Vietnam Bakal Peroleh Antara 20-30 Unit Sistem Meriam Bergerak K9 Thunder Dari Korea Selatan
Syarikat Korea Selatan, Hanwha Aerospace Co dilaporkan bakal menandatangani perjanjian bernilai US$276 juta (RM1.2 billion) untuk membekalkan di antara 20 buah hingga 30 buah sistem meriam bergerak K9 Thunder itu kepada Vietnam.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Vietnam semakin hampir untuk menjadi pelanggan terbaru bagi sistem meriam bergerak K9 Thunder apabila negara Asia Tenggara itu dilaporkan bakal memperolehi sebanyak 30 buah sistem meriam itu yang dibangunkan oleh Korea Selatan.
Syarikat Korea Selatan, Hanwha Aerospace Co dilaporkan bakal menandatangani perjanjian bernilai US$276 juta (RM1.2 billion) untuk membekalkan di antara 20 buah hingga 30 buah sistem meriam bergerak K9 Thunder itu kepada Vietnam.
Setiap sebuah sistem meriam bergerak K9 Thunder dianggarkan bernilai US$9.7 juta (RM43 juta) hingga US$14 juta (RM63 juta), menurut sumber yang dipetik oleh media tempatan Korea Selatan.
Jika spekulasi tentang perolehan sistem meriam bergerak K9 Thunder oleh Vietnam itu adalah benar, maka ia menandakan perolehan pertama pertama sistem persenjataan buatan Korea Selatan oleh negara Asia Tenggara tersebut.
Pada Februari tahun lepas, Menteri Pertahanan Vietnam dilaporkan telah melawat Korea Selatan untuk melihat sendiri dengan lebih dekat sistem meriam bergerak K9 Thunder itu.
Rundingan perolehan sistem meriam bergerak K9 Thunder oleh Vietnam itu semakin rancak apabila sekumpulan anggota tentera negara Asia Tenggara itu telah dihantar ke Korea Selatan untuk menerima latihan mengoperasi dan menyelenggara sistem meriam bergerak itu.
Ramai dikalangan penganalisis dan pemerhati menyatakan bahawa Vietnam mahu mengerahkan sistem meriam bergerak K9 Thunder itu ke sempadannya dengan China.
Hubungan di antara Vietnam dan China yang berkongsi sempadan kadangkala tegang disebabkan isu Laut China Selatan, dimana Beijing kerapkal menghantar kapal-kapal pengawal pantainya untuk menganggu operasi pencarian minyak dan gas Hanoi bersama rakan kongsi asingnya di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE).
Jika Vietnam memperolehi sistem meriam bergerak K9 Thunder, maka ia akan menjadi negara ke-11 di dunia yang mengoperasikan sistem itu.
Sejak 2001, syarikat Hanwha telah mengeksport sistem meriam bergerak K9 Thunder itu kepada negara-negara seperti Turkiye,Poland, Finland, India, Norway, Estonia, Australia, Mesir dan Romania.
India yang memperolehi 100 unit meriam bergerak K9 Thunder pada 2017, telah membeli 100 unit lagi meriam bergerak itu baru-baru ini.
Setakat ini, syarikat Hanwha Aerospace Co telah menjual sebanyak 1,300 meriam K9 Thunder kepada pelanggan-pelanggan di seluruh dunia.
Syarikat Korea Selatan itu dilaporkan menguasai kira-kira 50 peratus daripada pasaran meriam bergerak dunia pada ketika ini.
Spesifikasi Teknikal Meriam Bergerak K9 Thunder :
Jenis: Meriam bergerak.
Kaliber: 155mm.
Jarak Tembakan Maksimum: Sehingga 40 km (peluru standard), 50+ km (peluru khas).