Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bayraktar TB2 Merupakan Dron Paling Banyak Dieksport di Dunia Tahun Ini

Selain Bayraktar TB2, dron-dron keluaran Turkiye seperti Akinci yang turut dibangunkan oleh syarikat Baykar dan ANKA buatan Turkish Aerospace Industries (TUSAS) turut muncul sebagai antara dron-dron yang paling banyak dieksport pada tahun ini, sebagaimana disenaraikan oleh Clash Report.

2,471
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dron Bayraktar TB2 keluaran syarikat Turkiye, Baykar merupakan dron yang paling banyak dieksport di dunia pada tahun ini, meninggalkan jauh pesaing-pesaingnya daripada Israel, Amerika Syarikat serta negara-negara lain.
Selain Bayraktar TB2, dron-dron keluaran Turkiye seperti Akinci yang turut dibangunkan oleh syarikat Baykar dan ANKA buatan Turkish Aerospace Industries (TUSAS) turut muncul sebagai antara dron-dron yang paling banyak dieksport pada tahun ini, sebagaimana disenaraikan oleh Clash Report.
Baykar, yang merupakan pengeksport utama dalam sektor pertahanan dan aeroangkasa Türkiye selama tiga tahun berturut-turut, telah berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 pengeksport teratas Turkiye dalam semua sektor pada tahun 2023.
Pencapaian itu mencatat sejarah sebagai kali pertama sebuah syarikat dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa tersenarai dalam kelompok sepuluh pengeksport terbaik di Türkiye.
Pada tahun lepas, Baykar berjaya mencatat eksport berjumlah US$1.8 billion.
Bayraktar TB2 ialah dron pengintipan dan serangan jarak sederhana dengan lebar sayap sepanjang 12 meter dan dilengkapi dengan sistem avionik moden serta berkemampuan membawa empat butir peluru berpandu.
Bayraktar
(credit Baykar)
Bayraktar
Dron Bayraktar TB2 dianggap sebagai pilihan yang menjimatkan kos dan telah digunakan dalam konflik di Libya, Syria, dan Nagorno-Karabakh serta Ukraine.
Menurut senarai yang dikeluarkan oleh laman Clash Report, sebanyak 34 buah dron Bayraktar TB2 keluaran syarikat pembuat dron terkenal Turkiye itu, Baykar itu telah dieksport pada tahun ini, meninggalkan dron-dron keluaran Israel.
Dron Heron keluaran syarikat pertahanan Israel Aerospace Industries (IAI) berada di tangga kedua di belakang Bayraktar TB2 dengn sebanyak kira-kira 14 buah dron itu dieksport diikuti oleh sebuah lagi dron Israel, Hermes 450 berada di tangga ketiga dengan sebanyak 12 buah dieksport ke seluruh dunia.
Ditangga keempat, dron Hermes 900 dengan sebanyak 11 buah dron dieskport ke seluruh dunia pada tahun ini.
Dron-dron Hermes 450 dan Hermes 900 itu dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems yang turut popular di Asia Tenggara dengan Filipina, Singapura serta Thailand turut menggunakannya.
Sebuah lagi dron keluaran syarikat Baykar iaitu Akinci berada di tangga kelima dengan sebanyak 10 buah dron itu dieksport ke pelbagai negara di seluruh dunia dan diikuti oleh MQ-9 Reaper buatan syarikat Amerika Syarikat, General Atomics di tangga keenam.
Heron
Dron Heron buatan Israel
Hermes 900
Hermes 900
Pada tahun ini, sebanyak tujuh buah dron MQ-9 Reaper dieksport ke seluruh dunia.
Pada tangga ke-tujuh pula, dron ANKA keluaran TUSAS daripada Turkiye turut menyertai senarai dengan enam buah dron MALE (Medium Altitude Long Endurance) itu dieksport ke pelbagai negara di seluruh dunia.
Dron ANKA itu turut menjadi pilihan Malaysia, yang bakal menerima dron ANKA yang pertama daripada tiga dipesannya bermula daripada tahun depan bagi membolehkan ia beroperasi di Labuan untuk menjadi “mata dan telinga” negara tentang apa-apa yang berlaku di Laut China Selatan.
Indonesia turut memilih dron ANKA untuk angkatan tenteranya, menyertai Malaysia sebagai negara-negara Asia Tenggara yang mengoperasikan dron keluaran syarikat TUSAS itu.
Anka
“Anka-S”
Ditangga ke-sembilan dan ke-10 pula dihuni oleh dron-dron keluaran China iaitu, Wing Loong-1 dan Wing Loong-2 yang dibangunkan oleh syarikat Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG).
Menurut Clash Report, sebanyak enam buah dron Wing Loong-1 dieksport pada tahun ini manakala bagi bagi Wing Loong-2 pula, sebanyak lima buah dron buatan China itu dieksport ke pelbagai negara pada tahun ini. – DSA

Comments are closed.