Armenia Pandang Pada Su-30MKI India untuk Tangkis Ancaman JF-17 Block III Azerbaijan

Armenia dilapor mengintensifkan rundingan pembelian pesawat pejuang Su-30MKI daripada India susulan langkah Azerbaijan memperkukuh armada tempurnya dengan JF-17 Thunder Block III buatan China-Pakistan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Azerbaijan memilih untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang JF-17 Thunder Block III, “musuh tradisinya” Armenia pula dijangka akan meningkatkan lagi usaha rundingannya dengan India untuk memperolehi pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI bagi menangani perolehan yang dibuatkan oleh negara jirannya itu.

Armenia dijangka akan menaruh kepercayaan kepada pesawat pejuang Su-30MKI buatan India itu untuk berdepan dengan pesawat pejuang pesawat pejuang JF-17 Block III yang bakal diperolehi oleh negara jirannya, Azerbaijan.

Sukhoi
Pesawat pejuang Su-30MKI

Sejak beberapa tahun lalu, India telah muncul sebagai pembekal senjata utama kepada Armenia, membekalkan pelbagai jenis sistem persenjataan kepada negara Caucasus Selatan itu seperti sistem pertahanan udara jarak sederhana  Akash-1S dan sistem pelancar roket berganda (MLRS) Pinaka.

Selain India, Armenia turut menjalin hubungan pertahanan yang rapat dengan Perancis dan baru-baru ini telah memperolehi sistem meriam bergerak Caesar buatan syarikat pertahanan negara itu,Nexter Systems.

Perancis turut menawarkan pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation kepada Armenia, tetapi disebabkan harganya yang tinggi serta prestasinya yang kurang memuaskan pada konflik Pakistan-India baru-baru berkemungkinan menyebabkan Yerevan “tawar hati” untuk memilih Rafale.

Pada konflik Pakistan-India baru-baru ini, tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India didakwa ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10CE buatan China milik Tentera Udara Pakistan.

Disebabkan perkara-perkara itu, peluang untuk Sukhoi Su-30MKI buatan India adalah tinggi untuk memikat hati Armenia.

“Walaupun Yerevan dijangka akan meneroka pelbagai pilihan dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanannya, tumpuan utamanya berkemungkinan terarah kepada perolehan pesawat tempur Su-30MKI buatan India yang jauh lebih menjimatkan berbanding pesawat Rafale buatan Perancis.”

“Tambahan pula, walaupun banyak perkara masih belum jelas mengenai insiden konfrontasi antara India dan Pakistan bulan lalu, dakwaan bahawa armada Rafale milik India tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan turut berpotensi mempengaruhi pertimbangan strategik Armenia,” sebagaimana dinyatakan oleh pengarah analysis syarikat perisikan risiko RAND, Sam Lictenstein kepada Forbes baru-baru ini.

Beberapa hari lalu, kerajaan Pakistan mengesahkan bahawa Azerbaijan telah menandatangani kontrak untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang JF-17 Thunder bernilai US$4.6 billion (RM20.24 billion), yang membuktikan lagi kejayaan pesawat pejuang dibina oleh Pakistan dan China di pasaran eksport.

Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan juga Chengdu Aircraft Corporation (CAC).

Pesawat-pesawat JF-17 Block III yang diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 buatan Russia yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.

Pakistan
JF-17 “Thunder”

Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.

Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.

India membangunkan varian unik pesawat pejuang Su-30MKI buatan Russia secara berlesen, dan kini berkemungkinan akan mula mengeksport pesawat pejuang berkenaan ke negara lain, dengan Armenia dilihat sebagai salah satu pelanggan berpotensi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Yerevan telah memeterai beberapa perjanjian bernilai tinggi bagi memperoleh pelbagai sistem persenjataan buatan India.

Selain itu, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, New Delhi merupakan calon paling sesuai untuk menaik taraf pesawat Su-30SM sedia ada milik Tentera Udara Armenia, termasuk menjadikannya serasi dengan pelbagai jenis peluru dan sistem senjata yang dibangunkan oleh industri pertahanan India.

“India juga berkemungkinan berminat untuk membekalkan sistem-sistem ini sebagai tindak balas terhadap perolehan pesawat pejuang oleh Azerbaijan daripada Pakistan, musuh tradisi India.”

“Selain daripada usaha memperoleh pesawat tempur baharu bagi menyaingi keupayaan udara Azerbaijan, Armenia juga dijangka sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udaranya dengan mendapatkan peralatan daripada India, Iran dan/atau negara-negara lain,” kata beliau.

Sejak daripada tahun lepas, Armenia dilaporkan telah memulakan rundingan dengan syarikat pertahanan India, Hindustan Aeronautics Limited (HAL), bagi tujuan memperoleh pesawat pejuang Su-30MKI, menurut laporan sumber pertahanan dari India.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh Armenia untuk memperkukuh keupayaan angkatan tenteranya, khususnya tentera udara negara itu.

Armenia dilaporkan telah menunjukkan minat untuk memperolehi di antara lapan hingga 12 buah pesawat pejuang Su-30MKI daripada India.

Cadangan perolehan Su-30MKI buatan India itu turut dilihat sebagai pilihan kedua dalam usaha menaiktaraf aset ketenteraan Armenia, dengan pilihan pertama melibatkan kerja-kerja pemodenan ke atas armada pesawat Su-30SM sedia ada kepada varian “Super Flanker” melalui kepakaran HAL.

Tentera Udara Armenia kini berada dalam fasa pemodenan yang kritikal bagi memperkukuh keupayaan udara negara itu selepas beberapa kelemahan ketara yang terdedah semasa konflik bersenjata dengan Azerbaijan pada tahun 2020.

Dengan anggaran kekuatan seramai 5,000 anggota dan kira-kira 70 pesawat aktif, Tentera Udara Armenia beroperasi sebagai cabang strategik Angkatan Tentera Armenia dan memberi tumpuan kepada sokongan udara taktikal, operasi pertahanan udara, serta kawalan ruang udara di kawasan pergunungan yang mencabar.

Inventori pesawat tempurnya kini merangkumi empat buah jet pejuang pelbagai peranan Su-30SM buatan Russia yang mula diterima pada akhir tahun 2019, serta sekurang-kurangnya 15 buah pesawat serangan darat Su-25 “Frogfoot” peninggalan era Soviet.

Selain itu, Armenia turut mengoperasikan lebih 30 buah helikopter pelbagai jenis termasuk Mi-24/Mi-35 untuk sokongan serangan, serta Mi-8/Mi-17 bagi tugasan pengangkutan dan sokongan logistik.

Dalam bidang pengangkutan dan latihan, Tentera Udara Armenia memiliki beberapa buah pesawat Il-76 serta pesawat latihan L-39 dan Yak-52 yang digunakan di pangkalan latihan Arzni dan Gyumri.

Dari segi pertahanan udara, Armenia kini mengoperasikan pelbagai sistem pertahanan udara peninggalan era Soviet seperti S-300, Buk-M2, 2K12 Kub, dan 9K33 Osa.

Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara itu telah melangkah lebih jauh dengan memeterai kontrak penting bersama India untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana Akash-1S.

Bateri pertama sistem Akash tiba di Armenia pada November 2024, manakala bateri kedua dijangka dihantar menjelang pertengahan 2025, menjadikan ia satu lonjakan signifikan dalam pelindungan ruang udara Armenia terhadap ancaman peluru berpandu dan serangan udara rendah.

Hindustan Aeronautics Limited (HAL), syarikat aeroangkasa utama milik kerajaan India, terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh keupayaan udara negara itu menerusi pengeluaran dan penyelenggaraan pesawat pejuang Su-30MKI yang dibangunkan secara berlesen daripada Russia.

Pesawat pejuang Su-30MKI yang dihasilkan oleh HAL merupakan tulang belakang kepada kekuatan udara Tentera Udara India (IAF), dengan lebih 270 unit telah diserahkan sejak program ini dimulakan pada awal tahun 2000-an.

Varian Su-30MKI yang dibina oleh HAL bukan sahaja mengekalkan reka bentuk asal Sukhoi Su-30 Russia, tetapi turut melalui proses penyesuaian teknologi tempatan termasuk sistem avionik, radar, peluru berpandu dan sistem peperangan elektronik yang dibangunkan oleh industri pertahanan India seperti DRDO dan Bharat Electronics.

Hal ini menjadikan Su-30MKI sebagai salah satu pesawat pejuang paling berkemampuan di rantau Asia Selatan, dengan keupayaan menjalankan misi serangan udara-ke-udara, udara-ke-darat, serta misi strategik jarak jauh menggunakan pelbagai jenis persenjataan tempatan dan asing.

Bagi memastikan pesawat ini kekal relevan dalam persekitaran peperangan moden, HAL turut terlibat dalam inisiatif besar-besaran untuk menaik taraf pesawat Su-30MKI kepada konfigurasi baharu dikenali sebagai “Super Sukhoi”.

Pemodenan ini merangkumi pemasangan radar AESA generasi baharu, integrasi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Astra Mk1 dan Mk2, sistem peperangan elektronik baharu, serta paparan digital dan kemampuan serangan berasaskan data-link masa nyata.

Selain memenuhi keperluan domestik, HAL kini turut berusaha mempromosikan Su-30MKI versi eksport kepada negara-negara sahabat seperti Armenia, Malaysia dan Algeria, yang menunjukkan minat terhadap pesawat ini kerana prestasinya yang terbukti dalam pelbagai teater operasi dan kos yang lebih kompetitif berbanding pesawat Barat.

Pertaruhan Su-30MKI Armenia: Aset Udara Untuk Imbangi JF-17 Azerbaijan

Perolehan Armenia terhadap pesawat pejuang Su-30MKI buatan India bagi menyaingi JF-17 milik Azerbaijan dijangka bakal merombak keseimbangan udara di rantau Caucasus Selatan dengan memperkenalkan sebuah platform dominasi udara berkembar enjin yang lebih berat, berkeupayaan membawa pelbagai persenjataan, memiliki jarak operasi lebih jauh serta potensi naik taraf yang lebih luas berbanding JF-17 yang lebih ringan dan berorientasikan eksport.

Kelebihan utama Su-30MKI – kuasa tujahan hampir setara supercruise daripada enjin berkembar AL-31FP dengan teknologi vektor tujahan, daya ketahanan penerbangan yang tinggi serta kapasiti pelbagai peranan – diterjemahkan kepada keupayaan berada lebih lama di ruang udara pergunungan, membawa peluru berpandu jarak luar penglihatan (BVR) bersama persenjataan jarak jauh dalam satu misi, serta tahap kelangsungan hidup lebih baik terhadap ancaman sistem pertahanan udara Azerbaijan yang tersebar.

Sekiranya Armenia berjaya mendapatkan pakej penderia dan integrasi senjata daripada India, imbangan kekuatan ini akan lebih jelas memihak kepadanya.

Su-30MKI yang dilengkapi dengan naik taraf radar AESA, seperti program radar buatan India, serta digandingkan dengan peluru berpandu BVR Astra Mk-1/2 berpotensi menyaingi JF-17 yang dijangka dilengkapkan dengan PL-12 atau PL-15E, menerusi gabungan keupayaan kinetik, teknologi penangkisan elektronik serta pautan data dua hala.

Apertur radar lebih besar dan kapasiti kuasa pesawat MKI membolehkannya mengesan sasaran lebih awal dan menyerang berbilang sasaran serentak, manakala enjin berkembar memberi kelebihan untuk mengekalkan tenaga dalam manuver defensif berintensiti tinggi di ruang udara tempur jarak jauh.

Dari segi operasi, Armenia bakal memperoleh keupayaan serangan terhad serta penindasan atau pemusnahan sistem pertahanan udara musuh (SEAD/DEAD) yang sukar ditandingi JF-17 pada skala sama.

Dengan persenjataan anti-radiasi serta peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi, Su-30MKI mampu memberi tekanan terhadap jaringan pertahanan udara Azerbaijan serta aset sokongan, sekali gus menyulitkan operasi dron yang terbukti menjadi pemutus kemenangan dalam konflik terdahulu.

Ketahanan operasi pesawat MKI turut memberi ruang untuk misi pengiring dan kawalan udara terhadap ancaman sistem tanpa pemandu (UAS), memendekkan tempoh tindak balas terhadap dron kamikaze dan UAV MALE yang digunakan secara meluas oleh Azerbaijan.

Nilai pencegahan yang dimiliki Su-30MKI bukan sekadar berdasarkan bilangan pesawat, tetapi lebih kepada keupayaan membina rangkaian serangan yang kredibel.

Penggabungan MKI dengan radar pengawasan darat, penderia pasif, pautan data selamat dan doktrin BVR yang berdisiplin berpotensi meningkatkan jangkaan kerugian Azerbaijan dalam tempoh 72 jam pertama konflik, sekali gus mengurangkan kecenderungan Baku untuk melancarkan serangan dalam skala besar.

Sekalipun Armenia hanya berjaya melatih sebilangan kecil juruterbang yang mahir dengan taktik BVR India serta misi pelbagai peranan, kos yang bakal ditanggung Azerbaijan bagi setiap pencerobohan udara akan meningkat dengan ketara.

Dari sudut strategik, langkah ini turut menandakan usaha Armenia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Rusia, sebaliknya mengalih tumpuan kepada India sebagai rakan aeroangkasa jangka panjang.

Ia sekali gus membuka akses kepada laluan latihan, kepakaran penyelenggaraan tahap depoh serta peta jalan persenjataan India yang sentiasa berkembang, berbeza daripada jualan ketenteraan konvensional yang bersifat sekali sahaja.

Namun, langkah ini juga menuntut kos yang tinggi, termasuk pembinaan infrastruktur pesawat berat, rantaian alat ganti, peralatan ujian serta stok persenjataan – semuanya perlu dilindungi daripada risiko sekatan dan kejutan politik antarabangsa.

Tidak dapat dinafikan, Azerbaijan pasti bertindak balas.

Baku dijangka mempercepatkan program JF-17 Block III dengan menaik taraf radar AESA, keupayaan peperangan elektronik serta peluru berpandu BVR jarak lebih jauh, selain memperkukuh integrasi dengan aset sokongan Turkiye seperti pesawat amaran awal, pesawat tangki dan jaringan UCAV masa nyata.

Langkah ini akan menekan pertahanan udara Armenia serta memaksa Su-30MKI terlibat dalam rondaan udara yang memakan bahan api, sambil meningkatkan tahap kelangsungan dron Azerbaijan.

Azerbaijan juga dijangka melabur lebih banyak dalam sistem pertahanan udara mudah alih, umpan elektronik serta keupayaan serangan elektronik bagi mengurangkan keupayaan radar dan peluru berpandu Armenia.

Risiko peningkatan konflik juga tidak dapat dielakkan.

Peningkatan keupayaan serangan Armenia akan mendorong Azerbaijan untuk memberi tumpuan kepada tindakan pra-emptif dengan menyasarkan landasan udara, depot bahan api, hangar kukuh dan pusat kawalan sebagai objektif utama.

Justeru, Armenia perlu melengkapkan pesawat Su-30MKI dengan keupayaan sokongan seperti pasukan pembaikan landasan pantas, lokasi operasi bersepadu, teknik penyamaran dan pengeliruan, serta sistem kawalan dan komunikasi yang tahan lasak.

Kesimpulannya, perolehan Su-30MKI berpotensi mengembalikan unsur pencegahan dengan menawarkan ketahanan, muatan persenjataan dan keupayaan BVR/SEAD berskala kepada Armenia, namun nilai strategiknya bergantung pada sejauh mana ia digabungkan dalam rangkaian serangan, keupayaan pangkalan udara untuk bertahan, serta sokongan berterusan daripada India.

Tanpa faktor penentu ini, Su-30MKI hanya berisiko menjadi aset berprestij yang terikat oleh kos tinggi, kadar penerbangan terhad dan kemampuan musuh menyesuaikan taktik, bukannya pemangkin yang mampu mengubah nasib medan perang.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply