Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Banderol”. Adakah Ia Peluru Berpandu Kruis Atau Dron Berani Mati Terbaru Russia ??

Menurut media pertahanan antarabangsa, peluru berpandu kruis misteri itu secara tidak rasmi dinamakan “Banderol”, namun rekabentuknya seakan-akan peluru berpandu kruis Russia Kh-101 dan juga AGM-158 Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM) buatan Amerika Syarikat.

0 4,323
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, ketika Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia Dmitry Medvedev melawat tapak ujian Kapustin Yar di wilayah Astrakhan, beliau telah dipertontonkan dengan sejenis peluru berpandu kruis misteri negara itu, yang sebelum ini tidak diketahui kewujudannya.
Menurut media pertahanan antarabangsa, peluru berpandu kruis misteri itu secara tidak rasmi dinamakan “Banderol”, namun rekabentuknya seakan-akan peluru berpandu kruis Russia Kh-101 dan juga AGM-158 Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM) buatan Amerika Syarikat.
Terdapat juga dakwaan menyatakan bahawa Banderol itu bukanlah peluru berpandu kruis tetapi ia merupakan sejenis dron berani mati bersaiz besar dengan kepala peledak melebihi 100 kilogram.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh saluran Telegram, Military Informat menunjukkan saiz peluru berpandu kruis misteri Russia itu adalah besar tetapi analisis lebih lanjut adalah sukar berikutan kekurangan maklumat.
Namun pemerhati pertahanan menyifatkan peluru berpandu kruis atau dron misteri Russia itu sebagai low-observable atau sukar dikesan oleh radar dengan rekabentuknya memiliki persamaan dengan satu lagi peluru berpandu kruis lancaran udara (Air Launched Cruise Missile) negara itu, Kh-101 serta JASSM buatan Amerika Syarikat.
Bahagian hadapan peluru berpandu kruis atau dron misteri Russia seakan-akan “mata pensil” itu telah menyebabkan pemerhati pertahanan menyamakan rekabentuknya dengan peluru berpandu kruis Amerika Syarikat, JASSM.
Peluru berpandu AGM-158 JASSM (Joint Air-to-Surface Standoff Missile) merupakan sistem senjata udara-ke-darat jarak jauh yang dibangunkan oleh Lockheed Martin bagi Tentera Udara Amerika Syarikat dan sekutunya.
Banderol
Dron Orion dipercayai membawa Banderol.
UAS-MALE
Dron Orion-E oleh Russia
Ia direka untuk menyerang sasaran bernilai tinggi dari jarak jauh tanpa mendedahkan pesawat pelancar kepada ancaman langsung daripada sistem pertahanan udara musuh.
Ia dilengkapi dengan hulu peledak seberat 450 kilogram jenis WDU-42/B yang berkeupayaan tinggi untuk menembusi sasaran keras seperti bunker dan struktur perlindungan.
Peluru berpandu ini menggunakan sistem panduan gabungan termasuk navigasi inersia (INS), GPS berketepatan tinggi, dan sensor inframerah terminal (IIR) dengan keupayaan pengecaman sasaran autonomi (ATR) bagi memastikan ketepatan maksimum semasa menyerang sasaran.
JASSM mampu terbang pada kelajuan subsonik sekitar Mach 0.8 dan digerakkan oleh enjin turbofan Williams F107-WR-105.
Versi asas JASSM mempunyai jarak operasi sehingga 370 kilometer, manakala varian JASSM-ER (Extended Range) mampu mencapai jarak sejauh 1,000 kilometer.
Varian lebih canggih, JASSM-XR (Extreme Range), yang kini dalam pembangunan, dijangka memiliki jarak lebih 1,800 kilometer.
JASSM
JASSM buatan Amerika
JASSM boleh dilancarkan daripada pelbagai platform pesawat seperti F-15E Strike Eagle, F-16 Fighting Falcon, B-1B Lancer, B-2 Spirit, B-52 Stratofortress, F/A-18, dan F-35 Lightning II (yang sedang dalam proses integrasi).
Sementara itu, media-media Russia turut menyiarkan gambar sebuah peluru berpandu atau dron yang dirujuk secara tidak rasmi sebagai “Banderol” (bermaksud “bungkusan” di dalam bahasa Russia).
Sementara itu beberapa saluran media sosial Ukraine mendakwa bahawa peluru berpandu kruis atau dron misteri Russia itu berkemungkinan adalah senjata yang sama digunakan dalam serangan ke atas Odessa dan Mykolaiv sejak Februari 2025.
Mereka mendakwa Banderol direka untuk dibawa oleh pesawat-pesawat pemandu bersaiz besar seperti dron Orion, dengan kelajuan boleh dicapainya adalah dianggarkan antara 450 hingga 500 kilometer sejam serta dilengkapi dengan kepala peledak seberat antara 120 hingga 140 kilogram.
Namun begitu, tiada bukti sahih yang dikemukakan setakat ini untuk mengesahkan bahawa peluru berpandu atau dron yang kelihatan di Kapustin Yar itu adalah sama dengan yang digunakan dalam serangan di selatan Ukraine.
Pihak Russia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi untuk menyokong dakwaan-dakwaan ini.
Banderol
Banderol
Bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa pada Februari 2025, pihak Russia telah melaporkan bahawa mereka berjaya melakukan “ujian penerbangan terhadap sebuah pesawat udara tanpa pemandu (UAV) yang baharu.”
Media-media pertahanan Ukraine tidak menolak kemungkinan bahawa ujian tersebut berkaitan dengan Banderol yang disebut sebelum ini.
Namun begitu, tiada butiran lanjut mengenai sistem baharu itu didedahkan ketika ujian penerbangan UAV tersebut dijalankan.
Penganalisis pertahanan antarabangsa menyatakan bahawa Russia telah secara konsisten membangunkan pelbagai jenis sistem tanpa pemandu termasuk dron-dron sama ada untuk tujuan Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) mahupun untuk misi-misi berani mati.
Menurut pakar sistem komunikasi dan peperangan elektronik Serhiy  “Flash” Beskrestnov yang menulis dalam media sosialnnya bahawa Russia telah menggunakan Banderol sejak beberapa minggu lepas di wilayah Odessa.
“Maklumat mengenai dron ini (Banderol) ini telah berlegar sejak sekian lama, namun kini kita mula melihat kes penggunaannya yang konsisten,” kata Beskrestnov.
“Masih belum jelas sama ada dron ini akan menjadi ancaman setaraf dengan bom udara berpandu (guided bombs) yang telah dikenali umum.”
JASSM
JASSM
Setakat ini, maklumat mengenai Banderol buatan Russia itu hanya boleh ditemui menerusi satu catatan ringkas di portal War and Sanctions, yang menyatakan bahawa penghasilannya melibatkan syarikat JSC Kronstadt dan JSC KT-Unmanned Systems.
Namun begitu, tiada sebarang rujukan kepada Banderol di laman sesawang rasmi kedua-dua syarikat berkenaan, yang hanya menyenaraikan model UAV Orion dan Sirius sebagai sebahagian daripada sistem tanpa pemandu yang dibangunkan oleh mereka.
Pada 19 Februari lalu, JSC Kronstadt melaporkan bahawa mereka telah berjaya melaksanakan “ujian penerbangan terhadap sebuah pesawat udara tanpa pemandu baharu,” dengan menyatakan bahawa misi penerbangan tersebut telah selesai dan sistem kini bersedia untuk ujian lanjut.
Namun begitu, identiti sebenar dron yang diuji itu masih belum dikenal pasti, dengan pemerhati pertahanan menyatakan ia merujuk kepada Banderol.
“Dalam konteks ini, perlu diingat bahawa Russia menggunakan pelbagai jenis dron serangan dengan spesifikasi teknikal yang berbeza-beza untuk melancarkan serangan terhadap Ukraine, termasuk dron yang tidak mempunyai hulu peledak dan hanya digunakan sebagai ‘umpan’ untuk memancing sistem pertahanan udara.”
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.