Helikopter Tempur Apache, Pengangkut Chinook Pula Tiba Di Langkawi
Semalam, sebuah helikopter tempur Apache AH-64D Longbow dan sebuah helikopter pengangkut CH-47D Chinook milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mendarat di pulau Langkawi untuk menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ruang udara pulau Langkawi terus sibuk dengan lebih banyak pesawat dan helikopter daripada dalam dan luar negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dengan tiga hari sebelum Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) dibuka secara rasmi.
Semalam, sebuah helikopter tempur Apache AH-64D Longbow dan sebuah helikopter pengangkut CH-47D Chinook milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mendarat di pulau Langkawi untuk menyertai LIMA ’23.
Kedua-dua buah helikopter yang dibangunkan oleh syarikat Boeing akan hanya terlibat dalam pameran statik pada edisi LIMA kali ini.
RSAF memiliki 20 buah helikopter tempur Apache AH-64D Longbow, dengan 12 buah daripada helikopter bersenjata itu ditempatkan di republik itu dibawah Skuadron 120 manakala lapan buah helikopter yang lain itu di Silverbell Army Heliport di Marana,Arizona, Amerika Syarikat.
Helikopter itu ditempatkan di Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada detasmen Peace Vanguard.
Republik selatan tanah air itu dipercayai mengoperasi sehingga 26 buah helikopter pengangkut Chinook.
Singapura dipercayai akan menaiktaraf helikopter-helikopter AH-64D Longbow miliknya kepada varian Apache AH-64E Guardian.
Diantara perbezaan di antara varian Apache AH-64D Longbow dan Apache AH-64E Guardian adalah enjin dimana varian helikopter yang terbaru itu dilengkapi dengan enjin General Electric T700-GE-701D yang lebih berkuasa.
Enjin yang baru itu menghasilkan 1994 shp berbanding 1800 shp membolehkan ia terbang dengan kelajuan 300km sejam, selain turut dilengkapi dengan sistem transmisi yang baru serta menggunakan kipas komposit yang baru.
Kipas komposit yang baru itu membolehkan ia menahan bedilan sehingga meriam 23mm.
Varian helikopter tempur yang baru Apache AH-64E Guardian turut dilengkapi dengan sistem sensor, avionic dan kemampuan operasi malam yang lebih baik.
Mengenai sistem persenjataannya, helikopter tempur Apache itu dilengkapi dengan meriam 30mm, dengan 1200 butir peluru.
Selain itu ia juga berkemampuan dilengkapi sehingga 16 butir peluru berpandu AGM-114R Hellfire, dua peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 Sidewinder, empat AIM-92 Stinger atau empat peluru berpandu Mistral.
Helikopter tempur juga boleh membawa sehingga empat pod roket Hydra 70, dengan setiap pod boleh membawa sehingga 19 butir roket.
Radius operasi helikopter tempur itu adalah sejauh 470km sebelum ia memerlukan pengisian minyak.
Selain Singapura, pengguna-pengguna helikopter tempur itu di Asia termasuklah Indonesia,India, Jepun,Korea Selatan dan Taiwan.
Beberapa negara lain di Asia telah turut menunjukkan minat untuk memiliki helikopter tempur Apache termasuklah Australia,Bangladesh, Filipina dan Thailand. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com