Walau Dihalang Jerman, Turkiye Terus Usaha Perolehi Pesawat Pejuang Eurofighter Typhoon

Baru-baru, Ketua Staf Am Angkatan Tentera Turkiye Jeneral Metin Gurak telah melawat United Kingdom dan dalam lawatan itu beliau turut mengunjungi Pangkalan Udara Royal Air Force RAF) Coningsby yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun dihalang oleh Jerman, namun Turkiye meneruskan usaha dan rundingannya untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah iaitu United Kingdom, Italy, Sepanyol dan Jerman.

Baru-baru, Ketua Staf Am Angkatan Tentera Turkiye Jeneral Metin Gurak telah melawat United Kingdom dan dalam lawatan itu beliau turut mengunjungi Pangkalan Udara Royal Air Force RAF) Coningsby yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Beliau berpeluang melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang yang cuba diperolehi oleh Turkiye sejak beberapa tahun lepas, tetapi rancangan itu dihalang oleh Jerman.

Difahamkan, usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu mendapat sokongan kuat daripada kerajaan-kerajaan United Kingdom, Itali dan Sepanyol.

Walaupun Amerika Syarikat telah memberikan kelulusan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM103 billion) beberapa bulan lepas, Turkiye tetap mengekalkan minatnya terhadap pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Ketua Staf Am Angkatan Tentera Turkiye Jeneral Metin Gurak telah melawat United Kingdom dan dalam lawatan itu beliau turut mengunjungi Pangkalan Udara Royal Air Force RAF) Coningsby yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

 

Turkiye mahu memperolehi kira-kira 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon untuk melengkapkan lagi Tentera Udaranya yang kini terus bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang F-16 dan di dalam beberapa tahun akan datang, pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan kini.

Pada akhir Julai lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter mengesahkan bahawa Turkiye menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon tetapi mendedahkan bahawa ia telah dihalang oleh Jerman.

Giancarlo Mezzanatto mengesahkan bahawa Turkiye mahu memperolehi di antara 40 hingga 50 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, berkemungkinan daripada varian terkininya, tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman.

Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter warga Itali itu berkata tindakan Jerman menghalang Turkiye daripada memperolehi pesawat pejuang itu berkemungkinan kerana tidak berpuashati dengan tindakan Ankara melakukan carigali gas asli di perairan Timur Mediterranean.

Tindakan Turkiye melakukan aktiviti carigali gas di perairan Timur Mediterranean telah meningkatkan ketegangan dikalangan negara-negara jirannya,terutama Greek dan Cyprus serta sekutu-sekutunya.

Jerman turut dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan 40,000 orang.

Eurofighter Typhoon

 

Kenyataan oleh Mezzanatto itu dibuat selepas Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan mendesak Canselor Jerman Olaf Scholz supaya mengugurkan tentangannya terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Ankara.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah, Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Sebarang penjualan pesawat pejuang itu memerlukan persetujuan keempat-empat buah negara itu.

Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”

Tindakan Jerman menghalang permintaan Turkiye untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu juga tidak disenangi oleh pemain-pemain industri di negara itu terutamanya syarikat dan kesatuan sekerja pekerja industri pertahanan negara itu.

Royal Air Force (RAF) Eurofighter Typhoon

 

Kesatuan-kesatuan sekerja di Jerman mendesak kerajaan negara itu supaya meluluskan dengan segera permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Mereka bimbang “penolakan” permohonan kerajaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.

Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. — DSA

 

Eurofighter TyphoonfeaturedJermanTurkiye
Comments (0)
Add Comment