Vietnam Terima Pesawat Tentera Pertama Dibekal Amerika Syarikat, Beechcraft T-6C Texan II

Seorang saksi, yang enggan namanya didedahkan atas sensitiviti isu tersebut, berkata dia melihat lima pesawat latihan yang semuanya dicat dengan tanda Tentera Udara Vietnam di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Ho Chi Minh.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Vietnam telah menerima lima buah pesawat latihan tentera Beechcraft T-6C Texan II, yang merupakan pesawat tentera pertama yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada negara Asia Tenggara itu yang pernah berperang dengannya pada tahun-tahun 1970-an.
Pesawat latihan itu dilaporkan telah tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Ho Chi Minh City, menurut saksi kepada Radio Free Asia.
Seorang saksi, yang enggan namanya didedahkan atas sensitiviti isu tersebut, berkata dia melihat lima pesawat latihan yang semuanya dicat dengan tanda Tentera Udara Vietnam di lapangan terbang awam itu.
Namun, pesawat tersebut akan dipindahkan ke pangkalan tentera udara tidak lama lagi.
Laman web penjejak penerbangan, Flightradar24, melaporkan bahawa pesawat latihan pertama itu telah mendarat sekitar tengah hari Isnin selepas penerbangan hampir dua jam dari Lapangan Terbang Don Mueang di Bangkok, dimana ia singgah sementara.
Pesawat Beechcraft T-6 Texan II adalah pesawat enjin tunggal turboprop yang dibina oleh Textron Aviation dan digunakan untuk latihan juruterbang, terutamanya bagi mereka yang menerbangkan jet pejuang Amerika Syarikat seperti F-16.
Pemerolehan pesawat latihan ini oleh Vietnam memberi petunjuk kemungkinan pembelian F-16 pada masa depan untuk memodenkan tentera udaranya yang secara tradisional bergantung kepada peralatan buatan Soviet.
Menurut pengeluar, T-6 Texan II adalah pesawat latihan ketenteraan generasi baharu yang direka untuk semua peringkat latihan.
Vietnam dilaporkan telah memesan 12 buah pesawat T-6C Texan II, varian eksport T-6, pada 2021, yang dilihat pemerhati sebagai langkah besar sejak tamatnya Perang Vietnam.
Washington hanya mengugurkan sekatan penjualan senjata terhadap Vietnam pada 2016.
Brigadier Jeneral Sarah Russ dari Tentera Udara Pasifik Amerika Syarikat (PACAF) berkata kepada media Vietnam bahawa pesawat latihan itu akan dihantar dalam tempoh 2024-2027.
“Kedatangan pesawat Beechcraft ini merupakan langkah kecil tetapi penting dalam hubungan pertahanan Vietnam dan Amerika Syarikat,” kata Ian Storey, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura.

“Namun, masih belum pasti sama ada Vietnam akan membeli pesawat-pesawat seperti F-16 dari Amerika Syarikat atau terus bergantung kepada rakan kongsi yang lebih dipercayai seperti Rusia,” tambahnya.
“Pesawat baharu Amerika Syarikat, seperti F-35, berada di luar kemampuan bajet Vietnam.”
Laporan media sebelum ini menyatakan Vietnam berminat untuk memperolehi F-16 tetapi rundingan dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi pesawat pejuang itu tidak mencapai kemajuan kerana Hanoi bimbang pembelian pesawat pejuang itu akan menjejaskan hubungannya dengan negara-negara lain termasuk China.
Sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Reuters, Vietnam juga bimbang Amerika Syarikat tidak akan membekalkan peluru-peluru berpandu untuk digunakan oleh pesawat pejuang F-16 sekira ia memperolehinya.
Vietnam dan China memiliki pertikaian berpanjangan mengenai isu Laut China Selatan.
Hanoi bukan sahaja bimbangkan reaksi daripada China sekiranya ia memperolehi pesawat pejuang F-16, tetapi negara Asia Tenggara itu juga mungkin bimbang akan reaksi daripada Russia yang menjadi pembekal senjata kepada Vietnam sejak sekian lama.

Pada September tahun lepas, Amerika Syarikat dilaporkan berbincang dengan kerajaan Vietnam untuk memeterai pakej penjualan senjata terbesar antara kedua-dua negara yang pernah berperang antara satu sama lain kira-kira 50 tahun yang lalu.
Perbincangan awal tentang pakej penjualan senjata kepada Vietnam itu adalah menyusuli lawatan bersejarah Presiden Amerika Syarikat Jo Biden ke Hanoi.
Lima pesawat latihan T-6C Texan II itu meninggalkan Amerika Syarikat awal bulan ini dan terbang melalui Eropah dan Timur Tengah sebelum tiba di Vietnam, menurut Flightradar24.
Sumber tentera Vietnam memberitahu bahawa pesawat-pesawat tersebut akan ditempatkan bersama Rejimen 920 di Lapangan Terbang Tentera Phan Thiet, wilayah Binh Thuan, tengah Vietnam.
Sejak tamatnya Perang Vietnam, Tentera Udara Vietnam telah mengoperasikan beberapa pesawat barat yang dirampas daripada tentera Vietnam Selatan, tetapi pesawat latihan T-6C Texan II adalah pembelian langsung pertama dari Amerika Syarikat. — DSA

AmerikaBeechcraftfeaturedVietnam