Anggota MALBATT Malaysia Sumbang 360,000 Liter Air Bersih Pada Hospital di Selatan Lubnan
Menurut kenyataan media sosial Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sumbangan air bersih itu adalah sebahagian daripada inisiatif bantuan kemanusiaan yang dikoordinasikan oleh J9-CIMIC melalui G9-CIMIC, dengan bantuan sumber air dan atur gerak anggota MALBATT ke Hospital Tibnine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan batalion Malaysia yang bertugas dibawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , MALBATT 850-11 telah diaturgerakkan bagi memberikan bantuan kemanusiaan berupa sumbangan bekalan air bersih kepada Hospital Tibnine pada semalam (21 Okt) dan hari ini (22 Okt).
Tibnine terletak di selatan Lubnan dan beberapa kali telah menjadi sasaran serangan udara pesawat-pesawat pejuang Israel.
Menurut kenyataan media sosial Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sumbangan air bersih itu adalah sebahagian daripada inisiatif bantuan kemanusiaan yang dikoordinasikan oleh J9-CIMIC melalui G9-CIMIC, dengan bantuan sumber air dan atur gerak anggota MALBATT ke Hospital Tibnine.
“Sebanyak 36,000-liter air bersih telah berjaya disumbangkan dalam tempoh dua hari, dengan penglibatan 12 anggota pengaman MALBATT yang diketuai oleh Mejar Mohd Razalan bin Ahmad, Ketua Komp C.”
“Bantuan ini telah diterima oleh pengarah Hospital Tibnine, Dr. Mohamad Hemedeh.”
Dr. Mohamad Hemedeh menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada MALBATT 850-11 di atas bantuan yang telah dihulurkan.
Mereka amat terharu dengan keprihatinan MALBATT 850-11 yang dapat menyalurkan bantuan ini dalam masa yang tepat dan singkat dimana ianya akan digunakan serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hospital Tibnine.
Sumbangan air bersih ini merupakan sebahagian daripada usaha Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dengan kerjasama MALBATT untuk memberikan bantuan kepada masyarakat tempatan terutama dalam mendepani konflik yang sedang berlaku ini.
Terdapat lebih daripada 800 orang anggota pengaman Malaysia dibawah Malbatt 850-11 yang berkhidmat dengan pasukan UNIFIL.
MALBATT 850-11 ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnine, melaksanakan tugasan operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab (KTJ) yang ditetapkan.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, semua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk MALBATT 850-11 sudah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik.
“MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan, diarahkan kekal di penempatan mereka oleh pihak UNIFIL.
“Markas UNIFIL sudah mengaktifkan perlindungan dalam kubu ‘bunker drill’ mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan beberapa hari lalu.
Pada 17 Okt lalu pula, Mohamed Khaled ketika persidangan Dewan Rakyat berkata, anggota Malbatt 850-11 yang berpengkalan di Tibnin dan Marakah di Lebanon boleh membalas serangan tentera Israel untuk tujuan mempertahankan diri.
“Kalau serang ‘self defence’ (mempertahankan diri), memang boleh kita membalas tembakan dan sebagainya.”
“Namun, untuk kita lakukan ‘offensive attack’ (serangan ofensif), maka itu tidak dibenarkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.
Sejak 1 Okt lalu, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara besar-besaran dan operasi darat yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Lubnan.
Antara sasaran serangan udara Israel adalah hospital-hospital di Beirut dan selatan Lubnan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Nentanyahu juga memberi amaran supaya pasukan UNIFIL segera meninggalkan Selatan Lubnan. — DSA