Varian Eksport Su-57E Masuki Produksi Tahun Ini, Pelanggan Eksport Terima Pesawat 2025

Sebagaimana dinyatakan oleh agensi pengeksport senjata Russia, ROSOBORONEXPORT dan dipetik oleh media baru-baru ini, ia adalah satu detik bersejarah kepada pesawat pejuang itu dalam meluaskan lagi pasarannya terutama di peringkat antarabangsa.
Varian Eksport Su-57E Masuki Produksi Tahun Ini, Pelanggan Eksport Terima Pesawat 2025
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Varian eksport pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57E (Export) akan memasuki peringkat produksi pada tahun ini, dengan pelanggan eksportnya yang pertama, Algeria dijangka menerima pesawat pejuang itu pada tahun ini.
Sebagaimana dinyatakan oleh agensi pengeksport senjata Russia, ROSOBORONEXPORT dan dipetik oleh media baru-baru ini, ia adalah satu detik bersejarah kepada pesawat pejuang itu dalam meluaskan lagi pasaran bagi produk-produknya terutama di peringkat antarabangsa.
Berkata kepada agensi berita Interfax, Ketua ROSOBORONEXPORT Alexander Mikheev menyatakan bahawa pelanggan eksport pertama pesawat pejuang Su-57E itu akan menerima dan mengoperasikan pesawat pejuang pelbagai guna canggih itu pada tahun ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti negara eksport pertama bagi varian eksport pesawat pejuang Su-57E itu, walaupun laporan berita sebelum ini menyatakan Algeria sebagai pelanggan eksport pertama bagi pesawat itu.
Bulan lepas, stesen televisyen milik kerajaan Algeria telah pun mengesahkan bahawa negara Afrika Utara itu adalah pelanggan eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57 Felon, sekaligus menamatkan teka-teki mengenai pelanggan eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima itu.
Stesen televisyen Algeria itu menyatakan, “Juruterbang Algeria sedang menjalani latihan di Russia, dan penghantaran (pesawat pejuang Su-57) itu dijangka dilakukan tahun ini.”
Sementara itu Ketua Pengarah United Aircraft Corp (UAC) Vadim Badekha berkata kepada agensi TASS bahawa kemudahan pembuatan pesawat pejuang Su-57 di Komsomolsk-on-Amur berkemampuan penuh untuk menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima itu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata kemudahan di Komsomolsk-on-Amur sentiasa dipermodenkan dan dipertingkatkan kapasiti bagi membolehkan ia menghasilkan pesawat pejuang itu dengan berkesan.
Su-57
Su-57
Beliau berkata kemudahan di Komsomolsk-on-Amur sentiasa dipermodenkan dan dipertingkatkan kapasiti bagi membolehkan ia menghasilkan pesawat pejuang itu dengan berkesan.
Ketika pameran aeroangkasa Airshow 2024 di Zhuhai, China pada November tahun lepas,  Russia telah mengumumkan kontrak pertama bagi Su-57E Felon, varian eksport pesawat pejuang generasi kelima yang dibangunkan oleh firma pembuat pesawat Sukhoi.
Pengumuman itu dibuat oleh Mikheev, namun beliau enggan mendedahkan identiti negara luar pertama yang membeli pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
“Kita telah menandatangani kontrak (penjualan kepada pelanggan asing) yang pertama,” katanya dan menambah bahawa minat terhadap pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia itu adalah tinggi.
Walaupun identiti pembeli masih dirahsiakan, spekulasi bertiup-kencang bahawa Algeria akan menjadi pelanggan eksport pertama.
Menurut maklumat yang dikongsi oleh saluran Telegram “Russian Arms” baru-baru ini,  delegasi pegawai-pegawai kanan Russia dilaporkan telah ke Algeria, berkemungkinan untuk memuktamad rundingan pembelian pesawat pejuang generasi kelima Su-57 untuk negara Afrika Utara itu.
Algeria merupakan antara pasaran utama bagi sistem persenjataan Russia di benua Afrika selama ini, hanya dibelakang India.
“Su-57”
Tentera Udara Algeria mengoperasikan beberapa pesawat pejuang utama yang dikeluarkan oleh Russia termasuk Su-30MKA, MiG-29 dan Su-24.
Negara Afrika Utara itu telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang Su-57 sejak beberapa tahun lepas, dengan laporan media sebelum ini mendakwa bahawa Tentera Udara Algeria mahu memperolehi sejumlah 14 buah pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
Terdapat laporan daripada sumber-sumber tidak rasmi menyatakan bahawa Algeria mungkin pada peringkat awal memperoleh hanya enam unit pesawat pejuang Su-57.
Pada 2020, laporan media menyatakan bahawa kerajaan Algeria telah memperuntukan sejumlah wang untuk perolehan sistem-sistem persenjataan moden dibawah program permodenan angkatan tenteranya untuk tempoh 2021 hingga 2027.
Diantara sistem persenjataan moden yang akan diperolehi oleh Algeria dibawah program permodenan angkatan tenteranya adalah pesawat pejuang Su-57.
Perolehan pesawat pejuang Su-57 oleh Algeria itu dikatakan adalah sebagai langkah menangani tindakan negara jirannya, Maghribi yang memperolehi pesawat pejuang F-16 Block 70/72 daripada Amerika Syarikat.
Sukhoi Su-57
Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Maghribi yang mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Israel juga bercadang memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
Pesawat pejuang Su-57E dilengkapi dengan sistem avionik canggih yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) bagi membantu juruterbang, berfungsi sebagai pembantu maya.
Sistem radarnya, N036 Byelka, ialah radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang lebih maju berbanding Irbis-E yang digunakan oleh pesawat pejuang Su-35BM, menawarkan keupayaan pengesanan dan penjejakan yang lebih baik untuk pelbagai sasaran.
— DEFENCE SECURITY ASIA

AlgeriaProduksiRussiaSU-57
Comments (0)
Add Comment