Usaha Serbia Perolehi Pesawat Pejuang Rafale Mungkin Terbantut Sekiranya Ia Sertai BRICS

Bagaimanapun keputusan negara Balkan memperolehi pesawat pejuang Rafale buatan Perancis baru-baru ini kembali menjadi tanda-tanya apabila Serbia menimbangkan kemungkinan untuk menyertai BRICS, sebuah blok ekonomi yang dikepalai oleh Russia dan China serta dianggotai oleh India, Brazil dan Afrika Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada September lalu, Serbia telah bersetuju untuk membelanjakan Euro 2.7 billion (RM12.88 billion) untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.
Tindakan Serbia memperolehi pesawat pejuang buatan Perancis itu mengejutkan kerana negara Balkan itu dikenali sebagai pengguna senjata-senjata buatan Russia dan China.
Keputusan Serbia memperolehi pesawat pejuang Rafale itu dipercayai merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan ekonominya dengan merapatkan diri dengan negara-negara Eropah dan menyertai Kesatuan Eropah (EU) serta “menjauhkan” diri daripada Russia dan China, yang selama ini menjadi penyokong utamanya.
Bagaimanapun keputusan negara Balkan memperolehi pesawat pejuang Rafale buatan Perancis baru-baru ini kembali menjadi tanda-tanya apabila Serbia menimbangkan kemungkinan untuk menyertai BRICS, sebuah blok ekonomi yang dikepalai oleh Russia dan China serta dianggotai oleh India, Brazil dan Afrika Selatan.
Walaupun BRICS hanyalah organisasi ekonomi, tetapi keanggotaan dalamnya turut membawa implikasi politik, hubungan luar dan juga ketenteraan.
Pesawat pejuang Rafale oleh syarikat Dassault Aviation.
Timbalan Perdana Menteri Serbia Aleksandar Vulin dalam satu kenyataan pada 13 Okt yang lalu menyatakan bahawa BRICS kini benar-benar menjadi alternatif berbanding keanggotaan di dalam Kesatuan Eropah.
Serbia mendapati Kesatuan Eropah mengenakan syarat-syarat yang ketat sebelum ia menerima sesebuah negara ke dalam EU, seperti menghendaki negara pemohon itu mengenakan sekatan ekonomi terhadap Russia atas pencerobohannya ke atas Ukraine.
Walaupun Serbia mengecam pencerobohan Russia terhadap Ukraine tetapi negara Balkan itu tidak menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara lain dalam mengenakan sekatan ekonomi terhadap Moscow atau memutuskan hubungan dengan Russia.
Berbanding dengan Kesatuan Eropah, BRICS tidak mengenakan sebarang syarat yang melampau kepada mana-mana negara yang mahu menyertainya.
Sebab itulah Serbia mendapati bahawa BRICS merupakan alternatif yang lebih menarik berbanding daripada keanggotaan dalam EU.
Presiden Serbia Aleksandar Vucic (kiri) dan Presiden Perancis Emmanuel Macron (kanan).
Bagaimanapun jika ia memilih BRICS, maka ia berkemungkinan terpaksa “melupakan” pesawat pejuang Rafale buatan Perancis yang mahu diperolehinya.
Bagi penganalisis ketenteraan serantau pula, mereka sememangnya menjangkakan Serbia dijangka berhadapan dengan masalah untuk mengintegrasikan pesawat pejuang Rafale itu dengan sistem pertahanan udaranya yang bergantung kepada sistem-sistem daripada Russia dan China.
Serbia baru sahaja menerima sistem pertahanan udara HQ-22 buatan China serta sistem pertahanan udara Pantsir buatan Russia dan kemasukan Rafale dalam Tentera Udara Serbia mungkin akan menimbulkan masalah terutamanya daripada segi integrasi.
Selain itu, pesawat pejuang MiG-29 masih merupakan tunjang kepada kekuatan Tentera Udara Serbia sehingga hari ini.
Negara Balkan itu juga mengoperasikan enam buah dron bersenjata CH-92A bersama-sama 18 butir peluru berpandu yang diperolehinya daripada China.
Serbia mengoperasikan sistem pertahanan udara “Pantsir S-1” buatan Russia dan FK-3 (HQ-22) buatan China.
Presiden Serbia juga dilaporkan adalah penyokong kuat kepada inisiatif Belt and Road anjuran China dan pernah melakukan lawatan rasmi ke Beijing tahun lepas dimana beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatanya daripada China, Presiden Xi Jinping.
Pada ketika Serbia sedang berkira-kira sama ada mahu meneruskan pembelian pesawat pejuang Rafale atau membatalkan niatnya itu dengan menyertai BRICS, penganalisis menyatakan negara Balkan itu memiliki beberapa pilihan pesawat pejuang yang lain.
Serbia menurut mereka boleh memilih untuk memiliki pesawat pejuang generasi 4.5 buatan China dan Russia seperti J-10C atau Su-35.  — DSA

BRICSfeaturedRafaleSerbia