan serangan secara dinamik, selaras dengan perubahan situasi di medan perang.

Lebih canggih lagi, peluru berpandu ini dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengecaman sasaran autonomi (Autonomous Target Recognition, ATR), yang membolehkan ia mengenal pasti serta menyerang sasaran utama secara autonomi.
Ini menjadikannya berkesan dalam persekitaran operasi yang kompleks, termasuk ketika berhadapan dengan kehadiran pelbagai kapal musuh dalam satu kawasan serangan.
LRASM direka untuk memusnahkan kapal perang bersaiz besar seperti kapal pemusnah (destroyer) dan kapal penjelajah (cruiser) dengan keberkesanan tinggi.
Peluru berpandu anti-kapal jarak jauh itu dilengkapi dengan hulu ledak letupan tinggi (High-Explosive Penetrator Warhead) yang mampu menembusi struktur kapal sebelum meletup, meningkatkan tahap kerosakan ke atas sasaran.
Selain dintegrasikan dengan pesawat pejuang F-16, peluru berpandu anti-kapal LRASM juga boleh dilancarkan oleh pesawat pejuang F/A-18 Super Hornet dan F-35 Lightning II, pesawat pengebom B-1B Lancer dan kapal perang menggunakan sistem pelancar vertikal Mk 41 VLS (Vertical Launch System).

