Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bangladesh Bakal Ikut Jejak Langkah Pakistan Peroleh “Pembunuh Rafale” J-10C Untuk Tentera Udaranya ??

Menurut laporan media baru-baru ini, Bangladesh dikatakan bakal mengikut jejak langkah Pakistan untuk menjadi negara kedua di Asia Selatan memperolehi pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG) untuk tentera udaranya, suatu perkembangan yang bakal menggusarkan India.

0 7,561
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas melihat prestasi terkini pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan dalam konflik negara itu dengan India baru-baru ini, ia berkemungkinan besar akan mendorong Bangladesh mempercepatkan lagi keputusannya untuk memiliki pesawat pejuang buatan China yang kini menerima gelaran “pembunuh Rafale”.
Menurut laporan media baru-baru ini, Bangladesh dikatakan bakal mengikut jejak langkah Pakistan untuk menjadi negara kedua di Asia Selatan memperolehi pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG) untuk tentera udaranya, suatu perkembangan yang bakal menggusarkan India.
Ia selepas Dhaka dilaporkan telah memulakan rundingan dengan Beijing untuk memperolehi pesawat pejuang generasi  J-10C, yang sedang hangat di pasaran ketika ini berikutan dakwaan kejayaan pesawat pejuang itu yang dioperasikan oleh Pakistan dalam menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India.
Sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan negara itu baru-baru ini, Tentera Udara Bangladesh dilaporkan amat berminat untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang J-10C itu pada fasa pertama untuk menggantikan pesawat pejuang sedia adanya yang sudah berusia.
Panglima Tentera Udara Bangladesh Marshal Udara Hasan Mahmud Khan dilaporkan berkata bahawa negara itu perlu meningkatkan kemampuan tentera udaranya.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memperoleh pesawat pejuang pejuang dan helikopter penyerang,” menurut beliau, sebagaimana dipetik oleh media tempatan tentang minat Tentera Udara Bangladesh untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C.
Dhaka dilaporkan berminat untuk memeterai perjanjian perolehan dengan Beijing bagi membolehkannya memperolehi 16 buat pesawat pejuang J-10C  pada fasa pertama, dengan perolehan susulan pesawat pejuang generasi 4.5 itu akan dibuat pada peringkat seterusnya.
J-10C
J-10C Pakistan
Dengan perkembangan terkini membabitkan prestasi “mengagumkan” pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan terutamanya membabitkan penembakan jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale India, maka jangkaannya adalah Bangladesh bakal mengikuti jejak langkah Pakistan dalam memperolehi pesawat pejuang J-10C “Vigourous Dragon”.
India sehingga kini masih tidak mengakui bahawa tentera udaranya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, J-10C dalam konflik dengan Pakistan baru-baru ini. Dua lagi pesawat pejuang India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan adalah MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKI.
Nampaknya selepas ini, Tentera Udara India bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan pesawat pejuang J-10C milik Pakistan, tetapi terdapat kemungkinan ia juga bakal berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Bangladesh, sekiranya laporan media tempatan boleh dipercayai.
Dengan hubungan di antara India dan Bangladesh “tidak mesra” selepas bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina melarikan diri ke India dan kini hidup dalam buangan di negara jirannya itu, kehadiran J-10C dalam Tentera Udara Bangladesh sudah semestinya akan meningkatkan lagi ketegangan di antara dua negara berjiran itu.
Pada Ogos lepas, laporan media menyatakan bahawa China menawarkan pesawat pejuang J-10C kepada Bangladesh untuk menggantikan pesawat pejuang berusia F-7 miliknya yang turut dibekalkan oleh China.
Pada 2022, Pakistan mengesahkan bahawa ia telah memperolehi 25 buah pesawat pejuang J-10C dibangunkan oleh oleh Chengdu Aircraft Corporation, bagi bersaing dengan perolehan 36 buah pesawat pejuang Rafale oleh jirannya, India.
J-10C
J-10C
Selain Pakistan, Mesir juga dilapor telah memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab.
Pesawat pejuang J-10C dikatakan mahu dimiliki oleh Tentera Udara Mesir itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.
Selain itu, Azerbaijan juga dilaporkan telah menunjukkan minatnya terhadap pesawat pejuang J-10C, dengan Panglima Tentera Udaranya telah melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang itu ketika pameran Airshow China di Zhuhai tahun lepas.
Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.
Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.
Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.
J-10C
J-10C “Vigorous Dragon”
Pemerhati pertahanan antarabangsa mengatakan bahawa pesawat J-10 buatan China tidak jauh bezanya daripada pesawat F-16 Amerika Syarikat tetapi menampilkan DNA daripada program pesawat Lavi yang kemudiannya dibatalkan oleh Israel.
Pakistan memperolehi varian terkini pesawat J-10 iaitu versi “C” kerana ia dilengkapi dengan sistem terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.
Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.”
Pesawat J-10C itu juga dikatakan menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan. 
Pemilikan J-10C oleh Bangladesh dijangka akan mengubah keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan, sekali gus memperkukuh kedudukan strategik Dhaka dalam menghadapi sebarang potensi ancaman dari negara-negara jiran seperti India dan Myanmar serta kuasa-kuasa luar.
J-10
 J-10C
Kehadiran pesawat generasi 4.5++ itu akan berfungsi sebagai pemangkin kepada strategi pencegahan atau deterrence, dengan memberikan Bangladesh keupayaan untuk memberi tindak balas pantas dan efektif sekiranya berlaku pencerobohan ruang udara atau ketegangan ketenteraan.
Di samping itu, keupayaan J-10C untuk beroperasi dalam misi kawalan ruang udara dan serangan jarak jauh akan meningkatkan tahap keyakinan Bangladesh dalam melaksanakan konsep A2/AD (Anti-Access/Area Denial), khususnya dalam melindungi kepentingan nasional dan hak maritim di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Teluk Bengal yang semakin strategik dari segi geoekonomi dan geopolitik.
Bangladesh telah lama menjadi pengguna aktif pelbagai sistem persenjataan dari China termasuk kereta kebal utama MBT-2000, peluru berpandu anti-kapal C-802A, serta sistem pertahanan udara FM-90, yang membentuk tulang belakang kekuatan taktikal dan strategik Angkatan Tentera Bangladesh.
Dalam konteks ini, perolehan J-10C akan memperkukuh lagi keserasian antara sistem, memudahkan integrasi operasi dan logistik, serta mempercepatkan adaptasi doktrin pertempuran berdasarkan pengalaman sedia ada dengan aset buatan China.
Keupayaan interoperabiliti ini bukan sahaja mengurangkan kos latihan dan penyelenggaraan, malah membolehkan Bangladesh membina satu ekosistem ketenteraan yang lebih mantap, tersusun, dan konsisten dari segi taktikal, teknikal, dan strategik.
— DEFENCE SECURITY ASIA
 
Leave A Reply

Your email address will not be published.