Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Letupan Di Ampang, Seorang Pekerja Restoran Maut

Menurut kenyataan polis, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

0 3,815

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang pekerja restoran berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, Ampang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian yang berlaku pada 8.55 malam.

“Mangsa seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun mengambil satu bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis. Apabila mangsa memegang bungkusan itu terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam di hospital berkenaan,” kata beliau dalam kenyataan awal pagi ini.

Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menurut Mohamad Farouk telah menemui beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

“Motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor turut bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran akibat letupan itu.

Ampang
(PDRM)

Ampang

Sejak jam 9.30 malam hingga setakat 1.30 pagi tadi, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Turut berada di lokasi ialah pasukan Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pemusnah Bom (URB) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah bunuh. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...